Oleh pada 03 Sep 2019 kategori

Sejak di sekolah rendah, kita sudah didedahkan dengan pelbagai eksperimen mudah melalui pembelajaran dalam subjek sains. Ianya sesuatu yang menyeronokkan apabila kita boleh melihat hasil keputusan dan tindak balas daripada sesuatu eksperimen yang kita lakukan.

Dalam dunia sains, tempoh sesuatu eksperimen itu dijalankan bergantung kepada hasil kajian yang hendak dicapai. Ada yang begitu singkat dan hanya mengambil masa beberapa bulan atau hari sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, berlainan pula dengan sebuah eksperimen yang digelar "PItch Drop Experiment". Walaupun eksperimen ini dimulakan pada tahun 1930, eksperimen ini masih lagi berjalaan disaat artikel ini sedang ditulis. Ini bermakna, eksperimen sudah berjalan lebih 90 tahun!

Sejarah Pitch Drop Experiment

Eksperimen ini merupakan ilham Thomas Parnell, seorang Profesor Fizik di University of Queensland, Brisbane, Australia. Walaupun eksperimen ini secara rasminya bermula pada tahun 1930, proses penyediaan bahan kajian eksperimen ini sebenarnya sudah dilakukan sejak tahun 1927 lagi.

Objektif utama kajian "pelik" ini adalah untuk mendedahkan sifat semulajadi "pitch" yang mengejutkan. Data yang diperolehi membolehkan saintis mengira tahap kelikatan dan kelajuan aliran bahan ini. Bagi yang tidak tahu, pitch adalah bahan yang mempunyai sifat keras seperti tar dan untuk kajian ini, bitumen telah digunakan sebagai bahan kajian .

Walaupun di suhu bilik bahan ini nampak seperti pepejal yang boleh dihancurkan dengan hentakan daripada tukul, ia sebenarnya adalah sejenis bahan yang mempunyai kelikatan (viscosity) yang tinggi. Melalui eksperimen inilah Profesor Parnell ingin membuktikan sifat unik bahan ini.

Proses penyediaan eksperimen ini juga bukan mudah. Profesor Parnel mulanya meletakkan sampel yang sudah dipanaskan ke dalam sebuah corong tertutup dan membiarkannya mendap selama 3 tahun.

Pada tahun 1930, selepas beliau yakin bahawa bahan kajiannya ini sudah benar-benar sejuk dan mendap keseluruhannya di corong yang digunakan, bahagian bawah corong dipotong untuk membolehkannya mengalir keluar. Bermula saat inilah, kajian ini secara rasminya bermula.

Keputusan kajian yang sudah diperolehi

pitch drop experiment

Sepanjang hidupnya, Profesor Thomas Parnell hanya dapat melihat 2 titisan daripada bahan kajiannya ini. Titisan pertama direkodkan pada tahun 1938, iaitu 8 tahun selepas kajian ini secara rasminya bermula. Sementara itu, titisan kedua pula dicatatkan pada tahun 1947, 9 tahun selepas terjadinya titisan pertama.

Gambar di atas mencatatkan tarikh titisan-titisan yang berjaya direkodkan sepanjang eksperimen berlangsung. Seperti yang dapat dilihat, titisan yang terbaru adalah titisan kesembilan yang direkodkan pada tahun 2014.

Daripada data-data yang sudah diperolehi ini, para saintis dapat membuat pengiraan bahawa pitch yang dijadikan bahan ujikaji dalam eksperimen ini mempunyai tahap kelikatan sekitar 230 bilion kali ganda berbanding air.

Eksperimen ini pada asalnya tidak dijalankan di bawah keadaan atmosfera yang dikawal khusus. Ini bermakna, kadar titisan dan kelikatannya (berdasarkan pengiraan data yang diperolehi) mungkin berubah-ubah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kelembapan udara, suhu dan sebagainya.

Selepas titisan ketujuh yang direkodkan pada tahun 1988, penghawa dingin telah diletakkan di makmal dimana eksperimen ini dijalankan. Ini membolehkan data yang lebih tepat diperolehi dimana suhu yang sekata digunakan. Penggunaan alat penghawa dingin ini juga bermakna suhu bilik menjadi lebih rendah, seterusnya memanjangkan tempoh setiap titisan berlaku.

Kematian Profesor Thomas Parnell

eksperimen terpanjang dunia 937

Professor Andrew White, penyelia eksperimen ini pada masa kini setelah kematian dua pemegang amanah yang terawal

Walaupun Profesor Thomas Parnell hanya dapat melihat 2 sahaja titisan yang direkodkan untuk kajiannya ini, eksperimen ini masih diteruskan sehingga saat ini. Ini membolehkan eksperimen ini diisytiharkan oleh Guiness World Records sebagai 'ujian percubaan makmal yang paling lama di dunia'.

Selepas kematiannya, tugas menyelia eksperimen ini diambil alih pula oleh Profesor John Mainstone. Beliau meninggal dunia pada tahun 2013 pada usia 78 tahun akibat strok. Selepas itu, tugas beliau diambil alih pula oleh Professor Andrew White sehingga kini.

Menariknya, eksperimen ini boleh dilihat secara langsung melalui laman web rasmi eksperimen ini. Eksperimen ini boleh dilihat secara langsung melalui laman web rasminya di Theninthwatch.com. Malangnya, sejak pertengahan bulan Mac 2018, laman web rasmi ini mempunyai masalah teknikal menyebabkan kesukaran untuk diakeses.

Daripada tempoh masa yang direkodkan untuk titisan kelapan dan kesembilan, dijangkakan titisan ke sepuluh mungkin akan mengambil masa 13 hingga 14 tahun daripada titisan kesembilan. Bagi yang berminat, anda juga boleh melihat sendiri eksperimen ini di University of Queensland di Brisbane, Australia.

Tiada ura-ura sama ada eksperimen ini akan dihentikan. Namun, berdasarkan jumlah bahan kajian yang masih terdapat dalam corong yang digunakan, dijangkan eksperimen ini mampu bertahan untuk masa beberapa ratus tahun lagi.

Kredit:

New Scientist

Atlas Obscura

Wikipedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)