Oleh pada 13 Feb 2018 kategori

amah warga indonesia mati didera seorang lagi wanita berusia 60 tahun ditahan

Sumber foto: The Star Online

Polis menahan seorang lagi wanita untuk membantu siasatan berkaitan kes pembantu rumah Indonesia maut dipercayai akibat didera di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam kelmarin.

Menurut ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid selaku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, wanita berusia 60 tahun itu ditahan di depan sebuah bangunan di Jalan Green Hall, George Town sekitar pukul 2.30 petang semalam.

“Selepas Adelina Lisio, 28, meninggal dunia semalam (11 Februari), kami mencari warga emas terbabit yang juga ibu kepada dua beradik yang ditahan sebelum ini di rumah mereka di Taman Kota Permai 2, namun dia tiada, dipercayai disembunyikan oleh anak-anaknya bagi mengelak ditahan.

“Wanita itu juga tinggal di rumah yang sama dan difahamkan turut memukul pembantu rumah berkenaan,” ujarnya semalam.

Adelina yang cedera parah berserta mengalami luka dan lebam pada tubuh, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam pada sekitar pukul 4.45 petang kelmarin dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi menjalani proses bedah siasat.

Adelina dijumpai pada sekitar pukul 8 malam Sabtu lepas setelah polis mendapat laporan berkaitan insiden tersebut daripada seorang lelaki yang turut merupakan pembantu kepada anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berusia 36 dan 39 tahun, iaitu majikan mangsa untuk membantu siasatan.

Nik Ros Azhan memberitahu, warga emas tersebut bakal direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Beliau memberitahu, laporan bedah siasat terhadap pembantu rumah tersebut memperoleh maklumat kematian mangsa berpunca dari kegagalan organ tubuh akibat kekurangan darah dan mangsa dipercayai tidak diendahkan oleh keluarga terbabit.

Tambahnya, pihak polis tidak menolak kebarangkalian di samping didera menerusi cara pukulan dan tamparan, kesihatan pembantu rumah tersebut juga tidak dipedulikan, serta disediakan makanan dan tempat tinggal yang serba kekurangan sejak beberapa bulan lalu.

“Setakat ini, polis telah merekod keterangan beberapa orang saksi termasuk jiran-jiran majikan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi orang antaranya doktor dan kenalan majikannya bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sumber berita: BernamaMalay Mail Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)