Menjadi pemegang hak cipta atau copyright membawa potensi yang tinggi, sekiranya produk kita berjaya meletup. Pembangunan sesebuah produk hasil gabungan idea, konsep dan keringat memerlukan usaha yang panjang serta sabar, bagi membuahkan hasil.
Usahawan di China yang sejak dahulu lagi terkenal dengan 'teknik peniruan' mereka, lebih gemar mengambil langkah mudah dengan membiarkan pembangun jenama lain membangunkan jenama tersebut - sebelum mereka mengambilnya untuk dijadikan produk mereka sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada pepatah mengatakan di China, tidak ada 'copyright' hanya ada 'copy-it-right.' Berikut adalah lima percubaan peniaga China meniru dengan gigih produk luar tanpa ada perasaan malu.
1. Pasaraya IKEA palsu
Salah satu kebanggan negara Sweden yang menjadi duta negara mereka ke seluruh dunia, orang China dengan selambanya mengambil keseluruhan konsep yang dibangunkan oleh IKEA selama ini untuk ditiru dan dijadikan produk sendiri.
Usawahan yang membangunkan pasaraya perabot yang dinamakn '11 Furniture' itu tanpa segan silu meniru sebiji-sebiji, semuanya. Daripada beg galas yang dibekalkan pada pelanggan, konsep susunan kedai, rekaan visual dan grafiknya, warna sehinggalah warna apron yang dipakai pekerja mereka.
Satu saja perbezaan di antara IKEA sebenar dan '11 Furniture' ini; perabotnya sudah siap dipasangkan penjual. Mungkin dari aspek itu, 11 Furniture lebih baik berbanding IKEA.
2. Butik Supreme palsu
Bagi penggemar jenama SUPREME, mereka pasti mengetahui jenama tersebut tidak membuka banyak cawangan di seluruh dunia dengan beberapa buah di Amerika Syarikat, satu di London, satu di Paris dan enam di Jepun. Itu tidak menghalang peniaga dari China membuka sebuah butik 'SUPREME' yang sangat mirip dengan butik asalnya. Sudahlah butiknya palsu, barangan yang dijual juga turut sama palsu.
Mengambil peluang dari kelonggaran undang-undang hak cipta di China yang membolehkan mana-mana individu memiliki hak cipta, asalkan dia menjadi orang pertama melakukan tuntutan hak cipta jenama tersebut, peniaga itu menggunakan nama 'SUPREME NYC' yang belum dimiliki, bagi membuka perniagaan barangan palsu beliau.
Kami syak, produk-produk mereka ini juga ada yang masuk ke Malaysia untuk dijual pada orang kita.
3. Stor Apple palsu
Kita semua tahu bagaimana permintaan terhadap produk berjenama Apple di seluruh dunia. Kita juga tahu kesetiaan peminat jenama ini kepada produk mereka. Mengambil kesempatan ke atas pengguna produk Apple, bukan setakat 1 atau 2 'Apple Store' ditubuhkan di China, malahan terdapat 22 kedai semuanya yang meniru 100% konsep sebenar 'Apple Store' tulen.
Produk disusun di atas rak kayu, dengan konsep pencahayaannya diwujudkan menyamai suasana sebenar. Apa yang lebih menggelikan hati, pekerja-pekerja di 'Apple Store' ini pun tidak mengetahui mereka sebenarnya sedang bekerja di dalam kedai Apple yang palsu. Begitulah powernya teknik orang China meniru sehinggakan orang tempatan sendiri tidak mampu membezakan yang mana palsu, yang mana benar.
Nasib baiklah produk yang dijual tulen.
4. Butik YEEZY palsu
Penyanyi rap terkenal Kanye West mengumumkan pada tahun 2017, rancangan beliau mahu membuka butik khas untuk siri kasut YEEZY yang dihasilkan dengan kerjasama gergasi sukan Adidas. Sehingga kini idea tersebut belum direalisasikan. Walaupun begitu, idea Kanye West itu diambil oleh seorang usahawan di China untuk membuka butik jenama YEEZY pertama di dunia, di daerah Wenzhou, China. Nampak butik 'New Burren' dalam gambar di atas?
Satu-satunya butik Yeezy di dunia ini menjual kasut-kasut tiruan Yeezy, mengambil semula rekaan asal dengan harga yang agak tinggi. Yang lebih menarik, butik Yeezy ini membolehkan pelanggan menempah kasut dengan rekaan sendiri mengikut citarasa masing-masing. Pemilik kedai itu, seorang lelaki bernama Encik Hu berkata dia telah pun memiliki jenama tersebut sejak tahun 2013 lagi.
Ini menjadikan Encik Hu adalah tuan punya jenama Yeezy sebenar di dunia. Hahaha!
5. Bangunan Pentagon palsu
Kami tahu bangunan Pentagon di Amerika Syarikat bukanlah sebuah jenama mahupun sebuah pasaraya beli-belah, tetapi ruginya kalau kami tak sertakan sekali di sini berkenaan bangunan Pentagon di China. Dibina dengan mengambil rekaan asal bangunan Pentagon asal, Pentagon di China dua kali lebih besar berbanding yang tulen.
Apa pula tujuan bangunan itu dibina? Untuk menempatkan agensi risikan China? Melatih ejen-ejen risikan? Membangunkan teknologi baru dalam membantu China menjadi kuasa dunia? Tidak.
Bangunan yang dikenali dengan nama 'Pentagon World Trade Centre and Commerce Mall' (wow!) adalah sebuah gedung membeli-belah, dengan sasaran utamanya adalah pelancong asing. Bagaimanapun, ekoran lokasinya yang agak terpencil serta susun atur bangunan yang mengelirukan membuatkan pengunjung jarang dapat hadir ke situ, setelah dibuka sejak 2009.