Insiden yang menimpa Christian Eriksen, tonggak tengah serta pemain berpengaruh pasukan kebangsaan Denmark dalam kejohanan Euro 2020 merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk disaksikan.
Dalam perlawanan Denmark menentang Finland pada 13 Jun 2021 beberapa minit sebelum berakhir separuh masa pertama, Eriksen sedang bersedia menerima balingan daripada rakannya rebah tiba-tiba sehingga memerlukan bantuan kecemasan.
BESARKAN TEKS A- A+
Dia akhirnya berjaya dipulihkan selepas menjalani rawatan selama beberapa puluh minit, akibat kegagalan jantung lebih 6 minit.
Eriksen bernasib baik namun kejadian hampir sama sebenarnya telah pun menyebabkan ramai pemain bola sepak mengalami nasib buruk terkorban atas padang. Berikut adalah lima kes berprofil tinggi melibatkan sedemikian rupa.
1. Miklos Feher (25 Januari 2004)
Walaupun berasal dari Hungary, Miklos Feher banyak memperkembangkan karier bola sepak di negara angkatnya Portugal selepas kelab gergasi Porto mengambilnya sebagai pemain muda.
Gagal memecah masuk ke kesebelasan utama Porto, Feher dipinjamkan ke kelab Braga di mana dia mempamerkan aksi cemerlang menjaringkan 14 gol dalam 26 perlawanan, seiring dengan peranannya dalam pasukan kebangsaan Hungary yang semakin berkembang.
Semasa bermain bersama kelab Benfica dalam satu perlawanan menentang Vitoria de Guiamaraes, Benfica mendahului 1-0 ketika tiba masa kecederaan; Feher hilang kawalan diri, tunduk sebelum terlentang ke belakang dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Dia dikejarkan ke hospital namun usaha untuk menyelamatkan beliau gagal, disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usia 24 tahun tanggal 25 Januari 2004.
2. Samuel Okwaraji (12 Ogos 1989)
Pemain tengah Nigeria, Samuel Okwaraji mula menjadi sebutan selepas persembahan baik dalam kejohanan Olimpik serta Kejuaraan Liga Afrika di mana Nigeria muncul naib johan dalam kejohanan tahun 1988.
Disebut antara tonggak muda yang bakal menggalas cabaran Nigeria, karier Okwaraji malangnya terhenti selepas dia pengsan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Nigeria dan Angola yang dianjurkan di Lagos, pada minit ke 77 perlawanan.
Ketika itu Nigeria mendahului 1-0 dan Okwaraji lancar menjadi enjin yang menggerakkan rakan sepasukannya. Disaksikan lebih 20,000 penonton yang berada dalam stadium, usaha untuk menyedarkan Okwaraji gagal dan dia disahkan meninggal dunia atas padang.
Seorang yang cemerlang bukan saja dalam sukan malahan bidang akademik, Okwaraji menguasai lima bahasa, mempunyai kelulusan sarjana undang-undang serta mempunyai kelulusan profesional bidang guaman.
Punca kematiannya adalah disebabkan saiz jantungnya yang abnormal; lebih besar berbanding biasa yang mengakibatkan tekanan darahnya meningkat tinggi semasa beraksi, meninggikan risikonya berbanding pemain-pemain lain.
3. Cheik Tiote (5 Jun 2017)
Bagi peminat liga perdana Inggeris, nama Cheik Tiote mungkin kerap anda dengari dahulu semasa Allahyarham beraksi bersama Newcastle United selama 6 musim sebagai pemain tengah kelab itu.
Seorang pemain kental yang terkenal dengan bentesan keras bersama kelab mahupun pasukan kebangsaan Ivory Coast, Tiote memilih untuk berhijrah ke liga China pada penghujung karier beliau menandatangani kontrak bersama kelab Beijing Enterprises.
Pada 5 Jun 2017 ketika sesi latihan bersama kelab tersebut selepas 5 bulan di Beijing, Tiote jatuh pengsan. Dia dikejarkan ke hospital namun gagal diselamatkan, disahkan meninggal akibat serangan jantung.
Lebih malang, semasa kejadian - isteri beliau sedang menantikan detik kelahiran cahaya mata mereka berdua yang dijadualkan seminggu kemudian.
Nama beliau mungkin tidak segah pemain lain, namun tindakan Tiote memboikot jersi kelabnya sendiri yang memaparkan syarikat perjudian ekoran bercanggah dengan prinsip agama Islam menjadi antara peristiwa yang tidak dilupakan dalam sejarah konflik kelab dan pemain dalam liga perdana Inggeris.
4. Ali Bakar (9 Ogos 2003)
Jika anda peminat lama pasukan kebangsaan Malaysia, anda pasti mengenali adik beradik Ali dan Isa Bakar, kedua-duanya merupakan antara nama anak tempatan terkenal dan handal bukan pemain import, bukan pemain naturalisasi yang pernah menyarung jersi kebanggaan negara kita.
Ali Bakar anak kelahiran Pulau Pinang sebelum kemerdekaan negara, merupakan salah seorang tonggak utama pasukan Pulau Pinang ketika dekad 70-an serta menjadi antara pemain kebangsaan yang layak ke kejohanan bola sepak sukan Olimpik 1972 di Jerman; menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina dalam pusingan kelayakan.
Dia menamatkan karier bola sepak dengan memegang 80 penampilan untuk Malaysia terus bergiat aktif dalam liga antara penjara, ekoran jawatannya sebagai Pegawai Penjara. Cintanya pada bola sepak jelas tidak pernah terhenti.
Dalam satu perlawanan amal antara Veteran Malaysia menentang Veteran Singapura di Stadium Nasional Singapura, Allahyarham Ali mengalami serangan jantung semasa beraksi pada usia 56 tahun. Dia disahkan meninggal dunia di atas padang.
Jenazah diterbangkan dari Singapura ke Pulau Pinang, disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Perak pada 18 Oktober 2003 disaksikan bekas rakan sepasukannya seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh serta kesemua adik-beradiknya yang jelas kaki bola.
5. Marc Vivien Foe (26 Jun 2003)
Di antara kebanyakan kes kematian di atas padang, tragedi yang menimpa pemain yang tidak lokek dengan senyuman Marc Vivien Foe memberikan impak terbesar dalam sejarah bola sepak.
Ini kerana selepas kematian beliau dalam kejohanan Piala Konfederasi FIFA pada 26 Jun 2003 di antara negaranya Cameroon menentang Colombia, kesedaran tentang pentingnya tahap kesihatan pemain diperiksa secara rutin mula dijalankan secara terperinci.
Selain itu pemain bola sepak juga mula menyedari kepentingan untuk mereka mampu mengenalpasti situasi kecemasan sekiranya berlaku insiden buruk di atas padang. Pemain mula diajar ilmu kecemasan berkenaan teknik CPR dan apa yang perlu dilakukan, seandainya ada di kalangan pemain mengalami kegagalan jantung.
FIFA sendiri selepas kematian Foe di atas padang - mula meletakkan pasukan petugas khas lengkap dengan alat defibrillator di tepi padang dalam setiap kejohanan, bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Menempa nama bersama kelab West Ham dan Manchester City di England dan Lens serta Lyon di Perancis, Vivien Foe rebah pada minit ke 72 perlawanan ketika Cameroon mendahului 1-0.
Usaha untuk memulakan kembali jantungnya cuba dilakukan pegawai perubatan stadium selama 45 minit, namun berdepan kegagalan.
Sehingga kini nombor jersi 23 yang dipakainya semasa dia berkhidmat dengan kelab Manchester City terus dibiarkan kosong. Langkah itu diambil sempena mengingati sumbangan beliau kepada kelab tersebut serta impak yang telah ditinggalkan beliau kepada sukan bola sepak khasnya.