Facebook tetap berjaya melakukan kejutan dengan mengubah nama syarikat induk mereka kepada 'Meta', walaupun langkah itu seakan-akan sudah dihidu media beberapa bulan sebelum ini.
Persoalannya - kenapakah langkah ini diambil Mark Zuckerberg serta Facebook?
Apakah benar ada keperluan penjenamaan semula 'Facebook' kepada 'Meta' akan membantu Facebook untuk terus menguasai evolusi perubahan yang diramalkan boleh berlaku; melibatkan industri media sosial, internet dan komunikasi di seluruh dunia?
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah 'meta' dan kenapa aspek ini diletakkan sebagai salah satu komponen terbesar dalam masa hadapan rangkaian internet dunia? Jom kita ulas serba-sedikit apa itu 'meta'.
Evolusi internet ke tahap lebih tinggi
Bermula sebagai sebuah pengkalan data yang dihubungkan di antara pusat-pusat tertentu, internet ketika ini telah berkembang ke seluruh dunia - menjadi salah satu infrastruktur wajib dibangunkan semua negara.
Dasar pembangunan internet sebenarnya dibangunkan dalam beberapa fasa berbeza, dikategorikan dari segi teorinya kepada fasa 0.0 semasa fasa awal pembinaannya sehinggalah ketika ini dalam fasa hibrid Web 3.0/4.0.
Tahap-tahap pembangunan berikutnya sudah dirangka perancangan pembangunannya, melibatkan banyak elemenn yang ketika ini belum ada tetapi sedang digarap berdasarkan kepada ramalan bagaimana teknologi sedia ada boleh diperkembangkan.
Secara ringkas, Web 0.0 adalah era pembangunannya yang dijalankan oleh 'bapa internet', Sir Tim John Berners-Lee seorang saintis komputer dari Britain. 1.0 pula melibatkan era di mana maklumat dikongsikan secara satu hala oleh pengendali laman web, tanpa wujud interaksi di antara pengguna dan pengendali secara terus.
Zaman kebangkitan media sosial yang menghangatkan interaksi di antara pengendali, pengguna dan pengguna lain dikategorikan sebagai Web 2.0; di mana platform internet diperkembang dengan tujuan memudahkan komunikasi berlaku secara dua atau lebih hala.
Web 3.0 era di mana kita berada sekarang, memperkenalkan beberapa konsep tambahan seperti data besar, kepintaran buatan, pembelajaran mesin dan ruangan digital maya, yang membolehkan komunikasi berlaku secara besar-besaran tanpa sempadan secara langsung.
Algoritma web yang dibina kini sudah mampu merekod, meramal dan merumuskan tabiat pengguna, membantu menambahbaik kepada sistem yang lebih lancar dan efisien berdasarkan kepada pengkalan data yang sentiasa dikemaskini 24 jam sehari.
Dunia meta - wajah internet seterusnya?
Web 4.0 dan fasa seterusnya ketika ini masih sukar untuk didefinisikan secara khusus, disebabkan oleh ketiadaan konsep yang benar-benar mampu merangkuminya.
Namun banyak pihak setuju untuk melihat Web 4.0 sebagai fasa di mana internet sudah mampu menjadi 'sistem operasi' kepada bumi, di mana interaksi berlaku tanpa henti dengan kapasiti pembelajaran mesin berada pada satu tahap menyamai kemampuan otak manusia.
Sistem yang mampu menyokong hubungan simbiosis di antara manusia dengan mesin, dengan internet sebagai penghubung dikatakan bakal menjadi teras utama pembangunan fasa ini.
Di dalam fasa seterusnya ini, salah satu komponen utama yang dikatakan bakal menjadi fokus adalah 'dunia meta' atau 'metaverse', di mana interaksi pengguna dalam dunia siber secara maya berlaku mirip dunia nyata serta menjadi sesuatu yang diterima pakai semua golongan, bukan saja untuk peminat permainan video seperti sekarang.
Dunia dalam dunia dalam dunia
Sekiranya anda membaca reaksi orang ramai berkenaan apa yang dikatakan dunia meta atau metaverse ini, pasti anda dapat melihat percanggahan pendapat yang ketara di antara penyokong dan pengkritiknya.
Konsep dunia-meta bukanlah satu konsep baru, telah diperkenalkan secara teori dalam novel-novel fiksyen sejak beberapa dekad lalu. Permainan video khasnya telah menerapkan elemen-elemen dunia-meta ke dalam sistem mereka, melalui penggunaan avatar yang menggantikan pemain namun interaksinya layak dikatakan masih terhad.
Konsep dunia-meta sebenar dikatakan merupakan integrasi lancar di antara bermacam elemen - seperti permainan interaktif, realiti maya, media sosial, persidangan video maya, laman web, emel dan penstriman video langsung yang berlaku dalam satu ruangan.
Ruangan atau dunia itu pula mempunyai sistem ekonomi sendiri bagi menyokong perkhidmatan yang ditawarkan seperti dalam bidang hiburan, pengiklanan, aktiviti jualan dan sebagainya.
Antara judul popular yang dikatakan mempunyai elemen dunia-meta, adalah judul seperti permainan video popular kanak-kanak 'Roblox', judul popular 'Second Life' serta perisian eksperimen yang dijalankan oleh Sony satu masa dulu berjudul 'Playstation Home.'
Walau bagaimanapun judul-judul di atas masih terhad konsepnya berbanding sasaran dunia-meta yang digambarkan atas kertas, ketika ini. Konsep penuh dunia-meta ini lebih mudah dengan contoh bagi kita memahami intergrasinya dengan dunia nyata.
Bayangkan anda meminati seorang artis seperti Taylor Swift misalnya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, anda berkemungkinan besar tidak akan pernah dapat menonton konsert beliau secara langsung di depan mata anda.
Tetapi mahukah anda menonton konsert langsung Taylor Swift yang dilangsungkan secara maya menggunakan teknologi grafik yang terulung bersama ribuan peminat artis itu dalam dewan menggunakan teknologi realiti maya, dengan kadar bayaran tertentu?
Pengalamannya pula bukanlah seperti menonton video semata-mata yang kita tahu; sebaliknya anda melalui avatar anda akan benar-benar berada dalam ruangan dewan itu boleh berjalan ke sana ke mari, bersosial bersama ribuan avatar lain, menari, melompat dan boleh juga cuba menghampiri pentas bagi mendekati avatar Taylor Swift yang saling tak tumpah seperti diri dia dalam dunia nyata?
Itu hanyalah satu contoh mudah.
Sekolah, kelas, panggung wayang, bilik mesyuarat - kesemuanya mampu diterjemahkan ke dalam ruangan 3 dimensi secara maya dan mampu benar-benar membuatkan anda seperti duduk di sana.
Pernah lihat bagaimana individu mencuba perisian VR menaiki 'roller coaster'?
Cuba bayangkan setiap orang dalam roller coaster itu adalah pengguna sebenar yang mampu memberikan maklumbalas interaktif setiap masa semasa keretapi itu sedang memecut.
Memecahkan sempadan ilusi dan realiti
Pengkritik kepada dunia-meta melihat semua usaha yang dijalankan bukan saja oleh Facebook/Meta bahkan syarikat-syarikat gergasi seperti syarikat permainan video Epic hanyalah lanjutan kepada usaha untuk mencipta kaedah baru dalam menjana keuntungan.
Kritikan paling kuat berbunyi adalah bagaimana pembangunan dunia-meta ini hanyalah satu usaha untuk memperkuatkan lagi pengaruh ilusi ke dalam dunia kehidupan kita.
Tidak dapat dinafikan, kritikan-kritikan yang kedengaran ada benarnya. Bagaimanapun sekiranya anda seorang pengguna tegar media sosial dan ditanyakan satu soalan "bagaimanakah evolusi media sosial selepas ini?" - apa jawapan anda?
Itulah usaha yang sedang digembleng Facebook ketika ini dalam mengunci reka bentuk media sosial untuk 10 ke 15 tahun akan datang.
Facebook juga sedang berdepan masalah kehilangan pengguna, mencari kaedah baru dalam meramal bagaimanakah interaksi sosial secara maya akan berlaku memilih untuk memfokuskan kepada pembangunan dunia-meta.
Jika anda pun merasakan dunia-meta ini karut, lihat ke belakang 10 ke 20 tahun lalu bagaimana media sosial ketika itu juga jauh berbeza. Pengguna internet takut hendak berkongsikan nama sebenar.
Interaksi hanya melalui bilik bual seperti mIRC (ingat lagi?), ICQ, Yahoo dan MSN Messenger. Bentuk interaksi juga terhad.
Muncul Friendster dan MySpace yang memberikan kita ruang interaksi yang merangkumi cakupan lebih besar, sebelum Facebook, Whatsapp, Telegram, WeChat, Youtube memperkembangkan kemampuan untuk kita berinteraksi bukan saja dengan kenalan, bahkan dengan pengguna yang tidak kita kenali. Kini trendnya pula Tik-Tok. Kami no komen hal ini. Susah hati kami membayangkan Tik-Tok dalam versi metaverse.
Dunia-meta mempunyai potensi besar untuk kita melangkaui batas interaksi sekarang.
Jika sekarang kita berperang komen, dalam dunia-meta kita benar-benar boleh berperang dan bertumbuk menggunakan avatar kita. Bergaduhlah sampai lebam. Siapa kalah avatar dia memang kena masuk hospital.
Nak sihatkan balik avatar, kena bayar bil rawatan dan berjumpa avatar doktor yang dikawal seorang doktor sebenar. Nak bayar pakai duit betul. Hahaha. Untuk lebih faham tentang dunia-meta, anda boleh menonton filem seperti 'Ready Player One' arahan Steven Spielberg dan 'Free Guy' lakonan Ryan Reynolds.
Selain itu, siri televisyen popular 'Black Mirror' juga telah banyak membincangkan berkenaan 'dunia meta' serta kesannya baik yang elok atau buruk, kepada dunia realiti kita.
Rujukan