Kredit foto: Kosmo
Armin Zaharin yang juga merupakan suami kepada penyanyi Ziana Zain, melarikan diri daripada pihak media yang cuba menemubualnya selepas berlangsungnya prosiding kes pukul anaknya di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.
Armin didapati menggunakan pintu belakang mahkamah untuk keluar kerana pintu utama dipenuhi dengan wartawan yang menantikan kemunculannya.
Menurut portal Mstar Online, pihak media yang berkejar untuk mendapatkannya di ruangan parkir kereta, bagaimanapun tidak dilayan untuk sebarang temubual.
Bekas ketua pramugara itu hanya menunjukkan tanda ‘thumb down’ apabila ditanya tentang situasi rumah tangganya.
Kredit foto: BH Online
Manakala, peguamnya yang baru dilantik iaitu Mohamad Rizal memohon agar anak guamnya diberi ruang.
“Maaf semua, bagi dia masa,” tuturnya.
Sebelum ini, Armin, 53, dan Ziana, 50, didakwa bakal bercerai apabila penyanyi Puncak Kasih itu memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 3 April lalu.
Difahamkan, Armin tidak bersetuju melafazkan cerai, lalu memohon agar kes mereka diusulkan ke jawatan kuasa pendamai.
Menurut peguam pemerhati Ziana, Luqman Mazlan, pasangan suami isteri itu sudah tidak tinggal bersama kerana memenuhi tempoh jaminan selain Armin tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya
"Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma," dedahnya.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Shah Alam menangguhkan penyerahan dokumen dakwaan Armin mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan tarikh baharu serahan dokumen iaitu pada 15 Mei ini.
Armin yang mengenakan kemeja putih dilihat hadir berseorangan di mahkamah, jam 9 pagi tadi.
Pada 8 Mac lalu, Armin, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu didakwa berlaku dalam kejadian di kediaman mereka di Denai Alam, Shah Alam, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.
Ziana dan Armin yang berkahwin pada Mei 1998 sehingga kini memperoleh empat zuriat iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.