Oleh pada 11 Feb 2023 kategori

Negara kita memulakan langkah besar dalam pembangunan sukan, menerusi pengenalan sistem sekolah sukan yang banyak melahirkan atlet bertaraf dunia.

Dalam bola sepak, pembangunan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, dinamakan sempena penyerang legenda kita telah memulakan sistem pendidikannya pada tahun 2014, melatih pemain muda berbakat besar dan berpotensi digilap.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di benua berbeza, telah ada banyak akademi bola sepak yang dibangunkan berdekad-dekad lamanya; kini mempunyai reputasi gemilang, melahirkan pemain bertaraf dunia yang menjadi rebutan serata dunia.

Berikut adalah lima akademi paling berprestij kerana kualiti mereka.

1. Escolas Academia Sporting

akademi bola sepak terbaik eropah

Sporting C.P. Youth Academy atau nama barunya yang diperkenalkan tahun 2020 Academia Cristiano Ronaldo, merupakan akademi di bawah kendalian kelab Portugal, Sporting Lisbon.

Dibuka secara rasmi pada tahun 2002 selepas pengurusan kelab melihat keperluan besar mempunyai akademi khas mendidik pemain-pemain muda, pusat latihan mereka dibina di atas tapak sama terletaknya pusat latihan pasukan kebangsaan Portugal dahulu.

Sistem latihan yang dibuka kepada kedua-dua jantina pemain bermula usia 4 tahun sehingga maksima 15 tahun, ditentukan melalui sesi pemilihan untuk menentukan siapa peserta yang terpilih.

Terdapat dua divisyen kumpulan pelajar akademi, dibahagikan mengikut keperluan pelajar - sama ada mereka benar-benar mahu menjadi pemain profesional atau lebih berminat untuk mempelajari kemahiran bola sepak secara sambilan.

Pemain yang lahir dari sini : Luis Figo, Cristiano Ronaldo, Ricardo Quaresma

2. INF Clairefontaine

clairefontaine akademi bola sepak eropah

Dalam sistem pembangunan pemain bola sepak dunia, hanya ada dua akademi yang dikategorikan paling elit. Institut national du football de Clairefontaine salah satu daripadanya.

Terletak di Paris di sebuah daerah bernama Clairefontaine-en-Yvelines, akademi ini merupakan pusat di mana pemain muda terbaik di Perancis akan dihantar; hanya mereka yang benar-benar dikategorikan elit dapat ke sini.

Clairefontaine hanya menerima penyertaan individu berkewarganegaraan Perancis berusia minimum 13 tahun, dengan semua peserta terpilih akan menjalani ujian saringan awal selama 3 hari bagi mengenalpasti tahap kemampuan masing-masing. 

Semua pemain akan menjalani latihan setiap hari kecuali pada hujung minggu, di mana mereka kembali ke kelab masing-masing untuk menyertai perlawanan.

Selain menitik beratkan kemahiran sukan, Clairefontaine juga menetapkan tahap pencapaian pendidikan yang perlu dipenuhi setiap pelatih.

Kesemua pelajar wajib menyertai kelas di sekolah yang telah didaftarkan di sekitar Clairefontaine, perlu menamatkan pendidikan tahap menengah. Kesemua kos pendidikan ditanggung kerajaan Perancis.

Pemain yang lahir dari sini : Kylian Mbappe, Thierry Henry, Olivier Giroud

3. Ajax Jeugdopleiding

ajax kilang lahirkan pemain

Jong Ajax atau Young Ajax (Ajax Muda) adalah pasukan pelapis Ajax Amsterdam, kelab dari Belanda yang cukup terkenal dengan legasi melahirkan pemain berbakat bertaraf dunia dari dulu hingga kini. 

Kesemua pemain yang bermain dalam Jong Ajax diserap daripada Akademi Muda Ajax atau Ajax Jeugdopleiding, bertempat di Amsterdam yang mempunyai 13 pasukan dibahagikan kepada peringkat umur 7 sehingga 18 tahun. Penyertaannya tidak dibuka sebaliknya hanya dibuat melalui jemputan.

Kursus latihan dalam akademi ini dibahagikan kepada beberapa peringkat, bermula daripada peringkat akademi muda sebelum pemain yang layak naik ke pasukan A1 atau pasukan muda Ajax dan seterusnya ke pasukan A2, pelapis kepada skuad senior.

Setiap tahap latihan menggunakan formasi yang sama dalam permainan iaitu 4-3-3 membolehkan setiap pemain tahu dan faham peranan masing-masing dengan sempurna. 

Pemain yang lahir dari sini : Johan Cruijff, Marco Van Basten, Dennis Bergkamp, Matthis de Ligt, Christian Eriksen

4. Centro de Treinamento Rei Pelé

santos akademi bola sepak

Jika kita membicarakan tentang sekolah bola sepak paling terkenal di Brazil, nama akademi kendalian kelab Santos pasti menjadi rujukan.

Tidak seperti akademi elit lain, penyertaan ke Santos terbuka untuk mana-mana peserta yang berminat; hanya dengan syarat usia 8 tahun sebagai usia minimum. Oleh kerana itulah setiap kali permohonan dibuka, ribuan permohonan diterima daripada anak-anak muda Brazil yang mahu mencipta nama.

Setiap sesi pengambilan dianggarkan seramai 250 ke 270 orang pemain terpilih, yang akan dibahagikan kepada 5 kategori umur bermula daripada bawah 11 tahun sehinggalah kepada 20 tahun. 

Daripada jumlah besar itu, kebiasaannya hanya 100 akan kekal dalam program dikendalikan di pusat latihan yang dinamakan Centro de Treinamento Rei Pelé atau Pusat Latihan Raja Pele sempena nama mendiang pemain legenda Brazil, Pele.

Pelatih terpilih ditempatkan dalam dua buah asrama yang mempunyai fasiliti lengkap.

Dalam aspek pendidikan, sebuah sekolah khas bernama Centro de Estudos Luiza Neófiti atau Pusat Pendidikan Luiza Neofiti diwujudkan tidak jauh daripada lokasi latihan mereka, bagi memastikan peserta tidak tercicir dalam pembelajaran.

Pemain yang lahir dari sini : Pele, Neymar, Rodrygo

5. La Masia de Can Planes

akademi bola sepak berprestij di eropah

La Masia de Can Planes atau lebih dikenali hanya dengan nama La Masia, merupakan akademi bola sepak kendalian kelab Barcelona dari Sepanyol, yang mempunyai reputasi cukup hebat serta menyaingi Clairefontaine dari Perancis.

Namanya bermaksud 'Rumah Ladang' mempunyai sejarah menarik di belakangnya.

Pada awalnya La Masia merupakan sebuah rumah lama berusia lebih 300 tahun (gambar atas) yang dijadikan lokasi kelab Barcelona menjalankan urusan pentadbiran mereka serta menempatkan pemain-pemain. 

la masia akademi bola sepak barcelona

Bermula pada tahun 1979, bangunan La Masia mula dijadikan akademi latihan pemain-pemain muda, diambil daripada model program latihan yang dibangunkan di Ajax Amsterdam.

Ekoran daripada perkembangan pesat, rumah ladang itu tidak lagi dapat memenuhi keperluan latihan, memaksa akademi itu dipindahkan ke bangunan baru yang lebih moden dan lengkap fasilitinya pada tahun 2011. Namanya yang ikonik dikekalkan.

Bangunan baru yang mampu menempatkan 83 orang pelatih akademi memerlukan semua pelatih menjalani hidup sebagai pemain dan pelajar dengan seimbang.

Uniknya, selain 83 pelatih bola sepak itu, La Masia juga menempatkan pelatih 4 cabang sukan berbeza iaitu bola keranjang, bola baling, futsal dan hoki, membolehkan setiap pelatih yang ada berkongsi perspektif dalam bidang sukan masing-masing.




Hakcipta iluminasi.com (2017)