Oleh pada 04 Feb 2018 kategori

Sumber foto: MalaysiaGazette

Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berumur 55 tahun, meninggal dunia kerana ditikam rakannya yang juga OKU di Jalan Pandamaran, Klang petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, pihaknya mendapat laporan tentang insiden terbabit menerusi panggilan telefon daripada seorang doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada pukul 6.18 petang.

"Doktor berkenaan memaklumkan ada menerima pesakit iaitu mangsa dalam keadaan tidak sedar diri akibat kesan luka di dada kanan, disyaki ditikam dengan senjata tajam.

"Mangsa juga dipercayai sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," ujarnya menerusi sebuah kenyataan semalam.

Shamsul Amar memberitahu, siasatan awal mengetahui mangsa hadir ke kediaman suspek sekitar pukul 6 petang semalam.

"Namun, tidak lama kemudian, ada seorang wanita yang tinggal berdekatan rumah suspek ternampak mangsa keluar dari rumah berkenaan dalam keadaan berdarah.

"Mangsa kemudian rebah dan wanita terbabit meminta tolong orang awam yang lalu lalang di situ untuk menghantar mangsa ke hospital dengan menaiki sebuah kereta," ujarnya.

Proses bedah siasat dilakukan pada pukul 10 pagi hari ini di HTAR untuk mengetahui punca insiden.

Pihak polis turut telah menangkap seorang lelaki berumur 51 tahun di kediamannya iaitu tempat mangsa ditikam.

"Kita turut merampas sebilah pisau dengan kesan darah yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa. Suspek adalah seorang OKU iaitu kaki kanannya kudung dari bawah lutut.

"Siasatan mendapati mangsa selalu datang ke rumah berkenaan untuk tujuan lepak dan dipercayai sering mengusik suspek," ujarnya.

Jelas Shamsul Amar lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)