Bercucuk tanam dan bertani sebenarnya adalah kerja keras yang memerlukan kerahan tenaga. Kini, dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi, banyak perkara yang telah diambil alih oleh mesin dan perkakas.
Tapi tahukah anda, pada zaman dahulu, sebelum adanya peralatan moden untuk membantu memudahkan kerja bercucuk tanam, wanita-wanita prasejarah di Eropah Tengah menanam, menuai, membajak tanah dan mengangkut tanaman dengan kudrat tulang empat kerat sahaja? Disebabkan itu, otot wanita zaman itu terbukti adalah lebih 'sado' daripada atlet wanita sekarang dan fakta ini dibuktikan oleh satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian itu membandingkan tulang lengan dan kaki atlet wanita moden dengan petani wanita dari Eropah Tengah semasa 4 era yang berbeza iaitu Zaman Neolitik, Zaman Gangsa, Zaman Besi dan Zaman Pertengahan.
Dengan bantuan acuan dan pengimbas laser, seorang ahli arkeologi dari Cambridge, Alison Macintosh bersama sepasukan saintis berjaya meneliti bentuk dan ketegaran tulang. Kedua-dua faktor inilah yang menentukan jumlah otot yang berada di sekelilingnya. Mereka membuat pemerhatian untuk dibandingkan dengan imbasan CT atlet wanita dari Cambridge University yang merupakan pendayung, pelari jarak jauh, pemain bola sepak serta beberapa pelajar lain yang bukan atlet.
Penemuan mereka mendapati, tulang kaki wanita zaman Neolitik bukan sahaja setanding dari segi kekuatan dengan atlet pendayung, malah tulang lengan mereka juga adalah 11-16% lebih kuat. Jika dibandingkan dengan pelajar yang bukan atlet pula, peratus kekuatan tulang wanita zaman Neolitik adalah setinggi 30%.
Kekuatan tulang wanita prasejarah juga berbeza-beza. Ia menunjukkan golongan wanita ketika itu banyak terlibat dalam aktiviti dan kerja buruh yang memerlukan kerahan tenaga.
Penemuan ini bertentangan dengan teori bahawa wanita prasejarah banyak menghabiskan masa dengan membuat kerja-kerja domestik di rumah. Sekitar 10,000 tahun yang lalu, manusia mula beralih arah daripada aktiviti memburu kepada pertanian. Peralihan ini bukan sahaja mengubah tabiat pemakanan mereka, malah ia mengubah bentuk tulang kerana kerangka manusia akan sentiasa bertindak balas dengan tekanan.
Disebabkan kaum lelaki mula kurang berlari, tulang kering mereka menjadi lebih tegak dan tidak kaku. Walau bagaimanapun, tulang kering kaum wanita kekal sama selepas zaman beredar, menyebabkan ahli akademik membuat kesimpulan bahawa mereka hanya melakukan tugas yang kurang intensif. Kajian terbaru ini menyatakan teori itu telah merendahkan martabat kaum wanita dalam masyarakat prasejarah.
Mesti ramai 'akak sado' masa zaman-zaman tu, kan.
Rujukan:
1. ScienceMag