Kredit foto: Instagram Alin Zain
Sehingga kini, status perkahwinan penyanyi Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri terus menjadi persoalan sejak mereka disahkan tidak lagi tinggal bersama susulan kes Armin yang didakwa memukul anak mereka dalam kejadian pada Februari lalu.
Malah, Ziana, 50, juga dikatakan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam, pada Selasa lalu.
Ziana yang dihubungi wartawan BH Online bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan tentang isu itu.
Manakala, adik beliau, Alin, yang juga pengurus kepada Ziana, meminta agar semua pihak memberikan ruang kepada penyanyi itu.
"Berikan Ziana masa, lagipun ini kes mahkamah," katanya yang dihubungi semalam.
Sementara itu, peguam pemerhati Ziana, Luqman Mazlan, mendedahkan pasangan suami isteri itu sememangnya sudah tidak lagi tinggal sebumbung.
"Ziana dan suami sudah tidak lagi tinggal sebumbung. Saya adalah peguam yang dilantik Ziana bagi mengikuti semua perbicaraan kes itu.
"Saya dilantik pada Mac lalu dan setiap kali kes disebut atau bicara, saya akan mengikutinya, termasuk ketika Ziana dipanggil menjadi saksi," katanya.
Dalam pada itu, sumber mengatakan penyanyi Madah Berhelah itu telahpun memfailkan perceraian dengan suaminya di Mahkamah Syariah Shah Alam pada Selasa lalu.
Ziana didakwa memfailkan cerai kerana bekas ketua pramugara itu enggan melepaskannya secara baik.
Kredit foto: lipstiq.com
"Mengikut rekod, Ziana memang ada failkan perceraian pada 3 April lalu," dedah sumber berkenaan.
Pada 8 Mac lalu, Armin, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu didakwa berlaku dalam kejadian di kediaman mereka di Denai Alam, Shah Alam, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.
Ziana dan Armin yang berkahwin pada Mei 1998 sehingga kini memperoleh empat anak iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.