Kewujudan kedai RM2 (sebelum istilah itu ditukar kepada RM2.10 akibat pelaksanaan GST), memberikan kita akses kepada banyak produk-produk yang dijual dengan harga yang sukar dipercayai sebelum itu.
Dengan pelbagai pilihan barangan yang ada, kedai RM2 mula menjadi pilihan orang ramai membeli belah memulakan pembukaan pelbagai jenis kedai berkonsep serupa di merata-rata tempat.
BESARKAN TEKS A- A+
Kemudahan mengimport masuk produk dari China yang juga terkenal sebagai kilang dunia serta Thailand dan Indonesia yang dijual di kedai-kedai ini, melambakkan produk untuk jualan namun bukan semuanya berbaloi untuk dibeli.
Kami senaraikan 10 yang kami rasakan berbaloi dengan harganya - apa pula cadangan anda?
1. Lampu suluh
Dulu rumah penulis masa blackout hanya ada 2 lampu suluh. Satu lampu suluh berharga RM8-RM10. Sekarang rumah penulis setiap kali terputus bekalan elektrik ada 8 lampu suluh yang dibeli dengan harga RM2.10 setiap satu.
Dari segi nyalaannya? Sama saja bahkan cahaya yang dikeluarkan lampu suluh RM2 ini lebih cerah berbanding jenama-jenama terkenal kerana mengeluarkan cahaya putih.
Setakat ini lampu suluh RM2.10 ini tak mengecewakan.
Harga yang biasa kita bayar : RM8 ke atas
2. Kabel USB
Untuk membeli kabel USB di kedai RM2.10 ni, agak bergantung dengan nasib. Ada yang dibeli tak berapa tahan. Ada yang penulis guna dah bertahun lamanya masih elok - siap 'fast charging' lagi.
Prestasinya memanglah tak boleh dibandingkan dengan kabel asli yang lebih stabil, lebih pantas dan juga lebih mahal - tetapi anda tak perlu rasa risau nak mendapatkannya sebagai kabel simpanan anda.
Harga yang biasa kita bayar : RM5 ke atas
3. Pisau pencukur
Sebagai seorang lelaki - penulis banyak menghabiskan wang untuk membeli pisau cukur jenama terkenal yang memakan harga belasan ringgit, malahan bila rasa ada duit lebih pernah juga terbeli yang puluhan ringgit.
Semuanya berubah selepas penulis memberanikan diri membeli pisau cukur RM2.10 berwarna oren, ada 3 batang pencukur di dalamnya setiap satu ada 3 bilah pemotong. Kini penulis tidak lagi teringin nak beli pisau pencukur lebih mahal kerana hasil cukurannya sama sahaja. Cubalah!
Harga yang biasa kita bayar : RM4 satu!
4. Alat tulis
Sekiranya anda ramai anak yang bersekolah, penulis sangat mengesyorkan agar anda membeli peralatan persekolahan mereka di kedai RM2.10.
Dari segi kualitinya memang agak berbeza-beza mengikut produk, namun banyak produk alat tulis yang dijual merupakan jenama-jenama yang diyakini seperti Dolphin dan Astar.
Apa yang 'best', ada ketikanya barang-barang berjenama lebih terkenal pun turut terselit dijual, cuma bergantung kepada nasib kita lah. Barang yang biasanya dijual pada harga RM4-RM6, pun turut dijual RM2.10.
Harga yang biasa kita bayar : RM4 ke atas
5. Produk span cuci pinggan 'Goodmaid'
Sengaja kami tuliskan jenama Goodmaid kerana kami percaya, produk yang dihasilkan oleh jenama ini sebenarnya setanding malahan ada masanya jauh lebih baik berbanding sebuah lagi jenama antarabangsa yang terkenal.
Produk span pencuci pinggan mereka yang dijual pada harga RM2.10 untuk lima keping setiap paket telah pun memberikan penjimatan yang agak besar untuk penulis, yang kerap kali diarahkan mencuci pinggan oleh isteri.
Harga yang biasa kita bayar : RM5 ke atas
6. Sabun mandi
Seandainya dibandingkan dengan harga jualan di kedai biasa, harga sabun buku berubat yang dijual di kedai RM2.10 lebih tinggi untuk setiap unit.
Bezanya, di kedai RM2.10 setiap satu unit sabun mandi jenama terkenal ini dijual berasingan - bukan dalam bentuk pek 3 unit.
Ini bermakna penulis boleh mencuba beberapa jenis wangian berbeza berbanding perlu menghabiskan 3 unit terlebih dahulu sebelum menukarkannya kepada yang lain.
Harga yang biasa kita bayar : RM7 untuk pek tiga sabun
7. Buku kraf/buku lukisan
Sebagai seorang ayah yang penyayang, penulis cuba menerapkan kreativiti dalam diri anak-anak penulis sejak kecil - tetapi kos yang diperlukan agak tinggi.
Nasib baiklah kedai RM2.10 ni ada menjual buku kraf sama ada dalam bentuk koleksi pelekat atau kraf 3D bermacam jenis. Selain itu buku lukisan bersaiz besar dengan kertas seberat 100 gram pun dijual pada harga sama - murah banyak juga jika dibandingkan dengan harga di tempat lain.
Kadang-kadang macam tak percaya juga dengan harganya. Anak nak conteng pun tak adalah berpeluh aje penulis mengira kerugian.
Harga yang biasa kita bayar : RM4 ke atas
8. Plastik sampah
Disebabkan oleh keluarga yang semakin membesar, pengurusan sampah di rumah penulis juga memerlukan plastik yang semakin banyak. Pada awalnya, penulis enggan jugalah beli plastik sampah RM2.10 ni.
Rasa tak yakin itu disebabkan oleh pengalaman beli plastik sampah lebih mahal di pasaraya besar yang mudah koyak dan terlalu nipis, berbanding harganya. Tetapi rupa-rupanya kualiti plastik sampah di kedai RM2.10 ni setara dan ada juga yang jauh lebih baik berbanding jenama lain.
Harga yang biasa kita bayar : RM2.50 ke atas
9. Minuman 3 in 1
Dibanding kos unit ke unit, harga untuk setiap satu unit pek minuman 3-in-1 yang dijual lebih tinggi. Tetapi apa yang penulis gemarkan adalah tawaran yang diberikan lebih bersifat sampel kepada produk itu.
Pernahkah anda beli produk 3-in-1, bancuh satu dan kemudian rasa menyesal membelinya kerana tak kena selera? Akhirnya, produk itu terperap dalam kabinet sebelum tiba tarikh luput dan perlu dibuang.
Dengan RM2.10, anda mempunyai beberapa pilihan daripada jenama terkenal sehinggalah jenama yang entah dari mana datangnya. Tak sedap? Tak rugi besar.
Harga yang biasa kita bayar : RM8 ke atas
10. Kain mikrofiber
Sebulan dua ini, semakin kerap pula penulis didatangi oleh ejen-ejen sebuah syarikat penjual kain lap yang menawarkan kain lap mikrofiber berharga tinggi.
Sebagai seorang peminat setia kedai RM2.10 ni, nak beli kain lap kayangan harga puluh-puluh ringgit ni maaflah - di luar kemampuan. Ini kerana kain lap mikrofiber yang dijual 2/3 helai pada harga RM2.10 dah memadai.
Nak yang berjalur? Warna 'plain'? Nak yang tebal, besar, nipis, kecil? Setakat ni semua ada dan tak pernah lagi mengecewakan walaupun godaan nak cuba kain lap kayangan tu tetap ada.
Harga yang biasa kita bayar : RM5 ke atas