Oleh pada 13 Jan 2018 kategori

syarikat besar yang disaman kerana ciplak idea

Terdapat beberapa idea jenama yang menempah kejayaan berbilion dolar. Namun, disebalik keuntungan luar biasa itu, ia mungkin hasil karya yang telah diciplak. Tidak diketahui sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau tidak. Mari kita sama-sama semak senarai tersebut. 

1. iPhone

iphone didakwa idea asal thomas s ross

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumber foto: Getty / Florida Southern District Court

Steve Jobs pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Apple tidak malu untuk mencuri idea-idea hebat. Namun, adakah benar kuasa besar teknologi itu juga mencuri reka bentuk sebuah peranti bacaan elektronik oleh seorang lelaki dari Florida?

Pada Jun 2016, Thomas S. Ross menyaman Apple sebanyak $10 bilion, kerana didakwa mencuri idea beliau. Pada tahun 1992, Ross memfailkan paten untuk sebuah peranti bacaan elektronik, iaitu gajet berbentuk segi empat tepat yang boleh digenggam dengan tangan, dan dilengkapi skrin.

Ross turut memfailkan tuntutan mahkamah bagi lukisan paten asli miliknya. Beliau mendakwa produk iPhone sangat mirip dengan lukisan teknikalnya. Selain pampasan bernilai lebih $10 bilion, Ross mendakwa Apple berhutang "royalti wajar" sebanyak 1.5% daripada hasil jualan syarikat itu pada masa hadapan.

Memandangkan pendapatan Apple pada tahun 2016 adalah kira-kira $200 bilion, terdapat anggaran tambahan $2 bilion setahun di samping pembayaran itu. Sehingga Mac 2017, tuntutan mahkamah terbabit masih berjalan.

Sumber: The Telegraph, ABC, Fortune, Metro

2. Harry Potter

harry potter dan adrian jacobs

Sumber foto: The 1709 Blog

Berikutan kejayaan antarabangsa bagi tiga buku Harry Potter yang pertama, adakah tekanan untuk menghasilkan karya yang lebih baik membuatkan J.K. Rowling sanggup mencuri beberapa idea plot untuk buku keempatnya? Keluarga seorang penulis kanak-kanak, Adrian Jacobs, yang meninggal dunia pada tahun 1997, seolah-olah berfikir sedemikian.

Pada Jun 2009, mereka cuba menyaman pihak penerbitan Bloomsbury kira-kira $600 juta, kerana menuduh J.K. menciplak bahagian penting hasil kerja beliau dalam novel "Harry Potter and the Goblet of Fire". Dalam sebuah kenyataan, keluarga Jacobs mendakwa satu babak dalam novel tersebut terlalu serupa dengan buku "The Adventures of Willy the Wizard: Livid Land", karya Jacobs pada tahun 1987.

Kedua-dua Willy dan Harry dikehendaki menyelesaikan sebahagian tugas sebuah pertandingan. Mereka berjaya melaksanakannya dalam sebuah bilik mandi, menggunakan petunjuk daripada para pembantu. Rowling mengkritik dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tidak masuk akal, kerana beliau tidak pernah membaca buku berkenaan.

Pada Julai 2011, kes itu ditolak selepas pemegang amanah hartanah Jacobs gagal memenuhi tarikh akhir fasa pertama bayaran berjumlah $1.8 juta, sebagai jaminan kos kepada mahkamah.

Sumber: The Guardian, The Telegraph, BBC

3. Uber

uber dan celluride

Sumber foto: Tripvivid

Uber tidak pernah lekang dengan kontroversi. CEO syarikat rangkaian pengangkutan multi bilion dolar ini, Travis Kalanick sering menjadi tajuk utama berita. Persoalan yang lebih serius, adakah Kalanick mencipta konsep Uber?

Kevin Halpern, seorang usahawan dan pengasas "Celluride", sebuah syarikat permulaan yang sama seperti Uber, menyaman Kalanick dengan $1 bilion pada tahun 2015. Halpern mendakwa berkongsi ideanya mengenai GPS dan perkhidmatan panggilan teksi menggunakan telefon bimbit dengan Kalanick pada tahun 2006. Kalanick kemudian mengambil idea tersebut untuk mewujudkan Uber.

Tuntutan mahkamah itu turut disertakan dengan video berdurasi 12 minit yang dinamakan "Grand Theft Uber". Ia berjaya membebaskan tuduhan tersebut terhadap orang dalam Uber.

Pada Ogos 2016, Uber berhadapan dengan lebih 70 tindakan undang-undang di mahkamah persekutuan. Ini termasuk tuntutan Halpern bahawa beliau adalah pemilik sebenar idea perkhidmatan teksi inovatif itu.

Sumber: CNN, Fortune, Business Insider

4. Facebook

facebook dan connectu 898

Sumber foto: Quora

Menerusi filem "The Social Network", kita dapat mengetahui bagaimana Mark Zuckerberg didakwa mewujudkan Facebook dengan mencuri idea dari bekas rakan sebiliknya sewaktu zaman kolej. Mark Zuckerberg  melancarkan laman web itu pada 4 Februari 2004.

Zuckerberg ketika itu berusia 19 tahun dan masih bergelar pelajar tahun kedua Universiti Harvard. Seminggu kemudian, beliau dituduh oleh tiga pelajar seniornya iaitu Tyler Winklevoss, Cameron Winklevoss dan Divya Narendra, atas dakwaan di atas.

Pada tahun 2002, trio itu membangunkan sebuah laman web rangkaian untuk pelajar Universiti Harvard, yang dipanggil "HarvardConnection". Nama projek itu kemudiannya diubah menjadi "ConnectU" dan berkembang ke sekolah-sekolah lain di seluruh Amerika Syarikat .

Sebaik Facebook dilancarkan, "ConnectU" memfailkan tuntutan mahkamah, yang mendakwa Zuckerberg telah melanggar kontrak lisan dengan mereka. Beliau dikatakan meniru idea dan menggunakan kod perisian laman web mereka secara haram, semasa menjadi pekerja mereka.

Tuntutan berakhir pada tahun 2008, apabila Facebook menyerahkan kira-kira $65 juta kepada trio itu. Pada tahun 2016, nilai bersih Facebook dianggarkan $10 bilion. 

Sumber: The Telegraph, The Guardian, CBS News, New York Times

5. Microsoft

microsoft dan gary kildall

Sumber foto: Reasoning Conspiracy

Selama bertahun-tahun, tersebar khabar angin mengatakan Microsoft yang mempunyai pendapatan kira-kira $85 bilion, tidak mencipta dari awal kod sumber untuk sistem operasi MS-DOS, pra-kursor ke Windows. Terdapat juga dakwaan kod itu disalin daripada sistem pengendalian CP/M, yang dibangunkan oleh Gary Kildall dari Digital Research.

Kebanyakan spekulasi ini telah ditamatkan. Tetapi, seorang jurutera elektrik, Bob Zeidman, yakin Microsoft tidak "sebersih" seperti yang mereka canangkan. Setelah menganalisis kedua-dua sistem ini beberapa kali, beliau masih belum menjumpai sebarang bukti untuk mengesahkan isu plagiarisme terbabit.

Pada Ogos 2016, beliau menawarkan ganjaran $200,000 kepada sesiapa yang boleh membuktikan MS-DOS meniru CP/M. $100,000 akan diberikan kepada sesiapa yang boleh menggunakan "teknik forensik yang diterima pakai" untuk membuktikan bahawa MS-DOS adalah hasil ciplak. Manakala $100,000 lagi diberikan kepada individu yang dapat mencari fungsi hak cipta "khayalan" Kildall di dalam MS-DOS.

Secara ringkasnya, fungsi hak cipta Kildall sepatutnya boleh mencetak notis hak cipta dalam MS-DOS yang memaparkan nama Gary Kildall selaku pencipta CP/M.

Sumber: Wired, Gizmodo

6. Oreo

oreo dan hydrox

Sumber foto: Kotaku

Sejak Oreo diperkenalkan pada tahun 1912, sejumlah 450 bilion produk itu telah dihasilkan di seluruh dunia. Oreo dilabelkan sebagai biskut kegemaran penduduk Amerika.

Walaubagaimanapun, ideanya mungkin telah dicuri dari biskut berkrim ikonik, Hydrox. Hydrox pertama kali dikeluarkan pada tahun 1908, 4 tahun sebelum Oreo memasuki pasaran. Hydrox menguasai pasaran biskut sandwich, sehingga Nabisco muncul dengan Oreo sebagai produk baru mereka.

Pemilik Hydrox, Sunshine Biscuits cuba untuk bersaing dengan Nabisco. Tetapi, oleh kerana Nabisco jauh lebih besar dan mempunyai strategi pemasaran yang lebih baik, syarikat itu mengambil alih pasaran.

Malah, Oreo menjadi begitu popular sehingga Hydrox mula dianggap sebagai produk tiruan. Akhirnya, pengeluaran biskut Hydrox telah dihentikan pada tahun 1999.

Pada tahun 2000, Kraft memperoleh jenama Nabisco. Pendapatan tahunannya dilaporkan setinggi $1.5 bilion.

Sumber: Gizmodo, Time Magazine, Forbes

7. Lego

lego dan kiddicraft

Sumber foto: Lego & Chas Saunter / Brick Fetish

Alat permainan bongkah plastik kecil, Lego terkenal di seluruh dunia, khususnya bagi golongan kanak-kanak. Idea produk ini nampak ringkas, tetapi sangat bijak. Anda pasti tertanya-tanya bagaimana ianya boleh dihasilkan.

Terdapat dakwaan mengatakan Lego adalah ihsan "bongkah mainan plastik kunci kendiri" milik Kiddicraft, yang telah wujud 10 tahun sebelum Lego dicipta, dengan persamaan yang amat ketara.

Pada tahun 1939, seorang ahli psikologi kanak-kanak dan pelopor alat permainan, Hilary Fisher Page, telah membangunkan mainan baru, "Hollow". Bongkah mainan plastik dengan 4 atau 8 kancing ini membolehkan kanak-kanak membina barangan seperti rumah kecil dan pencakar langit.

Kira-kira 8 tahun selepas itu, pengasas Lego, Ole Kirk Christiansen membeli sebuah mesin suntikan plastik. Jurujual itu mendemonstrasikan pelbagai jenis permainan yang boleh dihasilkan dengan beberapa set mainan Kiddicraft. Christiansen kemudian didakwa meniru produk itu secara menyeluruh, termasuk semua pintu dan tingkap kecil yang ada.

Selepas itu, Lego terus dikenali ramai. Pada tahun 2016, pendapatan bersihnya setinggi $3.4 bilion. Malangnya, Page disahkan membunuh diri pada tahun 1957, selepas syarikatnya tidak berjaya diselamatkan lagi.

Sumber: Gizmodo, Minimalism: Designing Simplicity By Hartmut Obendorf

8. Avatar

avatar didakwa gabungan idea filem lain

Sumber foto: dbmoviesblog

Sebaik ditayangkan di pawagam pada tahun 2009, Avatar berjaya mengumpul kutipan pecah panggung $2.7 bilion. Tetapi, ramai penonton mengatakan ia jelas meniru filem-filem terdahulu seperti "Dances With Wolves", "FernGully: The Last Rainforest" dan "Pocahontas".

Selain peminat filem dan pengkritik, penulis skrip turut seorang demi seorang menyaman penulis dan pengarah filem Avatar, James Cameron. Salah satu dakwaan plagiarisme yang dibahas secara meluas, dimana penulis skrip Bryant Moore menegaskan Avatar adalah gabungan dua skripnya berjudul "Aquatica" dan "Descendants: The Pollination".

Pada tahun 2011, Moore memfailkan tindakan undang-undang terhadap Cameron, Lightstorm Entertainment dan Twentieth Century Fox Film Corporation, atas tuntutan hak cipta, dengan menuntut kerugian berjumlah $2.5 bilion.

Moore menyerahkan skripnya kepada Lightstorm Entertainment milik Cameron pada tahun 1993 dan 1994. Malangnya, beliau diberitahu syarikat itu tidak berminat dengan cadangannya.

Menurut Cameron pula, ianya sekadar dakwaan kosong, dengan menggunakan pengakuan bersumpah menerusi 45 halaman sebagai bukti. Beliau memperincikan bagaimana Avatar dikonsepsikan, yang berjaya digunakan dalam sebuah tuntutan mahkamah plagiarisme sebelum itu.

Pada tahun 2014, mahkamah menafikan tuntutan hak cipta dari Moore dan kes itu digugurkan.

Sumber: Gizmodo, Cinema Blend, Hollywood Reporter

9. Snapchat

snapchat disaman reggie brown

Sumber foto: Financial Post

Pada Mac 2017, Snapchat bernilai $33 bilion. Namun, tidak ramai tahu detik-detik sukar dilalui syarikat itu sebelum menempa kejayaan. Snapchat menghadapi tuntutan mahkamah yang sama seperti Facebook, iaitu tentang siapa pencipta sebenar aplikasi perkongsian foto berkenaan.

Pada musim panas tahun 2011, tiga sahabat iaitu Evan Spiegel, Bobby Murphy dan Reggie Brown yang merupakan bekas pelajar di Universiti Stanford, muncul dengan idea untuk sebuah aplikasi "sexting".

Mereka tidak lama kemudian menyedari ia akan menjadi sangat berjaya. Tetapi, trio itu berpecah apabila Brown terdengar perbualan antara Spiegel dan Murphy, yang mahu menggulingkannya dalam perniagaan tersebut.

Brown membalas dendam dengan menahan dokumen paten milik Snapchat dari Spiegel. Beliau kemudiannya menyaman Spiegel dan Murphy untuk sahamnya dalam syarikat berkenaan.

Brown mendakwa beliau merupakan pencipta konsep dan logo "hantu" Snapchat, selain mengambil Murphy untuk menyertai trio itu.

Tuntutan mahkamah yang berlangsung selama setahun setengah ini diakhiri dengan bayaran $158 juta oleh Snapchat kepada Reggie Brown pada tahun 2014. Sehingga kini, Spiegel dan Murphy masih memiliki Snapchat.

Sumber: Business Insider, Tech Crunch, The Independent, Vox

10. Finding Nemo

finding nemo dan pierrot the poison clown

Sumber foto: Amazon

Finding Nemo, kisah seekor ikan badut yang mencari saudaranya yang hilang, dengan bantuan hidupan laut yang lain. Filem ini merupakan antara filem animasi yang paling disukai ramai dan berjaya menerima banyak pengiktirafan.

Filem yang dihasilkan oleh Pixar ini didakwa meniru sebuah buku "Pierrot: The Poison Clown" yang kelihatan seperti sebuah buku gambar yang "tangkap muat". Namun, itulah sebab mengapa pengeluarannya dihentikan oleh pemilik kedai buku di Perancis ketika "Finding Nemo" ditayangkan pada tahun 2003. 

Pada tahun 1995, seorang penulis kanak-kanak Perancis, Franck Le Calvez menulis skrip yang dipanggil "Pierrot the Clownfish". Beliau membayangkannya sebagai sebuah filem animasi dan berjaya diketahui beberapa pembikin filem. Malangnya, tiada siapa yang berminat untuk membangunkan idea itu. Akhirnya, Le Calvez menggunakan wang simpanannya untuk menerbitkan sendiri kisah itu menerusi sebuah buku kanak-kanak berilustrasi pada tahun 2002.

Le Calvez berjaya menghebahkan karyanya, dengan harapan terdapat studio filem yang menyukai dan mengadaptasikannya sebagai sebuah filem. Setahun kemudian, beliau terkejut apabila filem "FInding Nemo" muncul di pawagam dan membuat hasil kutipan jutaan dolar, tanpa namanya diberikan kredit.

Walaupun para pembikin filem itu menegaskan tidak pernah melihat skrip "Pierrot the Clownfish", terdapat persamaan ketara antara kedua-dua karya tersebut yang mustahil suatu kebetulan. Kedua-dua Nemo dan Pierrot adalah ikan badut yang tinggal di sebuah anemone. Kedua-dua watak itu kehilangan ibu bapa kepada pemangsa, iaitu bapa Pierrot dan ibu Nemo. Mereka kemudiannya terpisah dari yang lain dan bertemu semula.

Fokus "FInding Nemo" selepas itu beralih kepada bapa Nemo, Marlin. Namun, persamaannya masih terus berkembang. Marlin dan Pierrot kedua-duanya bertemu dengan surgeonfish (watak "Dory" dalam "Finding Nemo"), bersama dengan watak-watak hidupan laut yang lain, termasuk cleaner shrimp.

Le Calvez membawa kes tersebut ke mahkamah, dimana para peguam Disney mengalahkan beliau dengan mudah, seperti yang dijangkakan. Akhirnya, pihak mahkamah memihak kepada Disney dengan alasan yang munasabah, iaitu Pierrot dan Nemo adalah dua watak yang berbeza.

Sumber: IGN, BBC News, Today, Forbes

Rujukan:

1.    Norman Balberan

2.    Youtube Alltime10s

3.    Cracked




Hakcipta iluminasi.com (2017)