Sumber foto: Kosmo Online (Gambar sekadar hiasan)
Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terbaring di dalam hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik Khamis lepas.
Mangsa dipercayai ditembak kenalannya yang menyangka mangsa adalah seekor kijang lalu melepaskan tembakan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ((JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman, pihak polis telah mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan berjaya menahan 3 suspek berumur dalam lingkungan 20-an dan 65 tahun dipercayai kenalan mangsa pada jam 9.30 pagi kelmarin.
Tambah beliau, menurut siasatan, mangsa bersama ketiga-tiga suspek telah pergi memburu binatang di kawasan hutan Ahad lepas dengan memakai senapang patah buatan sendiri.
“Sewaktu memburu, mereka telah berpecah dan salah seorang rakan mangsa dipercayai melihat kijang sebelum melepaskan tembakan yang mengakibatkan kematian mangsa.
“Hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek petang tadi, mereka telah menunjukkan selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” ujarnya semasa dihubungi Kosmo! semalam.
Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi (24 tahun) didedahkan cedera parah pada bahagian kepala disebabkan kesan tembakan dan dibiarkan di tempat insiden.
“Hasil soal siasat mendapati suspek panik dengan kejadian itu sebelum meninggalkan mayat mangsa di lokasi kejadian,” ujarnya semasa dihubungi Harian Metro, semalam.
Mangsa yang dipercayai tidak balik ke kediamannya sejak Ahad lepas dijumpai orang awam pada pukul 4 petang kelmarin.
Menurut abang mangsa, Mohd. Hazwan (29 tahun), mayat mangsa dijumpai dekat dengan tempat motosikalnya dan mangsa sering pergi ke hutan berdekatan bagi memikat burung.
Tambah Yahya, salah seorang suspek berumur 65 tahun memiliki lesen senjata api dan telah memberikan peluru yang dipakai bagi membantu siasatan.
Berikutan itu, polis merampas senapang patah dan peluru yang dipakai menerusi insiden terbabit.
Jelasnya lagi, kesemua suspek ditahan reman selama 5 hari sejak semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akibat membunuh.
Sumber berita: Kosmo Online & Harian Metro