Kredit foto: BH Online

Penyanyi Ziana Zain mendapat tumpuan sejurus menitiskan air mata ketika membuat sebuah persembahan.

Dikhabarkan emosi pelantun Madah Berhelah itu terganggu kerana konflik rumah tangga yang melandanya baru-baru ini.

Kejadian berlaku ketika beliau mendendangkan lagu Puncak Kasih sewaktu menjayakan persembahan di majlis makan malam Mood Republik yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, malam Sabtu.

“Sebagai selebriti, perlu fokus kepada karier. Tetapi dalam masa yang sama banyak perkara yang berlaku.

“Macam mana pun hidup perlu diteruskan,” katanya dalam nada sebak.

Ucapan itu disambut sorakan penonton sebagai tanda sokongan buatnya.

Selepas dihujani kata-kata semangat, beliau menggagahkan diri menyambung persembahan.

Terdahulu, suaminya, Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan hingga menyebabkan luka dan lebam terhadap seorang anak lelakinya dalam sebuah kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam pada 24 Februari lalu.

Armin ditangkap pada 2 Mac susulan laporan polis dibuat Ziana pada 27 Februari lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan sehingga kini memperoleh empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.




Hakcipta iluminasi.com (2017)