Kredit foto: Instagram Ziana Zain
Penyanyi Ziana Zain akui sedang sibuk melakukan peranannya sebagai ibu, selain memenuhi tawaran aktiviti seni.
Ziana yang sedang menjalani penggambaran siri popular Mak Cun untuk musim terbaharu iaitu musim keempat, terpaksa membahagikan masa dengan tugasan menguruskan keempat anaknya.
Kredit foto: Instagram Ziana Zain
"Saya baik-baik saja dan kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri arahan Erma Fatima, Mak Cun 4.
"Saya terima tawaran berkenaan kerana ia sangat istimewa, apatah lagi musim terbaru Mak Cun turut membabitkan rakan rapat seperti Erra Fazira dan Datuk Awie," katanya menurut portal BH Online.
Beliau yang dikenali dengan rangkaian lagu-lagu balada popular, membawakan watak mak andam dalam siri yang dikenali ramai itu.
Ziana berkata, pengalaman berada di set penggambaran drama itu memberikan pengalaman baru yang cukup menarik dan mengujakan, apatah lagi bekerja dalam produksi yang melibatkan sutradara berkaliber, Erma.
Sementara itu, bintang Sembilu ini mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan buat para peminat serta semua pihak yang memberikan sokongan tidak putus-putus kepadanya dalam pembabitan sebagai anak seni selama hampir tiga dekad ini.
Kredit foto: Instagram Ziana Zain
"Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan. Saya doakan anda semua dirahmati Allah," katanya.
Dalam kenyataan sebelumnya, Ziana pernah memaklumkan dia dalam perancangan akhir sebagai persiapan mengeluarkan sebuah single terbaru.
Terdahulu, suami penyanyi Madah Berhelah ini iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak dalam sebuah kejadian yang berlaku pada 24 Februari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, bekas ketua pramugara berusia 53 tahun itu didakwa dengan sengaja mengakibatkan kecederaan terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.