Kredit foto: Instagram Janna Nick
Susulan luahan beremosi dikongsi Janna Nick di laman Instagram, netizen berspekulasi kononnya pelakon itu sedang dilanda tekanan perasaan.
Aktres kelahiran Sungai Petani, Kedah, itu bagaimanapun memberitahu, dia ingin memberi pendedahan berhubung isu tekanan perasaan yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini.
"Selari dengan azam baharu, saya ingin memberi pendedahan terhadap masalah tekanan perasaan yang dilalui kebanyakan orang tanpa sedar. Saya berhasrat membuka mata masyarakat berhubung perkara itu.
"Ini juga sebagai permulaan tahun baharu untuk menyebarkan perkara positif dan nilai murni buat pengikut di laman sosial.
"Saya berhasrat menggunakan medium sosial media sebaik mungkin sekali gus 'memberi' balik kepada masyarakat.
"Malah, secara tidak langsung kesedaran yang cuba disampaikan kepada masyarakat sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu mengenai sesetengah perkara," katanya memetik portal BH Online.
Sebelum ini, Janna mendapat perhatian apabila memuat naik beberapa siri luahan perasaan mengenai tekanan perasaan di akaun Instagramnya.
Malah, ramai peminatnya turut tampil membuat pengakuan pengalaman masing-masing menerusi ruangan komen.
Kajian mendapati seseorang individu mengalami gangguan emosi disebabkan ketidakupayaannya menangani tekanan masalah dalam kehidupan seharian.
Individu yang berhadapan tekanan perasaan atau kemurungan dalam masa sama berisiko mendapat gangguan kesihatan.
Sumber berita: BH Online