Oleh pada 18 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Shutterstock

Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat ditikam anaknya sendiri setelah mengetahui yang bapanya itu mempunyai wanita simpanan.

Insiden tersebut berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, yang terletak sekitar 15 kilometer dari Johor Bahru, semalam. 

Mangsa yang berumur 45 tahun tidak bekerja, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan tikaman di dada kiri di ruang tamu rumahnya pada sekitar jam 11 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad, pihak mereka berjaya menahan anak lelaki mangsa (17 tahun), isteri mangsa (40 tahun) dan kawan suspek berhampiran kawasan perumahan berkenaan.

Selain itu, seorang lagi kawan suspek sedang diburu untuk membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai akibat isteri yang cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai wanita simpanan,” ujarnya.

Tambah Noor Hashim, orang awam memaklumkan tentang insiden tersebut kepada pihak polis.

Siasatan awal mendapati terdapat titisan darah dari bilik utama hingga ruang tamu rumah mangsa.

"Mangsa dipercayai tidur di bilik utama dan terdapat kesan pergelutan di bilik utama di mana rak baju terjatuh dan katil berselerak selain tiada barang yang hilang dan tidak ada kesan pecah rumah,” ujarnya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru bagi proses bedah siasat.

Sumber berita: Bernama & Malaysiakini




Hakcipta iluminasi.com (2017)