Kredit foto: Kosmo Online
Seorang lelaki bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 2 tahun setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Gerik, kelmarin, di atas pertuduhan dengan cuai menembak rakannya menggunakan senapang patah sehingga maut, di kawasan Hutan Sungai Tera, 18 Februari lepas.
Tertuduh, Mohd. Fitri Osman (26 tahun) yang bekerja sendiri, mengaku bersalah setelah pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah dengan sangat cuai sehingga mengakibatkan kematian Mohamad Haniff Mat Zabidi (24 tahun) di dalam kawasan Hutan Sungai Tera, Lebuhraya Gerik-Kupang, sekitar jam 10.30 malam.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, yang sekiranya sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Namun, mahkamah menangguhkan keputusan ke atas kedua-dua tertuduh sementara menantikan laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA) dan perubatan, selain menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah mengizinkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin. Buat masa ini, mereka masih tidak membayar jaminan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi rakannya, Muhammad Azaili Alias (31 tahun), yang didakwa secara berasingan, turut mengaku bersalah atas 2 pertuduhan, iaitu mempunyai selaras senapang patah dan 19 peluru hidup yang menyalahi undang-undang.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di lokasi serupa, antara jam 7.30 hingga 10.30 malam dan didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.
Muhammad Azfar Mahmod selaku Timbalan Pendakwa Raya menjalankan pendakwaan, manakala tiada peguam yang mewakili tertuduh.
Namun, Muhammad Azfar memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk menantikan keputusan bedah siasat, sampel asid deosiribonukleik (DNA) dan perubatan.
Selain itu, dia mencadangkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas kedua-dua tertuduh.
Selepas itu, Raja Shahril Anuar menetapkan 2 April ini sebagai sebutan semula kes dan mengizinkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes terbabit.
Sumber berita: Kosmo Online & Berita Harian