Kredit foto: Instagram Asyraff Mazlan
Gara-gara gosip cinta dengan aktres Elfira Loy, usahawan muda, Asyraff Mazlan terlantar selama tiga hari di katil wad hospital, baru-baru ini.
Asyraff, 30, berkata, dia ditempatkan di sebuah hospital di ibu kota bagi meredakan tekanan yang dihadapi.
"Saya mengalami sedikit tekanan sehari selepas tersebarnya foto mengatakan saya mempunyai hubungan istimewa dengan Elfira dan menjadi punca mereka (Elfira dan Sufian Suhaimi) putus tunang.
"Saya memilih untuk berehat di hospital dan cuba untuk tidak terlalu memikirkan tentang gosip yang tersebar itu. Alhamdulillah sekarang kesihatan dah okay," katanya memetik laporan Mstar Online.
Asyraff membuat kenyataan di pertunjukkan fesyen raya Leeyana Raya 2018 yang diadakan di The Majestric Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, ahli perniagaan ini menafikan kononnya dia mengerjakan umrah hanya bersama Elfira dan keluarga, sebagaimana yang didakwa netizen sebelum ini.
Walhal, mereka bertolak dalam sebuah kumpulan yang besar. Manakala fotonya bersama Elfira pula dikongsi di laman sosial sebelum isu putus tunang aktres itu diperkatakan ramai.
Kredit foto: Instagram Asyraff Mazlan
"Kami bukan buat umrah bersama, sebaliknya kita pergi dalam kumpulan yang ramai dan foto yang saya kongsi beserta kapsyen di Instagram hanyalah gurauan sesama teman.
"Netizen yang keluarkan semula foto itu dan kaitkan saya dengan isu putus tunang sedangkan kami mengerjakan ibadah umrah sebelum kontroversi itu timbul.
"Sebenarnya saya dah kenal keluarga Elfira sejak awal dia bergelar pelakon lagi dan kami hanya berkawan biasa sahaja," katanya.
Enggan mencampuri urusan peribadi aktres itu, Asyraff akui jarang berhubung dengannya.
Kredit foto: Instagram Asyraff Mazlan
"Kami jarang berhubung dan terakhir bertemu semasa sambutan hari jadi seperti dalam foto yang saya muat naik di Instagram tempoh hari.
"Sekarang ini saya tak mahu terlalu memikirkan mengenai gosip tersebut kerana ia tidak benar dan kami hanya berkawan.
"Saya pun sudah berpunya dan mujurlah kekasih faham apa yang berlaku dan tidak salah anggap dengan khabar angin ini," katanya.
Terdahulu, hubungan Elfira dan penyanyi Sufian Suhaimi secara rasminya berakhir apabila keluarga belah pihak perempuan memulangkan cincin pertunangan di kediaman keluarga Sufian di Muar, Johor pada 18 Februari lalu.
Elfira dan Sufian yang bertunang pada 6 Oktober lalu, mengikut perancangan asal dijadualkan bernikah pada Jumaat lepas.