Oleh pada 11 Mar 2018 kategori

Kredit foto: BH Online

Sutradara tersohor, Datuk Yusof Haslam akui sudah menjadi lumrah sesebuah rumah tangga untuk ditimpa musibah.

"Dalam mana-mana perkahwinan pun, akan ada gelombang dan pergolakan," kata produser filem pecah panggung Abang Long Fadil 2 itu kepada portal Sinar Harian.

Yusof memberi kenyataan apabila ditanya pendapatnya tentang isu rumah tangga penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain.

Apa yang mampu dinasihatkan Yusof buat pelantun Madah Berhelah itu agar beliau dapat membuat keputusan yang bijak.

"Nasihat saya, bincang dan cari jalan penyelesaian sebaik-baiknya," pintanya.

Meletakkan dirinya sebagai seorang manusia biasa, Yusof berkata, dia sejujurnya enggan ambil tahu hal ehwal rumah tangga orang lain.

Namun apa yang diutarakan umpama kata-kata nasihat daripada seorang abang kepada adiknya, apatah lagi mengenangkan perkenalan beliau dan Ziana yang sudah bermula sejak wanita itu berstatus anak dara lagi.

"Saya kira nasihat ini dari seorang abang kepada adik, malah kalau anak saya menghadapi masalah rumah tangga pun, ini nasihat serupa yang akan saya beri.

"Sepanjang saya mengenali Ziana, saya lihat dia sebagai pasangan yang bahagia. Tak ada cerita kurang enak mengenai rumah tangganya diperkatakan.

"Kita kalau berkahwin, seboleh-bolehnya mahu perkahwinan itu kekal hingga ke Jannah. Tapi saya juga percaya, dia lebih tahu apa yang dilaluinya.

"Saya doakan yang terbaik buat Ziana, semoga dia kuat dan tabah berdepan dengan ujian ini. Saya juga berharap kenyataan saya ini tidak akan melukakan sesiapa," katanya.

Untuk rekod, nama Ziana dalam dunia lakonan pernah memuncak di bawah filem-filem arahan Yusof seperti Sembilu, Sembilu 2, Maria Mariana dan Maria Mariana 2.




Hakcipta iluminasi.com (2017)