Sistem SMS satu ketika dulu sangat popular sebagai medium komunikasi namun masalah utamanya adalah untuk setiap satu SMS yang dihantar - caj 10 sen ke 20 sen akan dikenakan pihak pengendali rangkaian; sehinggalah ke hari ini.
Populariti SMS akhirnya mula pudar selepas beberapa aplikasi yang dibangunkan pihak luar mula membolehkan orang ramai berhubung secara mudah dan yang lebih penting, tanpa kos dikenakan. Apa yang perlu kita ada hanyalah capaian internet.
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat banyak aplikasi mesejan tanpa kos yang boleh kita gunakan seperti WeChat, Telegram dan bermacam lagi tetapi yang jelas salah satu aplikasi paling popula sudah tentulah Whatsapp.
Ramai orang menggunakan Whatsapp tanpa bayaran walau sesen pun sehingga aplikasi itu memulakan revolusi komunikasi yang terus diikuti banyak pihak.
Whatsapp bermula bukan untuk jana keuntungan
Untuk menceritakan tentang Whatsapp, tidak sah kalau kita tidak memulakan kisahnya dengan seorang individu bernama Jan Koum - pengasas Whatsapp yang berasal dari Ukraine dan Brian Acton, seorang pengaturcara dari Amerika Syarikat.
Pada tahun 1997, kedua-duanya bertemu semasa bertugas dalam firma Ernst and Young sebelum kedua-dua sama-sama melompat ke gergasi internet ketika itu Yahoo.
Di situlah kedua-duanya mula mengalami jatuh bangun dunia internet sebenar sebelum meninggalkan Yahoo. Mula berdepan masalah kewangan, Koum mula menyedari potensi yang ada dalam teknologi bentuk baru selepas Apple memperkenalkan iPhone kepada dunia.
Koum mempunyai idea untuk membangunkan sebuah aplikasi yang mampu memberikan kita notifikasi tentang status seseorang berdasarkan kepada akaun pengguna, namun idea awalnya mendapat sambutan dingin rakan-rakan yang menguji aplikasi yang mereka namakan sebagai 'Whatsapp 1.0'.
Hanya selepas Apple memperkenalkan sistem nofitikasi pengguna pada tahun 2009, Koum memperbaiki Whatsapp bagi memanfaatkan fungsi tersebut, untuk memaparkan perubahan status pengguna setiap kali ada perubahan.
Kumpulan pengguna terawal Whatsapp mula seronok mengubah-ngubah status sambil memeriksa notifikasi yang keluar di skrin pengguna lain, sebelum mereka mula berbual menggunakan tingkap status mereka.
Koum mula menyedari kesilapan mereka. Buat apa mereka perlu mengehadkan komunikasi antara pengguna dengan pengguna lain hanya pada bentuk status sahaja?
Kenapa mereka tak wujudkan terus sistem mesej yang membolehkan komunikasi penuh?
Whatsapp 2.0 mula memperkenalkan sistem permesejan
Kedua-duanya mula menambah baik fungsi Whatsapp lalu menambahkan fungsi mesej, sebelum Whatsapp 2.0 dilancarkan dalam peringkat percubaan pada 27 Ogos 2009.
Di sinilah kerjasama antara Koum dan Acton kembali terjalin, selepas Acton berjaya mendapatkan dana permulaan $250,000 untuk meneruskan operasi bagi memuktamadkan aplikasi Whatsapp terbaru.
Whatsapp 2.0 dilancarkan dalam versi penuh, secara eksklusif dalam Apple Store membenarkan pengguna yang ketika itu sudah biasa dengan sistem SMS berbayar berhubung secara percuma tak kiralah di mana saja mereka berada.
Untuk beberapa tahun awal, Koum dan Acton bekerja dalam sebuah gudang yang dibangunkan kubikel diisi perabot terpakai. Kedua-duanya tidak mengambil gaji bagi membolehkan kos dikurangkan.
Bagaimanapun dana permulaan yang mereka ada mula menyusut disebabkan oleh kos operasi serta kos bagi menghantar teks kepada pengguna baru untuk tujuan pengesahan akaun.
Bagi membantu menampung kos ini, Whatsapp mula meminta agar pengguna membayar $1 setahun sebagai yuran akaun yang sebenarnya tidak dipaksa pun kepada pengguna.
Model perniagaan ini berjaya kekal membantu Whatsapp beroperasi membolehkan orang ramai berhubung secara percuma atau paling mahal pun, $1 setahun. Jika dibandingkan dengan SMS, kita sudah tahu mana satu pilihan pengguna.
"No ads! No games! No gimmicks!"
Sejak mula bekerjasama, Koum dan Acton tidak mensasarkan Whatsapp untuk menjana keuntungan. Komitmen mereka hanya satu - untuk membolehkan orang ramai berkomunikasi.
Ini dibuktikan menerusi mantera yang dikongsi mereka berdua - "tidak ada iklan! Tidak ada muslihat! Tidak ada gimik!" yang ditulis Acton atas sekeping kertas, ditampalkan pada meja Koum bagi mengingatkan mereka berdua visi mereka.
Fokus itu membuatkan jumlah pengguna Whatsapp mula meningkat daripada puluhan orang pada awalnya, mencecah 200 juta semasa pelancaran Whatsapp 2.0 sebelum mencapai 450 juta orang pada tahun 2014.
Berbeza dengan pesaing-pesaing aplikasi mesej lain serta aplikasi media sosial, Whatsapp mempunyai kadar penggunaan yang tertinggi antara semua.
Ini bermakna ramai orang bukan saja menggunakan Whatsapp, tetapi turut sama kerap menggunakan Whatsapp dalam hidup mereka untuk berhubung sehinggakan Whatsapp mempunyai tahap penggunaan 70% kadarnya - jauh melebihi aplikasi media sosial popular Facebook.'
Facebook mula terasa bahang populariti Whatsapp
Melalui peranti analisis data Onavo, Facebook mula menjalankan kajian terhadap kejayaan Whatsapp dalam menjalankan model aplikasi mereka.
Menyedari ancaman dan potensi yang dibawa Whatsapp terhadap Facebook sendiri khasnya Facebook Messenger hasil laporan yang dikeluarkan, Facebook menawarkan kepada Koum dan Acton pembelian aplikasi tersebut untuk diletakkan di bawah kendalian mereka.
Beberapa syarat dipersetujui dalam pembelian itu antaranya agar model operasi Whatsapp diteruskan, Whatsapp dibenarkan beroperasi secara bebas dan jenamanya dikekalkan.
Facebook bersetuju dengan pembelian berharga $19 billion pada Februari 2014 dan Whatsapp menjadi antara kisah sukses paling terkenal dalam sejarah internet; menjadikan Koum dan Acton hartawan segera selepas bersusah payah beberapa tahun.
Kisah bagaimana dan mengapa Facebook membeli Whatsapp ini pula, hanya didedahkan pada tahun 2019 selepas satu kes saman di mahkamah melibatkan bekas pekerja gergasi media sosial itu yang bertindak menyaman bekas majikannya.
Topik ini terlalu panjang untuk dirungkaikan - cukuplah sekadar kami katakan Facebook tidak suka ada pesaing yang mampu menggugat mereka.
Facebook campur tangan dalam isu privasi data
Selepas beberapa tahun Whatsapp dibenarkan beroperasi seperti biasa, Facebook mula menggeledah data-data privasi yang dimiliki Whatsapp.
Semuanya bermula selepas Facebook mengarahkan Whatsapp untuk membenarkan Facebook mengakses data nombor telefon pengguna Whatsapp serta data pengguna, bagi membolehkan pengiklanan bersasar, pengumpulan informasi berkait perniagaan dan informasi sekuriti dilakukan, sekitar tahun 2017.
Perubahan yang berlaku ini mula menyebabkan beberapa kerajaan negara Eropah mengeluarkan arahan agar Whatsapp berhenti menyalurkan maklumat kepada syarikat induknya.
Selain itu Facebook juga bertindak agresif dalam mengubah model perniagaan Whatsapp, memansuhkan yuran tahunan $1 yang diamalkan serta turut mahu mewujudkan platform Whatsapp versi perniagaan, khas untuk pengguna yang mahukan ruang niaga maya - dengan bayaran akan diperkenalkan.
Koum dan Acton meninggalkan Facebook dan Whatsapp
Walaupun tidak pernah mengkritik Facebook secara terangan terhadap perubahan yang berlaku ke atas Whatsapp, keluarnya Koum dan Acton meninggalkan hasil kerja mereka dipercayai berpunca daripada rasa kurang senang mereka dengan hala tuju Whatsapp di bawah Facebook, serta campur tangan Facebook sendiri dalam kendalian syarikat mereka.
Brian Acton meninggalkan Facebook pada penghujung tahun 2017, bagi memulakan gerak kerja baru yang tidak berasaskan keuntungan - disebabkan oleh tekanan pihak atasan Facebook yang mahu menjadikan Whatsapp medium pengiklanan ekoran jumlah pengguna yang kini sudah mencecah 1.5 billion individu.
Empat bulan selepas itu pada bulan April 2018, Jan Koum mengumumkan perletakan jawatannya akibat daripada beberapa pindaan yang dikenakan ke atas Whatsapp, berkaitan isu privasi pengguna.
Berbeza dengan Koum yang lebih menjaga kata, Acton pula menjadi antara individu paling berprofil tinggi dalam dunia teknologi yang menyeru orang ramai agar berhenti menggunakan aplikasi Facebook - walaupun dia pernah menjadi sebahagian daripada Facebook sendiri.
Apa yang jelas, Koum dan Acton sejak mula menubuhkan Whatsapp sedaya upaya menjadikan privasi dan kerahsiaan sebagai fokus utama. Operasi Whatsapp sejak mula dijalankan bukan untuk keuntungan sebaliknya untuk mewujudkan medium komunikasi mudah dan murah tanpa gangguan iklan.
Sejak awal kos operasi Whatsapp memang diselia agar kekal rendah, cukup dengan sumbangan $1 tahunan pengguna.
Facebook menjadikannya percuma - tetapi harga yang dibayar melalui pencerobohan informasi dan maklumat pengguna, menjadikan Whatsapp aplikasi pengacau privasi yang berkemungkinan besar akan terus kita guna.
Itulah harga yang kita bayar untuk berkomunikasi secara percuma.