Kita sedang duduk dalam era di mana semua peranti komunikasi kita seperti telefon pintar, komputer dan jam tangan mampu dihubungkan ke rangkaian internet menggunakan hubungan WiFi.
Dalam sedar tak sedar, wujud perlumbaan di kalangan pihak pengeluar khasnya mereka yang memfokuskan kepada integrasi Internet of Things atau IoT; mahu mencari apakah peranti lain yang sesuai untuk turut dipasangkan fungsi WiFi seterusnya mampu dihubungkan ke saluran internet.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada produk yang OK dan munasabah ditambahkan fungsi WiFi, seperti kamera CCTV. Ada juga yang lebih layak dikatakan merepek. Berikut adalah lima produk paling mengarut yang ada fungsi WiFi.
1. Tandas pintar
Mahukah anda mempunyai mangkuk tandas yang mampu dikawal sepenuhnya menggunakan telefon pintar anda lengkap dengan pembesar suara, yang mampu memainkan anda lagu kegemaran ketika anda sedang 'melabur'?
Itulah agaknya persoalan yang bermain banyak pengeluar termasuklah gergasi elektronik Korea Selatan LG, yang bersaing mengeluarkan mangkuk tandas atau bidet pancutan air pintar, mampu dikendalikan dengan aplikasi.
Aplikasi yang dihubungkan ke sistem kawalan tandas secara WiFi, mampu mengawal sistem pengeringan yang dipasang selain turut mampu mengawal bukaan penutup, tekanan air, jenis pancuran dan juga mod pembersihan.
Anda rasa anda memerlukan tandas yang mampu dikawal menggunakan aplikasi?
2. Lampin bayi
Jangan terkejut! Jangan terkejut!
Dengan pembangunan teknologi yang semakin baik, ada pihak yang merasakan lampin bayi perlu dipasangkan mikrocip yang mampu menghantar isyarat kepada aplikasi melalui WiFi - yang memaklumkan kepada penjaganya bahawa lampin perlu ditukar.
Dijual oleh jenama gergasi Pampers yang cukup terkenal sebagai antara pendahulu industri ini, siri lampin Pampers Lumi yang diintegrasikan dengan sensor (dijual berasingan) mampu membaca kadar basahan yang telah dikumpul lampin selain daripada memantau kadar tidur bayi.
Pemantauan akan dibuat menggunakan kamera khas yang perlu diletakkan ditepi bayi. Sekiranya lampin perlu pertukaran, isyarat akan dihantar terus kepada telefon pintar penjaga melalui cara notifikasi.
Tidak lagi ibu bapa perlu menghidu atau menyelak lampin seperti sebelum ini.
3. Selipar pintar
Seandainya anda merasakan lampin bayi ber-WiFi satu idea bodoh, kita ada pula sejenis produk selipar di bawah jenama Hari Mari yang memang dibuka jualannya kepada orang ramai.
Bezanya, fungsi IoT yang dipasang kepada selipar tersebut sangat-sangat terhad.
Berbeza dengan dua produk sebelum ini yang sekurang-kurangnya direka untuk membolehkan pengguna mengawal fungsinya - cip yang dipasang kepada setiap selipar jenama ini hanya bertujuan untuk membolehkan pembelinya bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran iklan dan kupon dari syarikat, terus kepada telefon.
Dengan harga jualan USD110 (RM485), seorang pembeli boleh mengaktifkan fungsi tersebut atau tidak, bergantung kepada pilihan mereka. Bagaimana fungsi tersebut mampu menjadikan selipar itu pintar, entahlah.
4. Sikat rambut
Sekiranya kita berat hati hendak bersetuju berkongsikan data kita dengan syarikat di internet, kenapalah agaknya gergasi kosmetik Loreal mahu menjual berus rambut pintar kepada kita yang direka sepenuhnya untuk tujuan tersebut?
Loreal telah membangunkan sejenis berus/sikat rambut pintar dinamakan sebagai Kerastase Hair Coach, yang mampu merekodkan tabiat kita menyisir rambut setiap hari. Dengan menggunakan sensor pengesan kelajuan dan imbangan, semua pergerakan berus itu disimpan.
Selain itu, berus itu juga mempunyai perakam audio yang akan merakamkan 'bunyi yang terhasil ketika pengguna menyikat rambut'. Semua data yang direkod, akan dikongsikan kembali kepada Loreal melalui WiFi yang seterusnya akan memberikan markah atau skor kepada pengguna tentang kesihatan rambut dan kulit kepala mereka.
Berdasarkan skor, aplikasi Loreal akan memberikan tips, petua dan kaedah penjagaan rambut yang sesuai untuk pengguna bagi memelihara rambut mereka melalui aplikasi sama. Sebab itulah nama produk ini 'Hair Coach.'
5. Kondom pintar
Buka internet, ramai akan dihujani ubat kuat lelaki. Pergi ke mana saja, iklan ubat kuat lelaki akan kelihatan. Situasi ini sangat membarah sehinggakan ramai lelaki yang sebenarnya normal, merasa sungguh sangsi dengan kemampuan diri sendiri.
Oleh kerana itulah sangat menghairankan kenapa sebuah syarikat dari Britain tergamak untuk mengeluarkan sebuah produk kondom pintar yang akan menghakimi semua pemakaianya semasa beraksi.
i.Con Smart Condom merupakan antara projek yang sedang diusahakan British Condoms, adalah sejenis peranti elektronik yang dipakai oleh lelaki ketika mahu bersama isteri di bahagian sulit.
Alat itu yang menyerupai cincin akan dipakai, dihubungkan ke telefon pintar bagi merekodkan bermacam jenis data.
Peranti itu mempunyai sensor yang mampu merekodkan jumlah kalori yang dibakar, kelajuan dan kekuatan tujahan yang dilakukan, bilangan dayungan, bilangan posisi yang diamalkan, bilangan sesi hubungan diamalkan dalam sehari, seminggu atau sebulan dan durasi sesi berlangsung.
Senang cerita, semua data yang orang lelaki nak tahu sangat tentang diri sendiri. Begitulah dunia. Semakin pintar kita, semakin banyak benda kurang pintar akan cuba dijual kepada kita semua.