Kredit foto: Instagram Janna Nick
Aktres Janna Nick menyelar tindakan seorang selebriti laman sosial atau 'instafamous' yang merendah-rendahkan sebuah jenama telefon pintar keluaran Asia.
Janna yang juga duta sebuah jenama telefon keluaran China beranggapan tidak sewajarnya timbul perbandingan dalam mana-mana produk telefon pintar memandangkan setiap pengguna mempunyai citarasa yang berbeza.
Kredit foto: Instagram Janna Nick
"Pada saya, hanya budak-budak sekolah yang belum matang suka memperlekeh dan membandingkan jenama sesebuah produk.
"Setiap orang ada cita rasa dan pilihan tersendiri," katanya kepada portal BH Online.
Manakala, dirinya pula lebih meletakkan keutamaan terhadap ciri-ciri sesebuah telefon untuk disesuaikan dengan keperluannya.
Kredit foto: Instagram Janna Nick
"Saya sendiri lebih gemar memilih ciri-ciri yang ada pada sesebuah telefon pintar, seperti skrin besar yang memudahkan kita untuk membuat kerja, kelajuan dan juga beratnya, berbanding hanya melihat pada jenama," katanya.
Pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner ini membuat ulasan berkenaan sewaktu menghadiri majlis memperkenalkan jenama telefon pintar Vivo 9 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu kota, semalam.
Sebelum ini, seorang selebriti laman sosial popular menjadi mangsa hentaman selepas muncul dalam sebuah video yang memaparkan dirinya memperlekehkan sebuah jenama ketika diminta membuat pilihan antara dua telefon pintar.
Janna bagaimanapun menganggap ia isu kecil yang tidak perlu dipanjangkan kerana pendapat wanita itu hanyalah berbaur peribadi.