Oleh pada 25 Jun 2018 kategori

Semalam rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita tentang seorang pemandu Grab yang berusia 27 tahun ditemui mati dalam keadaan yang sadis, di Selayang Baru, Selangor. Mangsa ditemui dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta dengan kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki ke atas. Menurut rekod, mangsa kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang baru pada pukul 9.34 malam Khamis lepas. Al Fatihah. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita kerap kali mendengar penumpang menjadi mangsa pemandu teksi atau Uber mahupun Grab, namun sebenarnya keselamatan pemandu juga turut terancam. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang kes-kes jenayah berat yang melibatkan pemandu dan penumpang syarikat perhidmatan pengangkutan Grab. 

1. Rompakan Dan Penculikan Seorang Gadis Oleh Pemandu Grab

Maklumat Kejadian: April 2018 di Jakarta, Indonesia.

rompakan dan penculikan seorang wanita oleh pemandu grab

Seorang gadis berusia 24 tahun berada dalam keadaan trauma setelah diculik selama 7 jam oleh seorang pemandu Grab awal April tahun ini. Menurut laporan polis, mangsa menggunakan perkhidmatan itu pada awal pagi Isnin untuk ke tempat kerja di Tanah Abang dari rumahnya di Tambora, Jakarta Barat. Ketika memasuki kenderaan suspek, mangsa tidak menyedari kehadiran 2 orang lagi rakan pemandu yang bersembunyi di bahagian belakang kenderaan. 

Apabila pintu sudah ditutup dan kereta sudah bergerak, mangsa telah diserkup oleh 2 orang suspek di belakang, dengan menggunakan jaket. Penculik membuat ancaman terhadap nyawa mangsa. Dia diculik selama 7 jam berikutnya, berpusing-pusing sekitar bandar di dalam kereta tersebut. Mangsa akhirnya dilepaskan, namun barang kemas, kad ATM dan telefon bimbitnya telah dirampas. Menurut mangsa, dia merasakan objek seperti pistol diletakkan terhadapnya, namun tidak pasti kerana matanya ditutup. 

Mangsa yang trauma dilepaskan di rumahnya. Grab Indonesia mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya penculikan tersebut, dan sedang berusaha membantu siasatan, serta berjanji untuk meningkatkan keselamatan penumpang. 

2. Tuduhan Pemandu Grab Merogol Pelajar Universiti

Maklumat Kejadian: November 2017 di Shah Alam, Selangor.

tuduhan pemandu grab merogol pelajar universiti

Kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam, ketika mangsa yang berusia 22 tahun sedang berjalan ke sebuah perhentian bas selepas membeli makanan di pasar malam. Suspek dikatakan telah menarik mangsa ke dalam keretanya, sebelum memandu ke kawasan industri yang sunyi, berhampiran sebuah pangsapuri Seksyen 7 sebelum merogol mangsa. 

Suspek kemudiannya telah merompak mangsa, mengambil wang tunai sejumlah RM100 dan telefon bimbit, serta mengarahkan mangsa keluar daripada kereta. Pihak polis berjaya menjejaki suspek dan merampas beberapa bahan bukti termasuklah sebilah pisau dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa. Suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau kerana menceroboh. 

Laporan awal mengaitkan suspek sebagai pemandu Grab, dan mangsa sebagai penumpang, namun Grab Malaysia menafikan dakwaan bahawa lelaki tersebut mempunyai kaitan dengan syarikat perkhidmatan pengangkutan tersebut kerana tiada sebarang rekod tentang suspek ditemui di dalam pengkalan data Grab. 

3. Pembunuhan Seorang Pemandu Grab Yang Baik Hati

Maklumat Kejadian: 28 Oktober 2017 di Manila, Filipina.

pembunuhan seorang pemandu grab yang baik hati

2 tahun lalu, seorang pemandu Grab yang bernama Gerardo “Junjie” Maquidato Jr. menjadi viral kerana beliau menolak bayaran daripada seorang penumpang yang sakit. Tindakan murninya itu mendapat perhatian Grab Filipina yang kemudiannya memberikan anugerah sebagai pengiktirafan atas jasa baiknya itu. 

Pada 28 Oktober 2017, nama Junjie sekali lagi menjadi viral dan tajuk berita di negara berkenaan, kali bukanlah kerana perbuatan baiknya, namun disebabkan beliau telah dibunuh. Menurut laporan awal polis, seorang saksi mendengar beberapa das tembakan sekitar 7.50 malam hari kejadian. Mayat Junjie yang sudah tidak bernyawa telah dilihat dilempar keluar daripada sebuah kereta Toyota Innova berwarna silver di Pasay City. 

Junjie telah ditembak daripada belakang kepalanya, dan peluru tersebut telah menembusi keluar melalui mata kirinya. Suspek dipercayai seorang penumpang yang sudah biasa menggunakan perkhidmatan Grab, dan dia melarikan diri menggunakan kereta mangsa. 

4. Tuduhan Pemandu Grab Memukul Penumpangnya Sehingga Patah Hidung

Maklumat Kejadian: Ogos 2017 di Kuala Lumpur.

tuduhan pemandu grab memukul penumpangnya sehingga patah hidung

Menurut laporan berita oleh The Star Online, kes ini melibatkan serangan fizikal seorang pemandu Grab terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan 5. Pemandu Grab berkenaan telah mengambil pelajar tersebut daripada rumahnya di Puchong Jaya sekitar 5 petang pada hari kejadian. Segalanya bermula apabila berlaku perselisihan faham antara keduanya dan menyebabkan mereka bertengkar. 

Pemandu Grab berkenaan kemudian menjadi terlalu marah dan tidak dapat menahan sabar lalu menyerang gadis tersebut dengan memukulnya secara fizikal. Akibat pukulan tersebut, mangsa telah mengalami patah hidung. Susulan daripada kejadi tersebut, Grab mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan bertoleransi terhadap sebarang keganasan fizikal dan penderaan lisan. 

5. Tuduhan Pemandu Grab Merogol Penumpang Wanita Mabuk

Maklumat Kejadian: 11 Jun 2017 di Seri Kembangan, Selangor.

tuduhan pemandu grab merogol penumpang wanita

Menurut mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal kepada 2 orang anak, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersiar-siar di Petaling Jaya, menggunakan perkhidmatan pengangkutan melalui aplikasi Grab. Menurut OCPD Megat Mohamad Aminudin, wanita berusia 29 tahun itu membuat laporan polis selepas dirogol berhampiran rumahnya di Bandar Putra Permai di Seri Kembangan, pada sekitar jam 4 pagi. 

Menurut wanita itu lagi, dia mendakwa pemandu Grab itu telah menyerangnya secara seksual, dan dia tidak berupaya untuk melawan kerana berada dalam keadaan mabuk. Selepas merogol, wanita itu dihantar pulang ke rumahnya. Polis kemudiannya menahan pemandu Grab tersebut di rumahnya di Sungai Buloh pada pukul 10 malam hari yang sama. Suspek juga dipercayai baru menggunakan aplikasi Grab selama 3 bulan sebagai pemandu, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. 

'Nasihat kepada kedua penumpang dan pemandu Grab mahupun teksi, sila berhati-hati sentiasa kerana malang tidak berbau.'

Sumber:

  1. thestar.com.my
  2. thecoverage.my
  3. philstar.com
  4. nst.com.my
  5. coconuts.co
  6. channelnewsasia.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)