Kredit foto: Instagram UNIC
Anggota kumpulan Unic, Wan Najdi Wan Mohd Noh, mendedahkan dia bakal menarik diri dari kumpulan nasyid tersebut kerana mempunyai krisis dengan Bazli Hazwan Che Osman.
Susulan itu, Najdi tidak menyertai pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN2017) bersama Unic pada Sabtu ini.
Najdi, 26, berkata, dia tidak dapat menahan sabar dengan sikap Bazli dan berharap pengundurannya dapat memberi keselesaan kepada perjalanan karier Unic pada masa mendatang.
“Saya mahu tarik diri sebab ada isu. Sebenarnya saya bergaduh dengan Bazli. Tak tahu nak cakap macam mana.
“Isu ini sudah lama dan saya rasa bekerja dengan Bazli sangat sukar sebab dia seorang yang suka cakap lepas. Bagaimanapun, saya tiada masalah dengan Fakhrul,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Dalam pada itu, beliau akui sudah lama tidak bertegur sapa dengan Bazli.
Bekas peserta Imam Muda musim kedua ini berkata, sesiapa sahaja yang berada di tempatnya akan memahami mengapa dia mengambil tindakan tersebut.
Sebelum ini, berita mengejutkan berkenaan sudah dihidu peminat apabila beliau berkongsi perbualannya menarik diri daripada AN2017 di Instagram pada Ahad.
Pun begitu, Najdi hanya mendedahkan punca sebenar pengundurannya dalam temubual bersama Harian Metro ini.
Sementara itu, Najdi turut memuat naik kiriman terbaru di Instagram dengan kaspyen berbunyi, "Aku memang dah lama tak puas hati dengan kau".
Kredit foto: Instagram Najdi
Terdahulu, beliau menggantikan tiga anggota asal Unic iaitu Mohamad Fitri Haris, Wan Sharifuddin dan Mohd Afendi Jahri sejak dua tahun lalu.
Gandingan baharu kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 ini, iaitu antara Najdi, Bazli dan Fakhrul membawa tuah apabila mereka dinobatkan juara Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun sudah.
Sumber berita: Harian Metro