Di Malaysia, kita bersyukur kerana kita tidak ada budaya 'paparazzi' yang tugasnya 24 jam sehari cuba mendapatkan foto-foto individu ternama, tanpa mempedulikan privasi mereka.

Menggunakan lompong undang-undang yang membenarkan gambar sesiapa saja diambil seandainya tiada gangguan privasi dilakukan, kerenah paparazzi cukup terkenal di serata dunia bekerja keras mendapatkan gambar sensasi untuk dijual kepada media.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya - adakah budaya serupa boleh berlaku di Malaysia? Sekiranya gambar anda diambil oleh individu yang tidak anda kenali tanpa kebenaran anda, adakah tindakan itu salah di sisi undang-undang kita?

Kelemahan undang-undang fotografi negara kita

orang ramai berebut ambil gambar

Dengan kemudahan telefon bimbit dan kini telefon pintar, teknologi kamera semakin lama semakin dipermudahkan - membolehkan sesiapa saja menangkap gambar beresolusi tinggi pada bila-bila masa, walau dalam keadaan gelap sekalipun. 

Teknologi yang mampu diakses setiap masa ini selain daripada mampu dipergunakan untuk tujuan kebaikan, sebaliknya dalam masa sama turut boleh digunakan untuk tujuan kurang baik.

Apa yang sukar untuk diperjelaskan - tidak ada undang-undang yang menghalang sesiapa pun mengambil gambar anda, ketika anda berada di tempat awam.

Ini bermakna pada setiap masa anda berada di tempat awam, tiada halangan bagi sesiapa pun untuk menangkap gambar anda untuk diabadikan dalam koleksi foto mereka - sama ada anda sedar atau tidak gambar anda telah diambil.

Gambar-gambar berbentuk kandid yang diambil tanpa kebenaran anda, adalah dibenarkan dari aspek undang-undang. Dari aspek etika, memang perbuatan itu patut dilihat sebagai satu perbuatan yang agak kurang sopan.

Namun seandainya kerajaan kita meletakkan perbuatan mengambil gambar orang lain di tempat awam tanpa kebenaran adalah satu kesalahan, pasti sangat sukar untuk sesiapa saja cuba mendapatkan foto peribadi untuk koleksi sendiri di tempat-tempat tumpuan orang ramai.

Nak kena tunggu tak ada orang lain dalam gambar, memang sangat mencabarlah. Kecuali kita sekeluarga atau kawan-kawan sanggup tangkap gambar di tangga kecemasan kompleks beli belah atau betul-betul di penjuru pantai yang tak ada orang nak guna.

Gambar hanya untuk kegunaan peribadi

koleksi album gambar 962

Sudah kami perjelaskan, pengambilan gambar kita tanpa kebenaran di tempat awam bukanlah satu kesalahan - melainkan gambar itu diambil untuk tujuan komersial.

Sebagai contoh seorang jurufoto menangkap gambar teman wanita anda secara kandid tanpa kebenaran kerana kecantikannya cukup memukau, kemudian memilih gambar itu untuk digunakan dalam laman web portfolio beliau.

Jurufoto itu sepatutnya cuba mendapatkan kebenaran teman wanita anda sebelum memuat naik gambar tersebut. Sekiranya gambar itu tetap dinaikkan tanpa kebenaran individu dalam gambar, perbuatan itu boleh dilihat sebagai satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

Pernah tak anda lihat rancangan televisyen yang memaparkan individu-individu yang wajah mereka dikaburkan? Identiti mereka terpaksa ditutup disebabkan oleh ketiadaan kebenaran tayangan atau penggunaan diterima daripada individu terlibat.

Malangnya dalam era Youtuber dan Tik-Tok-er rajin menyediakan pelbagai jenis rancangan untuk tatapan anda secara bebas atau independence ini, banyak pihak sudah tidak lagi mempedulikan isu ini walaupun ada kalanya paparan yang dibuat memalukan pihak-pihak yang ditayangkan.

Ramai pencipta karya media sosial tidak melihat keperluan untuk mengaburkan wajah-wajah individu yang dipaparkan, dikatakan bagi memastikan impak mesej dalam video mereka sampai.

Jadi secara kita tak sedar, semakin banyak wajah-wajah masyarakat awam ditayang secara terbuka sedang melakukan sesuatu yang memalukan diri mereka, sama ada bersifat jenayah atau tidak yang akhirnya tular, dikongsikan melalui bermacam faedah.

Persoalannya di sini, adakah perkongsian itu dibenarkan di sisi undang-undang kita?

Budaya CCTV di mana-mana

rakaman camcorder kereta

Setiap hari, ada saja video CCTV yang memaparkan jenayah, kemalangan atau pergaduhan dikongsikan.

Ada yang wajah mereka dikaburkan, ada juga versi 'tidak bertapis' yang memaparkan semuanya tanpa sebarang usaha melindungi identiti pihak terlibat.

Adakah penyebaran video seperti ini dibenarkan? Tidak.

Dari aspek undang-undang, tayangan, perkongsian atau tangkap layar yang dicetak dan ditampal di pintu premis (biasanya melibatkan kes-kes curi di kedai runcit) adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang kerana semua rakaman litar tertutup jatuh dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 - walaupun melibatkan perbuatan jenayah.

Tidak ada kebenaran untuk kita berkongsi video hasil rakaman CCTV milik kita yang memaparkan kejadian jenayah sekalipun kepada awam, sebaliknya rakaman tersebut haruslah diserah terlebih dahulu kepada pihak polis.

Sekiranya pihak polis merasakan perkongsian video tersebut boleh membantu kes, barulah selamat untuk kita kongsi video tersebut.

Ini kerana satu-satunya aspek yang perlu kita fahami dalam sistem undang-undang pengambilan gambar di negara kita yang agak longgar: semua gambar boleh dibenarkan diambil selagi tidak mencemarkan maruah orang yang dipaparkam dalam gambar atau video.

Kita gemar ketawa memalukan orang lain dalam video dan gambar

video tular gaduh remaja perempuan

Setiap orang pasti pernah melihat video tular yang memaparkan individu tidak kita kenali, berada dalam keadaan memalukan - seperti bergaduh, membuat onar atau dalam sesetengah kes, menjadi mangsa intai individu bernafsu liar.

Selain telefon dan kamera CCTV di rumah, ramai ahli masyarakat kita sudah mula memasang kamera dalam kereta yang merekod perjalanan kita.

Berdasarkan apa yang anda faham setakat ini; bolehkah anda mengongsikan video yang kamera anda rakamkan kepada umum dengan niat ingin memberikan kesedaran kepada orang ramai?

Sebenarnya tidak boleh.

Seperti kami katakan, hanya dengan kebenaran bertulis pihak polis barulah video hasil rakaman anda layak didedahkan kepada awam. Ini termasuklah video yang memaparkan kes-kes pergaduhan yang anda sempat rakamkan, sebagai contoh.

Walaupun anda pemilik video itu secara sah, individu-individu yang bergaduh dalam video rakaman anda boleh bertindak menyaman anda sekiranya anda menyebarkan video tersebut kerana boleh memalukan mereka.

Apa saja rakaman yang mencemarkan reputasi individu dalam rakaman, boleh dianggap sebagai satu kesalahan tukang ambil video atau gambar - walaupun individu yang dirakam sedang melakukan kesalahan.

Asasnya - adakah anda memohon kebenaran mereka untuk dirakamkan?

Jika tidak - kenapa anda dibenarkan sewenang-wenangnya berkongsi video yang memaparkan mereka tanpa kebenaran mereka yang secara jelas memalukan semua individu dalam video?

Kami menulis artikel ini untuk memperingatkan kepada anda supaya jangan mudah-mudah sebarkan video atau imej yang memalukan orang lain walaupun realitinya orang itu sedang melakukan satu kesalahan. 

Mereka boleh dakwa anda di mahkamah kerana memalukan mereka dan ada kemungkinan mahkamah akan memihak kepada mereka, hanya kerana anda tergesa-gesa berkongsi semua perkara yang menarik pada mata anda.

Ingat! Walaupun video itu video anda, identiti mereka yang dirakamkan adalah hak mereka. Langkah terbaik yang perlu kita fahami, semua rakaman kita adalah bahan bukti - bukanlah bahan untuk dikongsi dalam mengejar like dari netizen.

Rujukan

PDPA 2010 (PDF)

CCTV recording subjected to Personal Data Protection Act 2010

Photos in the eyes of the law




Hakcipta iluminasi.com (2017)