Oleh pada 15 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram UNIC

Babak masam muka antara dua anggota UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh dan Bazli Hazwan Che Osman bukanlah gimik yang dicipta menjelang pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN17).

Kata Fakhrul Radhi Khamarudin, UNIC berdiri atas bakat dan kemampuan sendiri, justeru tidak memerlukan gimik berbentuk sedemikian.

"Ia bukanlah gimik. Tapi, memang benar ada berlaku sikit salah faham.

"Alhamdulillah, kita berjaya selesaikan salah faham itu, dua hari sebelum berlangsungnya AN17," katanya yang ditemui portal Sinar Harian sewaktu pentas akhir AN17, Sabtu lalu.

Dalam pertandingan berkonsep Islamik itu, UNIC meraih Anugerah Artis Duo/ Berkumpulan Pilihan dan Anugerah Lagu Pilihan bagi kategori pilihan pendengar/ penonton untuk lagu Syamail Muhammadiah.

Dalam pada itu, Fakhrul Radhi menganggap episod 'percakaran' mereka sebelum ini hanyalah sekadar masalah adik-beradik.

"Saya ada jumpa kedua-duanya. Biasalah, Bazli ini tegas orangnya. Dia pula dah 15 tahun jadi ketua UNIC, jadi wajar untuk dia menegur terutama apabila berkaitan kerja. Lagipun, bukan senang nak built nama UNIC itu sendiri.

"Najdi pula masih baru dan bila ada yang menegur, mungkin ada rasa sikit perasaan terkilan. Tapi, saya memintanya untuk berfikir jauh lebih-lebih apabila kita dah pergi sejauh ini.

"Biasalah, kita pun mungkin stress dengan kerja, dengan hal keluarga masing-masing lagi. Jadi, itupun menjadi penyebab juga," katanya.

Selain itu, Fakhrul Radhi hanya mampu melahirkan kesyukuran kerana konflik yang tercetus dapat diatasi dengan baik.

"Alhamdulillah, kita terus kekal bersama dan setiap yang berlaku merupakan satu proses pembelajaran untuk UNIC.

"Lagipun, perjalanan kita juga masih jauh selain jangan cepat melatah apatah lagi ada ujian yang lebih besar menanti, selepas ini," katanya.

Di kesempatan yang sama, beliau memohon agar peminat dapat mendoakan supaya kumpulan itu dapat bertahan lama.

"Doa-doakanlah, UNIC akan terus kekal dalam tempoh 20 ke 30 tahun akan datang," katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)