Kredit foto: Instagram Aqasha
Aqasha menjelaskan empat lelaki yang bersamanya sepanjang konsert Gegar Vaganza musim keempat Ahad lalu adalah pekerja pengurusan yang digelarkan sebagai 'The A Team'.
Menurut penyanyi berusia 34 tahun ini, dia sengaja meminta mereka berpakaian seperti pengawal peribadi supaya kelihatan bergaya.
"Mereka bukan pengawal peribadi tapi pihak pengurusan yang menjaga saya sepanjang program ini. Bukan apa, saya rasa lebih mudah untuk bergerak dan berjumpa peminat.
"Berkaitan penampilan pula, saya minta mereka untuk lebih bergaya jika mahu mengikut saya, tapi tidak sangka nampak macam bodyguard pula. Tapi tidak mengapa saya suka, style itu yang penting baru la nampak aura bintang," katanya yang dipetik daripada laporan Mstar Online.
Aqasha mengulas tentang identiti sekumpulan lelaki berpakaian suit serta jaket, dilengkapi telefon telinga dan walkie-talkie.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cahaya Hati ini memberitahu, pekerja yang menguruskan kelancaran kariernya sepanjang program Gegar Vaganza 4 berlangsung adalah seramai sepuluh orang.
Malah, dia juga menyediakan truck makanan khas buat para peminat yang menunggu di luar dewan.
Kredit foto: Instagram Aqasha
"Alhamduillah, dengan bantuan The A Team juga saya boleh menyediakan makanan untuk peminat yang tunggu di luar dewan," ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan program itu, Aqasha berkata dia semakin selesa sewaktu memasuki minggu kedua.
Mendendangkan lagu Aku nyanyian asal Datuk Jamal Abdilah pada konsert lalu, penyanyi yang juga seorang aktor ini akui bimbang dengan lontaran vokalnya, di samping berasa janggal dengan penggunaan alat pendengaran ketika menyanyi di pentas.
"Saya bimbang dengan lontaran suara saya dan menyanyi di pentas besar seperti ini. Jumlah penonton yang agrasif juga kadang-kala membuatkan saya risau," ujarnya.
Sumber berita: Mstar