Selain daripada menuju ke arah sistem jana kuasa enjin kenderaan yang lebih bersih, industri kenderaan dunia ketika ini juga sedang menuju ke arah sistem autonomi pemanduan.

Sistem yang bersifat autonomi penuh di mana sesebuah kereta boleh dipandu tanpa campur tangan manusia, dari satu destinasi ke destinasi semakin lama semakin menghampiri realiti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun tahu kah anda beberapa dekad sebelum jenama seperti Tesla ataupun Honda memperkenalkan kenderaan yang mampu memandu sendiri, seorang profesor dari Korea Selatan sudah memperkenalkan ciptaan serupa?

Besar kemungkinan kita tak tahu kisahnya, kerana kerajaan Korea Selatan sendiri pada ketika itu tidak nampak potensi dan keperluan teknologi yang dibangunkan orang mereka.

Profesor yang berpengalaman luas

profesor min hong korea kereta pandu sendiri

Seorang peminat teknologi, Profesor Han Min-Hong merupakan seorang pendidik dan penyelidik bidang kejuruteraan yang terlibat dalam pelbagai bentuk kajian semasa masih bertugas mahupun selepas persaraan beliau.

Pengalaman bekerja di Texas State University pada dekad 1980-an memberikan beliau kemahiran untuk menyelidik dan membangunkan sistem autonomi kenderaan, ekoran penglibatan beliau dalam projek pembangunan kapal selam tanpa pemandu yang dikelolakan agensi Defense Advanced Research Projects Agency atau DARPA.

Kembalinya beliau ke Korea Selatan lewat dekad itu, membolehkan beliau mengaplikasikan apa yang telah dipelajarinya dalam pembangunan sistem pemanduan kereta yang bersifat autonomi.

Beliau bersama pasukan pelajar Korea University diberikan tanggungjawab membangunkan sistem kereta KAV-1 atau Korea Autonomous Vehicle 1, untuk kegunaan pihak tentera. Dengan sistem kamera dan peranti sensor ultrasonik, KAV-1 berjaya bergerak sendiri dalam sesi ujian di kawasan padang universiti.

Namun kumpulan pelajar mula memprotes enggan meneruskan projek itu yang berorientasikan kegunaan tentera, memaksa Prof. Min-Hong melakukan permohonan mahu mengubah sistem untuk diaplikasikan ke kenderaan penumpang biasa.

Permohonan itu diterima kerajaan Korea Selatan.

Mereka meneruskan pembangunan sehinggalah pada tahun 1993 berjaya berani melakukan sesi ujian awam pertama, berjaya menjalankan sesi ujian pertama di sepanjang laluan dari Jambatan Hanam ke sebuah bangunan di Yeoudioa, Seoul sejauh 17 kilometer; dengan Prof. Min-Hong menjadi satu-satunya penumpang kereta.

Dalam siri ujian yang dirakamkan, jelas kenderaan bergerak secara sendiri sementara Prof. Min-Hong duduk di bahagian belakang, tidak memakai tali pinggang keledar bagi memudahkan beliau meneliti komputer yang dipasang serta menonjolkan keyakinan beliau terhadap sistem yang mereka bangunkan.

Lebih lucu, Prof. Min-Hong mengaku semasa sesi ujian itu, dia tidak mempunyai insurans nyawa. Sekiranya apa-apa berlaku...susahlah.

Membangunkan sistem pandu autonomi untuk kenderaan berat

kereta pandu sendiri pertama korea selatan

Teknologi yang dibangunkan beliau dan pasukannya mengejutkan banyak pihak, khasnya pembangun industri automotif dunia.

Dua jenama besar Jerman, Mercedes-Benz dan Volkswagen mengaturkan beberapa siri lawatan ke fasiliti kilang mereka bagi membolehkan kerjasama dan pertukaran idea dimulakan.

Untuk beberapa tahun selepas itu, Prof. Min-Hong dan pasukan juruteranya mula melakukan pembentangan berkenaan teknologi yang telah mereka bangunkan di serata dunia. Beliau turut terlibat dengan bahagian pembangunan kenderaan komersial dari Hyundai Motor Company, untuk mengaplikasikan teknologi pemanduan autonomi kepada kenderaan lebih besar.

Dalam pembentangan yang dijalankan pada tahun 1996 di Tokyo, Jepun - pasukan itu menceritakan kepada hadirin berkenaan sistem yang telah mereka bangunkan, dinamakan Hyundai Smart & Safe Vehicle (HSSV) yang telah berjaya diuji di Belgium.

Dipasang pada bas yang mampu memuatkan 15 orang penumpang, bas itu berjaya bergerak sendiri selaju 30km/j di jalan lurus dan 10km/j pada laluan berselekoh dengan menggunakan sistem bacaan kamera, yang akan mengimbas imej jalan raya yang dilalui untuk dianalisis bagi menentukan sudut putaran stereng, tekanan brek dan pertukaran gear.

Berdepan masalah peruntukan dana

prof min hong self driving car before tesla

Walaupun demikian, teknologi yang telah mereka bangunkan itu berdepan beberapa masalah yang gagal mereka selesaikan seperti masalah sensor kamera yang tidak dapat membaca laluan -ekoran wujudnya halangan atau bendasing atas jalan.

Hasil daripada pembangunan teknologi ini, pasukan beliau mencadangkan agar sistem berasaskan sonar atau laser yang mampu mengesan objek di hadapan pada jarak sekurang-kurangnya 10meter dibangunkan, bagi menyokong sistem kamera sedia ada.

Namun malangnya projek yang disertai Prof. Min-Hong gagal untuk diperkembangkan, atas beberapa sebab tertentu.

Dalam salah satu mesyuarat beliau diberitahu tidak ada gunanya kajian yang telah dijalankan diteruskan, disebabkan oleh ketiadaan keperluan dan permintaan masyarakat ketika itu yang mahu kereta pemanduan sendiri.

Kebanyakan kajian dan penyelidikan yang dijalankan beliau mula dilakukan atas usaha sendiri, menggunakan dana yang keluar dari poket dan simpanannya.

Kerajaan Korea Selatan ketika itu diakui beliau, gagal melihat prospek yang ada terhadap kajiannya.

Noktahnya, Prof. Min-Hong dan pasukan penyelidik di Korea University menerima berita kurang gembira selepas kerajaan Korea Selatan menghentikan saluran dana kepada mereka, memaksa kumpulan itu mengecilkan skop kajian yang mampu mereka jalankan atau menamatkan terus beberapa idea yang sudah dikenalpasti berpotensi.

Dalam masa yang sama pembangun dan pengeluar dari negara luar sudah mula berlumba-lumba membangunkan teknologi sama, yang semakin lama semakin diperhalusi.

Meneruskan penyelidikan walaupun tidak disokong kerajaan

prof min hong korea kereta pandu sendiri autonomi pertama

Prof. Min-Hong bersara pada tahun 2009 tetapi terus menceburkan diri dalam bidang penyelidikan automotif dalam skala kecil.

Dia meneruskan usaha memperbaiki sistem pemanduan autonomi ciptaannya melalui pembangunan perisian. Prof. Min-Hong juga berjaya mencipta peranti berbentuk cermin mata yang mampu mengejutkan pemandu seandainya pemandu dikesan tertidur atas jalan.

Banyak pihak melihat kegagalan kerajaan Korea Selatan untuk menyokong usaha Prof. Min-Hong dalam membangunkan teknologi yang sudah sedia ada, menjadi punca teknologi autonomi kenderaan Korea Selatan agak ketinggalan berbanding negara lain.

Namun bagi Prof. Min-Hong, dia tetap merasakan belum terlewat untuk negaranya mengejar semula apa yang sudah mereka tinggalkan.

Beliau juga melihat usaha syarikat Tesla yang tidak berkira untuk melabur dalam membangunkan penghasilan kereta yang benar-benar memandu sendiri adalah sesuatu yang positif dan perlu dicontohi.

Bagaimanapun, Prof. Min-Hong percaya hubungan antara pemandu dan kenderaan perlu dikekalkan - di mana individu tidak sepatutnya bergantung 100% kepada kenderaan. Menurut pandangan beliau, autonomi pada kadar mutlak tidak mungkin dapat digapai disebabkan oleh keterhadan sistem elektronik itu sendiri.

Wayar dan litar yang menghubungkan pelbagai jenis sistem dalam sesebuah kenderaan tidak mampu menggantikan tindak balas seorang manusia yang berfikir dan bertindak balas, dalam membuat keputusan yang betul.

Prof. Min-Hong menjangkakan masa depan industri kenderaan autonomi akan lebih memfokuskan kepada pembangunan kenderaan pandu sendiri yang membawa barangan, bukan penumpang.

Pandangan ini seiring dengan pendapat beliau bahawa sebaik mana pun sistem ciptaan manusia, manusia tidak seharusnya lepas tangan sepenuhnya membiarkan hayat mereka ditentukan oleh mesin-mesin sepenuhnya.

Rujukan

Korea Joong Ang Daily - Been there, done that 

Development of autonomous test vehicle using image processing 1996




Hakcipta iluminasi.com (2017)