Oleh pada 07 Jul 2019 kategori

Kami kerap menampilkan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un dan masyarakat negara tersebut yang mempunyai corak hidup yang sangat unik, jauh berbeza dengan apa yang biasa kita hadapi seharian.

Negara tersebut juga menyimpan bermacam kisah yang aneh, dipenuhi dengan misteri serta peraturan ketat yang menyebabkan semakin ramai ahli masyarakat yang berminat hendak melihat sendiri kelainan negara tersebut. Presiden Kim Jong Un sendiri walaupun ada kalanya dijadikan bahan ketawa serta meme, tetap digeruni berikutan keupayaan tenteranya yang sukar diramalkan serta pasukan pengawal setianya yang sentiasa ada di sampingnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda melihat video bagaimana pasukan pengawal beliau akan sentiasa berlari di tepi kereta yang dinaiki Kim Jong Un - dari mana idea itu diperolehi? Lagi satu, benarkah anggota pasukan keselamatan Presiden Korea Selatan merupakan tentera bertaraf elit? Jom kita bongkarkan.

Pengambilan pasukan pengawal Presiden

tentera wanita korea utara

Kerajaan Korea Utara memang tak main-main bila nak memilih anggota pasukan pengawal peribadi yang akan ditugaskan mengawal Presiden negara tersebut. Kesemua pelatih yang dilantik, perlu datang daripada pasukan tentera Korea Utara dan sistem di Korea Utara bermula sangat awal.

Setiap tahun ketika tibanya pertengahan bulan April, kesemua pelajar sekolah menengah di Korea Utara akan melalui pemeriksaan kesihatan serta fizikal bagi menentukan sama ada mereka layak atau tidak memasuki perkhidmatan tentera negara itu. Selepas ujian saringan dilakukan, pelatih yang terpilih akan diserap masuk ke dalam latihan bermula pada bulan Ogos tahun tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang pelajar itu mahu menjadi salah seorang pengawal peribadi Presiden, sesi pemilihannya akan dimulakan lebih awal berbanding pelajar lain dan hanya pelajar terpilih saja disenaraikan. Pemilihan akan dilakukan pada bulan November tahun sebelum itu, di mana pelajar itu akan melalui ujian kesihatan yang berbeza tahapnya.

Selain itu, pemeriksaan ke atas latar belakang mereka, personaliti serta tubuh badan akan menjadi ujian awal yang perlu mereka tempuh dalam mencapai hasrat mereka. Pelajar-pelajar elit yang melepasi ujian awal akan dihantar untuk berkhidmat dengan divisyen-divisyen tentera sambil meneruskan kursus mereka yang direka khas, sebelum kembali menyertai pelajar-pelajar lain dalam kem latihan tentera pada bulan Ogos.

Kadar kelulusan untuk menjadi pengawal peribadi Presiden sangat rendah, kerana kelayakan yang perlu dipenuhi tersangatlah tinggi. Sebarang kesalahan disiplin dan kegagalan dalam pelajaran akan menyebabkan seseorang itu dibuang daripada program.

Sistem pengambilan pelatih pengawal sedia ada di Korea Utara, dimulakan oleh ayah kepada Kim Jong Un iaitu Kim Jong Il pada tahun 1977, dengan kadar kelulusan pelatih kebiasaannya kurang daripada 15 orang setiap tahun.

Sistem perlindungan Presiden Korea Utara

kim jong un dan barisan pegawai tentera

Sistem pengawal presiden Korea Utara yang digelarkan sebagai 'escort command' atau 'guard command' mempunyai tanggungjawab melindungi kepentingan dinasti pemerintahan keluarga Kim. Sistem keselamatan ini sebenarnya sudahpun diamalkan sejak tahun 1946 selepas salah satu divisyen tentera Korea Utara iaitu divisyen latihan ke 90, diberikan tanggungjawab untuk membangunkan model pertahanan peribadi ke atas Presiden yang memerintah.

Ketika ini dianggarkan jumlah keanggotaan keseluruhan tentera di Korea Utara berada pada sekitar 100,000 kekuatan tetapi hanya 1,200 daripada mereka terpilih untuk menjadi pengawal peribadi Presiden yang akan dibahagikan kepada beberapa pasukan lebih kecil. Pasukan yang dikenali dengan nama jolokan 'Office Number Six' atau 'Pejabat ke Enam' ini diberikan tanggungjawab mengendalikan semua butir dan aturcara perjalanan Kim Jong Un yang perlu beliau hadiri di tempat awam.

Untuk setiap acara atau perjalanan Kim Jong Un, akan diwujudkan 7 lapisan perlindungan yang meliputi jarak beberapa kilometer daripada kedudukan Presiden. Lapisan pertama dibentuk daripada kumpulan pengawal yang paling rapat dengan Jong Un, diikuti oleh 200 ke 300 anggota yang akan sentiasa berada 100 meter jaraknya daripada beliau.

Lapisan ketiga pula melibatkan kumpulan anggota yang tidak diketahui berapa jumlahnya, ditempatkan 1 kilometer daripada Jong Un dalam keadaan rawak yang diberikan tugas memantau keadaan. Lapisan keempat pula melibatkan tugasan yang sama seperti lapisan perlindungan ketiga, namun ditempatkan 1.5 ke 2 kilometer daripada lokasi Presiden.

Ada 3 lapisan lagi yang akan diberikan tugasan merancangan perjalanan - bergantung kepada bentuk muka bumi, geografi dan lokasi dengan semuanya mempunyai satu matlamat yang serupa - melindungi Presiden Kim Jong Un dan anggota keluarganya jika ada, walaupun nyawa sendiri perlu dikorbankan.

Latihan berat yang perlu ditanggung

latihan tentera kore utara

Seperti yang sudah dinyatakan di atas, tidak ramai yang berjaya melepasi ujian kelayakan untuk diserap masuk ke dalam unit ini. Ujian pemilihannya dikatakan terlalu sukar walaupun individu yang dipanggil, merupakan individu terpilih.

PIhak tentera akan melakukan tinjauan di sekolah-sekolah bagi mendapatkan nama-nama pelajar yang dirasakan layak menyertai program ini. Ciri fizikal yang dicari adalah bentuk tubuh badan yang tegap serta tidak mempunyai kesan-kesan parut di badan. Selain itu, pelajar itu juga perlu datang daripada keluarga yang terbukti penyokong kuat parti pemerintah Korea Utara.

Tidak banyak yang diketahui berkenaan corak latihan yang dijalankan ke atas peserta. Beberapa kisah yang keluar menyebut latihan berjalan bertahun lamanya serta memerlukan pelatih mempelajari banyak bentuk seni mempertahankan diri, khususnya taekwondo.

Bagi membentuk ketahanan fizikal, peserta-peserta akan dilatih meletakkan beban konkrit di atas dada sebelum seorang peserta lain memecahkannya dengan tukul. Selain itu, pelatih juga perlu mempunyai kekuatan jari yang mampu memecahkan sebiji mentol lampu dengan satu jari serta mampu memecahkan jubin lantai dengan dahi. Latihan fizikal biasa seperti kemampuan berlari, berenang atau menembak sudah jadi rutin biasa.

Selain latihan fizikal, majoriti latihan mereka banyak menumpukan kepada aspek mental di mana pelatih akan dibentuk berdasarkan kepada pegangan ideologi yang selari dengan kehendak Presiden - mendidik setiap pelatih supaya setia kepada keluarga Kim dan menganggap mereka seperti jelmaan Tuhan di muka bumi.

Kenapa pengawal peribadi Kim Jong Un berlari di tepi kereta?

pengawal keselamatan peribadi kim jong un

Apabila Korea Utara dilihat semakin terbuka kepada dunia luar, kita mula dapat melihat sendiri keunikan atau keganjilan yang ada di negara tersebut. Salah satu perkara yang sering disebut orang ramai, adalah bagaimana kumpulan pengawal peribadi Kim Jong Un akan berlari seiring dengan kereta yang dinaiki beliau.

Kenapa ini dilakukan?

Daripada mata kasar, kita boleh nampak kenapa pengawal di arah untuk mengelilingi kereta Presiden dalam memberikan perlindungan ke atas beliau. Selain itu, taktik itu dilihat sebagai salah satu propaganda Korea Utara untuk menampakkan betapa sayangnya rakyat negara tersebut kepada pemimpin mereka.

Apa yang anda perlu tahu, perkara itu tidak berlaku semasa zaman pemerintahan ayahnya dan hanya selepas mengambil alih pemerintahan, barulah Kim Jong Un mengarahkan pengawal beliau berlari-lari bersama dengannya yang sedang enak dalam kereta.

Idea untuk mengarahkan pengawalnya berlari, sebenarnya datang daripada sebuah filem yang beliau tonton semasa kecil. Filem tersebut, 'In the Line of Fire' lakonan aktor lagenda Clint Eastwood sebagai seorang ejen Secret Service Amerika Syarikat.

Dalam filem tersebut, bagi melindungi Presiden John F. Kennedy watak Eastwood perlu berlari seiringan dengan kenderaan yang dinaiki Kennedy sepanjang dia melalui laluan tersebut. Bagaimanapun, malangnya tindakan itu tetap tidak berjaya menghalang Kennedy mati dibunuh.

Mengambil idea daripada itu, Kim Jong Un mengarahkan sekumpulan pengawal berlari bersamanya dengan berpakaian formal bertali leher, berlari di tengah panas untuk melindungi presiden yang mereka sayangi.

Rujukan

The Drive

Daily North Korea




Hakcipta iluminasi.com (2017)