Kumpulan nasyid Unic akui tidak takut dengan kecaman peminat selepas tampil dengan imej bertopi dan berambut pacak.
"Sejak menyertai Gema Gegar Vaganza (GGV) lagi kami sudah mula mengubah imej kami dengan hanya bertopi atau berambut pacak tanpa kopiah atau jubah seperti kebiasaannya," kata salah seorang anggota UNIC, Fakhrul kepada portal Astro Gempak.
Dalam masa sama, Fakhrul memberitahu ada di kalangan peminatnya yang tidak dapat menerima hakikat itu lalu mengecam mereka.
Fakhrul menyedari kelompok peminat yang meminati muzik mereka selama ini adalah di kalangan kumpulan yang sama.
“Sebenarnya UNIC sudah 15 tahun duduk dalam kelompok yang sama iaitu orang-orang di surau, masjid dan insititut pengajian Islam sahaja," katanya.
Justeru, mereka merancang untuk memperluaskan kelompok peminat selaras dengan usia kematangan kumpulan itu.
“Kini sudah tiba masanya kami cari peminat baru dan kelompok yang lebih besar seperti menyanyi di atas kapal cruise, di majlis-majlis korporat mahupun menarik minat golongan mat rempit," katanya.
Menurutnya lagi, mereka terbuka untuk sebarang perubahan baru selagi tidak bertentangan dengan syarak.
“Kami tahu orang muda ni suka berfesyen dan berlawak, jadi kita cuba untuk mengikuti peredaran semasa selagi ia tidak melanggar syarak,” kata Fakhrul.
Terkini, Unic yang juga dianggotai Bazli dan Wan Najdi muncul dengan single baharu berjudul Sedar, nyanyian bersama penyanyi rap, Caprice.
Kredit foto: Instagram Unic
Sumber berita: Sinar Harian & Astro Gempak