Oleh pada 25 Sep 2018 kategori

Dalam salah satu kes saman terkenal melibatkan syarikat pengeluar produk elektronik, kes yang berlaku melibat syarikat gergasi Apple pada tahun 2017 benar- benar menggegarkan dunia.

Ini kerana Apple mengakui secara sengaja mereka memperlahankan kelajuan peranti-peranti iPhone keluaran mereka terdahulu, tanpa pengetahuan pengguna selepas memuatnaik perisian versi terbaru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hujah Apple, tindakan itu terpaksa diambil untuk melindungi jangka hayat bateri pada model-model lama iPhone.

Pengguna model iPhone menyedari perubahan ini selepas banyak kes telefon dipadamkan secara automatik, walaupun bateri masih berbaki separuh.

Berdepan tuduhan, Apple menafikan semua tuduhan dan dakwaan tindakan itu dilakukan bagi 'memaksa' pengguna menukar peranti kepada versi baru.

Bagaimanapun, mendedahkan kepada masyarakat berkenaan tindakan sesetengah syarikat yang mengamalkan apa yang ditermakan sebagai 'tahap lupus dijangka' atau 'planned obsolescence' pada produk keluaran mereka.

Apa itu 'tahap lupus dijangka'?

alat kawalan jauh lama yang tidak digunakan

Tahap lupus dijangka atau 'planned obsolescence' merupakan kaedah pengeluar produk mencipta produk mereka yang mempunyai tempoh jangka hayat tertentu. Tempoh jangka hayatnya berbeza-beza dengan fokus atau tujuan jangka hayat itu, mempunyai bermacam jenis matlamat jangka panjang. 

Contoh perancangan 'tahap lupus dijangka' yang baik adalah apabila sebuah mesin basuh direka untuk bertahan lama, dengan hanya kerosakan menyebabkan keperluan penggantian alat ganti atau seluruh mesin diperlukan.

Pengeluar memang sudah merekabentuk produk mesin basuh mereka untuk tidak memerlukan pembaikian pada satu tempoh pertama yang kita gelarkan sebagai waranti atau jaminan, sebelum mesin mula mengalami kerosakan kecil yang tidak mahal kos membaikinya akibat keuzuran komponen.

Hanya selepas satu waktu tempoh tertentu, kebiasaannya tahun ke 5 atau ke 6, barulah mesin basuh itu mengalami kerosakan bersifat major yang memerlukan pembaikian berkos tinggi ataupun perlukan penggantian dengan mesin baru.

Perkara ini dianggap normal kerana setiap pengeluar sudah mengenalpasti jangka hayat setiap komponen dalam produk mereka, untuk memudahkan mereka menguruskan waranti dan juga bekalan alat ganti yang bakal diperlukan pengguna.

Ini contoh perancangan tempoh jangka lupus yang baik.

Bagaimana 'tahap lupus dijangka' dimasukkan ke dalam produk

longgokan kereta yang dibuang

Berbeza dengan produk elektrik, produk elektronik seperti telefon pintar misalnya ada kalanya direka bentuk dengan tahap lupusnya sudah dirancang lebih awala. Pada pandangan penulis, ini adalah satu amalan tidak beretika sekiranya dilakukan pengeluar. Satu contoh yang terang-terangan mengambil kesempatan ke atas pengguna adalah bagaimana pengeluar dakwat pencetak menghalang pengguna daripada menghabiskan dakwat yang ada dalam katrij walaupun masih berbaki. Pencetak juga sudah diprogramkan untuk tidak lagi mahu mencetak walaupun dakwat masih ada.

Katrij dakwat juga dibina agar dakwat mustahil untuk diisi semula oleh pengguna bagi memastikan pengguna membeli katrij baru.

Antara contoh lain produk yang dibina tahap lupus jangka di dalamnya adalah telefon yang baterinya tidak boleh dikeluarkan (tanpa melanggar tempoh waranti), perisian komputer dan permainan video yang tidak lagi disokong oleh pengeluarnya. 

Pernahkah anda mengalami kerosakan sesuatu barangan, tetapi memilih untuk membeli produk baru hanya disebabkan kos membaikinya terlalu tinggi?

Itu juga berpunca daripada rancangan 'tahap jangka lupus' syarikat pengeluar yang sengaja meletakkan alat ganti pada harga tinggi, untuk memastikan produk mereka terjual dengan lancar setiap kali anda menghadapi kesulitan.

Kesan pada alam sekitar

tapak pelupusan sampah

Tidak dinafikan model 'planned obsolescence' ini mampu menawarkan produk yang senantiasa mengalami penambahbaikan, berikutan permintaan yang sentiasa ada. 

Harus diingatkan, tidak adil sekiranya kita terus menyalahkan syarikat yang mengamalkan kaedah ini sebagai kurang beretika kerana pengeluar yang baik mesti mempunyai kebolehan meramal jangka hayat sebenar produk mereka.

Ekonomi dunia kini dipacu oleh permintaan yang sentiasa berubah-ubah, menyediakan peluang pekerjaan pada ramai orang serta menggerakkan ekonomi dengan sangat pesat.

Kesan permintaan tinggi disebabkan keperluan pengguna yang sentiasa ada, mampu menurunkan harga barang, membolehkan lebih ramai orang mampu membeli produk keluaran syarikat-syarikat.

Perubahan penerimaan orang ramai terhadap ciri-ciri produk juga mengalami perubahan, memberi justifikasi pada pengeluar untuk terus mengawal trend pengguna.

Sebagai contoh, seseorang yang gemar 'mengejar' teknologi telefon pintar mungkin menganggap kebolehan untuk menggantikan bateri telefon yang sudah kurang cekap, tidak lagi menjadi satu releran - kerana dia tahu tidak lama lagi, dia pasti akan menukar telefon model baru yang lebih baik.

Ini memberikan syarikat pengeluar peluang untuk mengawal tahap jangka lupus produk mereka lebih pantas, menjadikan produk yang baru saja keluar setahun sudah dikira tua.

Kesan pada alam sekitar

pelupusan sampah yang diimport di afrika

Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan permintaan serta kekerapan menukar peranti, jumlah barangan yang kita buang semakin meningkat tahun ke tahun. Di Amerika utara sahaja, 350 juta katrij dakwat pencetak dibuang setiap tahun.

Proses pengeluaran, pembelian dan pembuangan ini memerlukan kawasan-kawasan pelupusan yang besar, dengan beberapa negara di Afrika dan negara-negara Asia seperti China menjadi destinasi bahan buang produk yang sudah dibuang.

taktik buruk peniaga merancang kerosakan planned obsolescence

Negara Perancis sejak awal 2018 sedang dalam usaha mewajibkan penggunaan label jangka hayat produk pada barangan elektronik dan perkakasan rumah - bertujuan untuk menjelaskan pada pembeli tempoh hayat produk tersebut kekal berkeadaan baik.

Setiap produk akan dinilai daripada faktor kualiti binaan, kemudahan membaiki dan juga ketahanan, dengan skor 1-10 diberikan pada setiap produk yang dikeluarkan pengeluar.

Dengan pengenalan langkah ini, Perancis menjadi negara dunia pertama melakukan usaha mengawal sistem 'tempoh lupus dijangka' yang diamalkan pengeluar produk, dalam melindungi negara mereka daripada pembaziran dan menukar model ekonomi mereka ke arah yang lebih baik. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)