Menurut laporan Sinar Harian, tindakan tidak bertanggungjawab seorang wanita yang memandu melawan arus pagi tadi telah menyebabkan seorang lelaki terkorban dan 5 orang cedera.
Kemalangan tersebut melibatkan 4 buah kereta, sebuah van kilang dan sebuah motosikal di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Sungai Dua.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, laporan berkenaan kemalangan itu diterima pihak beliau pada kira-kira pukul 7.50 pagi.
Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Gen2 dipercayai memandu dengan melawan arus dari arah bertentangan iaitu dari Sungai Dua menghala ke Butterworth.
Apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang dipandu seorang wanita itu kemudiannya dipercayai melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu mangsa yang berumur lingkungan 26 tahun itu.
Perlanggaran tersebut mengakibatkan kereta yang dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan pada masa sama berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
Menurut beliau lagi, kereta model Proton Gen2 itu hilang kawalan sehingga berpusing lalu melanggar 2 buah kereta yang lain dan sebuah van kilang.
Mangsa yang memandu Perodua Kelisa tersebut dikenali sebagai Mohamad Fandi Rosli berusia 26 tahun itu mengalami cedera parah dan disahkan meninggal di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Manakala mangsa lain yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya.
Pemandu Gen2 kini masih ditahan dan kini sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
Siasatan lanjut mengenai kes ini masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit video: Facebook Muhd Fitri Sukri
Sumber berita: Siakapkeli