Zaman sekarang, susah untuk kita menemui individu yang tidak memanfaatkan sistem pembelian barangan dalam talian secara aktif.

Ini kerana tawaran yang diberikan oleh beberapa laman popular memang agak tak masuk akal harganya, jika dibandingkan dengan jualan secara terus di premis-premis perniagaan tradisional.

Yang menariknya, pembelian dalam talian membuka mata kita kepada bermacam jenis jenama luar yang sebelum ini langsung tidak pernah kita dengari - yang menimbulkan banyak keraguan pada kita tentang kualiti produk tersebut khasnya melibatkan jenama tidak popular dari China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbaloikah kita mencuba jenama-jenama China tidak ternama ini?

Pasaran yang sudah dikuasai jenama ternama

butik jenama sudah tidak relevan

Taktik pemasaran yang baik bukan saja akan membantu meningkatkan jualan, tetapi dalam masa yang sama membina persepsi bahawa sesetengah jenama itu mempunyai kualiti yang diyakini.

Proses ini memakan masa yang lama kerana kepercayaan itu tidak terbentuk secara mudah. Seperti penulis, penulis hanya meyakini ubat gigi jenama S tetapi isteri penulis suka jenama F. Hendak tak hendak di bilik air kami, ada dua tiub ubat gigi berbeza.

Apa yang cuba penulis sampaikan - apabila kepercayaan kita terhadap sesuatu jenama itu sudah dibentuk, sukar untuk kita cuba-cuba beralih kepada jenama lain.

Itulah situasi yang berlaku dalam sistem jualan atas talian apabila pengeluar produk-produk jenama 'entah apa-apa' ini, perlu bersaing dengan jenama-jenama lebih kukuh dalam pasaran terbuka.

Tetapi dalam masa yang sama, pengguna sendiri sebenarnya sudah mempunyai kesetiaan terhadap sesuatu jenama sehinggakan sanggup membayar harga lebih tinggi bagi mendapatkannya.

Itulah yang cuba penulis ubah pada persepsi penulis sendiri dalam dua tahun kebelakangan ini.

Memecahkan kesetiaan pada jenama terkemuka

huawei berjaya kuasai pasaran ubah trend

Apabila kita menelaah produk-produk yang dijual, ada masanya kita tergaru-garu kepala memikirkan bagaimanalah mereka buat duit dengan harga yang ditawarkan.

Apatah lagi harganya bersama kos penghantaran yang dikenakan - kadang-kadang 4 ke 5 kali lebih murah berbanding produk-produk berjenama yang dijual di seluruh negara. Walaupun murah - realitinya, kita sebagai pengguna mula merasa bimbang dengan tawaran tersebut.

'Betulkah? Apa kekurangannya? Dia ni menipu ke? Kenapa murah sangat? Macam tak logik je harga dia?' Itulah persoalan-persoalan yang akan bermain di minda kita setiap kali kita melihat tawaran tak masuk akal dengan harganya.

Ini kerana kita sudah mempunyai standard sendiri dalam ketetapan sesuatu harga. Sebagai contoh, penulis biasa membeli dompet berjenama pada harga RM40 ke RM60.

Buka laman jualan dalam talian, dompet jenama China dengan fungsi lebih mantap dijual pada harga RM20 siap penghantaran!

Minda kita akan mula menilai sesuatu dalam persepsi negatif kerana harganya tak seperti kebiasaan dan kita mula meletakkan stigma-stigma tanpa bukti ke atas sesuatu barangan, hanya kerana harganya dan hanya kerana jenama Chinanya.

Nak beli atau tidak? Murah memang murah, tetapi takut pakai lima hari dah jahanam.

Adakah harga barangan di Malaysia selama ini terlalu tinggi?

kantoi tukar tag harga

Sesuatu yang didedahkan oleh jualan-jualan dalam talian serta turut sama dibantu oleh lambakan kedai RM2 yang tumbuh macam cendawan di seluruh negara kita, adalah betapa tingginya kos yang dikenakan ke atas pelanggan sebelum ini sekaligus memaksimakan keuntungan peniaga.

Barangan permainan kanak-kanak yang dahulunya dijual pada harga RM10, boleh didapati pada harga RM2.10 di kedai tertentu atau jika sanggup bersabar, anda boleh mendapatkannya lebih murah dalam talian.

Apa yang agak membingungkan - penulis bercakap mengenai produk permainan yang sama.

Dalam erti kata lain populariti pembelian dalam talian sebenarnya banyak membantu mendedahkan kos sebenar produk-produk yang dijual dalam negara kita, sehinggakan sektor perniagaan tradisional mula mengalami penurunan jualan yang sangat ketara - dipintas oleh penjual-penjual yang mampu menawarkan tawaran gila-gila.

Dari aspek pengguna, ini adalah satu kemenangan besar kerana barangan boleh didapati dengan lebih mudah dan murah. Pengeluar juga boleh memasarkan produk-produk mereka terus kepada pengguna tanpa perlu melalui orang tengah, yang akan meningkatkan harga.

Tetapi dalam masa yang sama, kebergantungan kita kepada pengeluar-pengeluar produk dari China mula menampakkan peningkatan ketara dan ini tidak baik untuk ekonomi negara.

Ambil risiko cuba produk tanpa jenama?

handbag dompet tak ada jenama

Dalam isu kesan negatif yang memberi impak besar kepada negara, khasnya peniaga-peniaga tempatan - penulis agak sukar untuk meletakkan diri penulis ke dalam satu-satu pihak.

Di satu sudut, kita mahu agar peniaga-peniaga tempatan terus mampu dapat bersaing.

Tetapi di satu sudut lain pula, penulis sudah mula merasakan produk-produk yang dijual di premis perniagaan terlalu tinggi harganya berbanding dengan apa yang ditawarkan; produk biasa saja tapi harganya pula fuh mencecah awan.

Hanya dengan menawarkan produk murah, barulah jenama-jenama kurang terkenal ini dapat memecahkan dinding kesetiaan yang telah dibentuk sekian lama. Persoalannya - adakah kita sebagai pengguna berani mengambil risiko?

Buat masa sekarang, penulis sudah berani mengorak langkah mencuba beberapa produk keluaran China dengan jenama yang anda tak pernah dengar selama ini. Setakat ini, semuanya baik-baik belaka.

Ada penulis sebutkan tentang dompet kan di atas? Bila kita dah terbiasa membeli sesuatu pada harga tinggi dan hanya boleh digunakan setahun dua, memang penulis agak skeptikal dengan tawaran dompet bermacam fungsi dengan harga belasan ringgit sahaja.

barang shopping online china murah dan berkualiti

Gembira untuk penulis nyatakan dompet belasan ringgit ini sudah bertahan lebih setahun, zipnya masih terpelihara dan kualitinya masih terjaga. Ada banyak juga produk-produk lain jenama asing yang sudah penulis beli dan belum mengecewakan penulis.

Cuma dalam bab barangan elektronik besar-besar penulis belum berani lagi mencuba. Setakat ini produk jenama Jepun masih bertakhta. Tak tahulah berapa lama lagi penulis mampu setia.

Apatah lagi melihat televisyen bersaiz besar jenama China dijual 1/3 harga yang biasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)