Kredit foto: Instagram Hazami & Instagram Nabil
Penyanyi Hazami memberi peringatan buat hos Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Nabil Ahmad supaya lebih berhati-hati ketika bergurau di pentas kerana bimbang akan menimbulkan kontroversi baru.
Malah penyanyi berusia 42 tahun itu sudahpun bersemuka dan berbincang secara peribadi dengan pelawak yang juga hos Meletop itu, dengan harapan dia menyedari batasan gurauannya yang boleh mencalarkan perasaan peminat.
"Lawak yang dilakukan itu tidak apa-apa pada saya tapi peminat saya tidak boleh terima dan menganggap ia sebagai keterlaluan.
"Jadi jalan terbaiknya saya berbincang dan cakap sendiri dekat Nabil sebagai jalan tengah. Saya tahu dia perlu menghidupkan suasana ceria. Dalam masa sama saya juga perlu menjaga hati peminat-peminat yang mengambil berat hal itu," katanya memetik laporan portal Mstar Online.
Hazami membuat kenyataan tersebut merujuk kepada kontroversi Nabil memegang lehernya minggu lalu hingga didakwa sebagai gangguan seksual.
Sementara itu, penyanyi lagu Sonata Musim Salju ini berkata, dia tidak sekalipun berkecil hati dengan gurauan pengacara berusia 34 tahun itu.
Namun dalam masa yang sama, dia perlu mempamerkan wajah tegas ketika di pentas agar pelawak itu tahu had gurauannya.
"Saya kenal dia sudah lama dan macam adik beradik, saya tahu dia bergurau macam mana. Cuma ketika atas pentas muka saya nampak serius supaya dia faham dan tidak keterlaluan.
"Dia pun beritahu saya supaya saya hentam dia balik ketika di pentas," terangnya.
Menyentuh persembahan dalam konsert kedua GV4, penyanyi yang juga komposer ini memberitahu alat pendengarannya tidak berfungsi ketika mendendangkan lagu Setengah Mati Merindu.
"Saya ada masalah ketika menyanyi di pentas di mana saya tidak dengar apa bunyi jadi saya terpaksa berlakon dan berserah.
"Saya hanya fikir ingin nyanyi sehabis baik sahaja malam itu," luahnya.
Sumber berita: Mstar