Kredit foto: Instagram UNIC
Anggota kumpulan Unic, Fakhrul akui terkejut dengan kenyataan Najdi yang mahu menarik diri daripada kumpulan tersebut.
Fakhrul atau nama sebenarnya Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, berkata buat masa ini beliau enggan memberikan ulasan lanjut berhubung isu itu kerana tidak tahu pokok pangkal kisah sebenar.
“Ia mungkin berpunca daripada perselisihan faham dalaman sahaja yang saya sendiri tidak tahu sejak bila.
“Berurusan dengan manusia ini mencabar kerana manusia ada hati, perasaan dan ego, malah semua manusia berbeza.
“Tak nafikan, dalam menguruskan artist berkumpulan ada turun dan naiknya.
“Kami pun manusia biasa, cabaran dan ujian kami pun sama macam orang lain,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Menerusi laporan Harian Metro sebelum ini, Najdi berkata, dia bakal menarik diri daripada kumpulan nasyid itu kerana berselisih faham dengan Bazli.
Sementara itu, Fakhril, 32, memberitahu belum ada perbincangan lanjut antara dirinya dan kedua-dua rakan kumpulannya berkenaan masalah terbabit.
“Insya-Allah kami akan cuba menyelesaikan masalah dalaman ini dalam masa yang terdekat.
“Lagipun kami ada banyak komitmen dengan pelbagai pihak.
“Jadi keputusan yang kami ambil semestinya akan dipertimbangkan dari semua segi,” katanya yang bakal bertindak menyelesaikan krisis berkenaan.
Terdahulu, Najdi menggantikan tiga anggota asal Unic iaitu Mohamad Fitri Haris, Wan Sharifuddin dan Mohd Afendi Jahri sejak dua tahun lalu.
Gandingan baharu kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 ini, iaitu antara Najdi, Bazli dan Fakhrul membawa tuah apabila mereka dinobatkan juara Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun sudah.
Sumber berita: Astro Gempak