Setiap hari untuk beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa aplikasi bahan bacaan milik penulis dipenuhi dengan artikel-artikel yang berkisar kepada perasaan simpati terhadap nasib George Floyd.
Digelarkan dengan bermacam gelaran yang baik seperti 'The Gentle Giant' (Gergasi Yang Lembut), seorang ayah yang penyayang dan bermacam lagi gelaran yang menggambarkan kebaikan Floyd - fokus pihak media barat jelas sekali mahu meletakkan Floyd ibarat kematian seorang martir.
BESARKAN TEKS A- A+
Sayangnya, disebalik semua laporan ini - artikel-artikel berkenaan latar belakang sebenar individu bernama George Floyd tidak lagi dihiraukan yang sebenarnya membuktikan walaupun dia merupakan mangsa kekejaman polis; menyanjung Floyd terlalu tinggi juga satu kesilapan yang tak sepatutnya kita lakukan.
Jenayah pertama George Floyd
Floyd adalah anak kelahiran North Carolina, yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Pada usia 2 tahun, keluarga mereka berpindah ke Houston membesar di sebuah kawasan didiami etnik kulit hitam - dinamakan sebagai Cuney Homes.
Bagaimanapun, penduduk di situ lebih gemar menamakan kediaman 500 unit apartment mereka sebagai The Bricks ekoran rupa bentuknya.
Seorang atlit cemerlang dalam sukan ragbi Amerika, era muda Floyd dipenuhi aktiviti sukan. Berikutan saiz dan kekuatannya, Floyd ditawarkan untuk menyertaiSouth Florida State College sebagai seorang pelajar dan pemain bola keranjang.
Dua tahun di situ, Floyd menyambung pengajian ke Texas A&M University. Tamat pengajian, Floyd kembali ke Houston cuba mendapatkan pekerjaan tetap - tetapi dia lebih banyak terlibat dalam sektor pembinaan dan sekuriti.
Kesukaran itu walaupun diisi dengan hobi terhadap muzik dan kegiatan sukan, gagal menghalang Floyd terjerumus dengan kancah jenayah.
Pada usia 23 tahun dalam tahun 1997, Floyd ditangkap melakukan kesalahan pertamanya, memiliki kurang 1 gram dadah terlarang kokain yang sebenarnya disimpan untuk orang lain. Untuk kesalahan itu, Floyd disabitkan kesalahan dengan hukuman 6 bulan penjara bermula 2 Ogos 1997.
Selepas dibebaskan, mungkin disebabkan kesempitan hidup Floyd mula terlibat dengan aktiviti mencuri. Dua kali dia ditangkap pada 25 September dan 9 Disember 1998, kedua-duanya membawa hukuman penjara 10 bulan dan 10 hari untuk kes kedua.
Keluar masuk penjara
Aktiviti jenayah Floyd selepas itu agak perlahan, sehinggalah pada tahun 2001 apabila Floyd dipenjarakan selama 15 hari, akibat tidak memberikan kerjasama terhadap arahan pihak polis.
Sehingga tahun 2005, Floyd kembali menghadapi masalah dengan dadah, ditangkap sebanyak empat kali akibat memiliki atau membawa dadah kokain. Hasil daripada kes-kes ini, dia keluar masuk penjara sebanyak empat kali meringkuk di dalam selama 30 bulan keseluruhannya.
Walaupun demikian, insiden jenayah yang disertai Floyd pada tahun 2007 merupakan jenayah paling keras yang pernah dilakukan olehnya.
Walau bagaimanapun, pengalaman menghadapi hukuman akibat jenayah inilah yang banyak mengubah sikap Floyd, mengembalikan dia ke jalan yang lurus.
Menyertai rompakan bersenjata
Pada 9 Ogos 2007, sebuah rumah yang di Houston diketuk pintunya oleh seorang lelaki beruniform yang mendakwa dia petugas agensi bekalan air.
Dua wanita di dalam rumah itu, Aracely Henriquez dan Angel Negrete membuka pintu tetapi mendapati lelaki yang ada di depan pintu rumah mereka bukanlah benar seperti yang didakwa.
'Petugas' itu kemudiannya berjaya menghalang pintu rumah itu daripada ditutup, seterusnya membolehkan sebuah kenderaan dengan lima orang penumpang lelaki berhenti di hadapan rumah tersebut, terus meluru masuk. Salah seorang daripadanya adalah George Floyd.
Floyd didakwa merempuh masuk, mengacukan pistol ke arah salah seorang wanita tersebut lalu mengarahkan mereka berdua duduk di ruang tamu. Bimbang bayi berusia 1 tahun anak kepada Negrete yang ada di situ diapa-apakan, kedua-duanya mengikut arahan perompak yang hadir.
Salah seorang wanita itu dihentak kepalanya dengan pistol, selepas cuba menjerit meminta tolong.
Kumpulan perompak itu cuba mendapatkan maklumat di mana dadah, wang dan barang kemas disimpan, namun diberitahu kedua-duanya tidak punya barangan berharga. Kecewa, Floyd didakwa merampas barangan kemas yang dipakai serta telefon milik kedua wanita tersebut lalu melarikan diri bersama kumpulannya.
Nasib baiklah nombor plat kenderaan yang dinaiki kumpulan perompak itu berjaya dicatat seorang jiran Henriquez dan Negrete yang ternampak kelibat mereka menyerbu masuk, memberikan petunjuk kepada pihak polis bagi mengesan kesemua suspek.
Siasatan yang dijalankan berjaya menemui kenderaan terbabit dan selepas berjaya diberhentikan, Floyd yang sedang memandu bersama rakannya Kornelius Barlow berjaya diberkas.
Kawad cam yang dilakukan mengesah Floyd merupakan individu yang pertama merempuh masuk lalu mengacukan senjata pada perut mangsa seterusnya terlibat menggeledah rumah mereka. Saiznya yang besar memudahkan identiti Floyd dikenalpasti.
Dipenjarakan dan kembali ke pangkal jalan
Dalam perbicaraan yang dijalankan serta bukti-bukti yang kukuh, George Floyd mengaku bersalah atas semua tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas dua orang wanita dan bayi yang terlibat dalam insiden tersebut.
Hasilnya - dia dijatuhi hukuman penjara 5 tahun bermula pada tahun 2009. Pada bulan Januari 2013, permohonan Floyd untuk mendapat kebenaran parol di terima dan George Floyd dibebaskan. Disinilah dia dikatakan berjaya memulakan hidup baru, selepas pengalaman penjara benar-benar mengubahnya.
Floyd kembali serius menyertai aktiviti gereja Resurrection Houston, di mana dia diberikan peluang untuk berkongsi pengalamannya kepada anak-anak muda di sana agar tidak mengulangi apa yang telah dia lakukan.
Digelarkan sebagai seorang 'Gangster Asal' atau 'Original Gangster', Floyd digelarkan OG oleh anak-anak muda berikutan statusnya yang keluar masuk penjara sebelum berubah, cuba memastikan tidak ada anak muda di kawasan kediamannya berhadapan perkara serupa.
Selain kerja aktivis, Floyd juga mula bekerja semula sebagai seorang pemandu trak dan juga pengawal kelab malam, membolehkan dia menyara diri dan keluarga.
Selepas wabak Covid-19 melanda, Floyd kembali bergelut dengan masalah kewangan akibat penutupan kelab tersebut menyebabkan dia hilang sumber pencarian.
Pada 25 Mei 2020,Floyd hadir ke kedai Cup Foods yang selalu dikunjunginya dan didakwa membayar barangan yang dibeli dengan not 20 dollar palsu. Juruwang kedai yang menjaga pembayaran memohon semula rokok yang dibeli kerana wang kertas yang diserahkan dipercayai tidak sah.
Floyd dikatakan melarikan diri selepas itu, terus masuk ke sebuah kenderaan tidak jauh dari kedai tersebut.
Oleh kerana peraturan mandatori mewajibkan mana-mana peniaga yang menerima atau mempercayai wang kertas yang mereka terima palsu perlu melaporkan kepada polis, juruwang itu segera menghubungi balai polis.
Tidak lama selepas itu, polis tiba dan kami pasti anda dah tahu apa yang berlaku selanjutnya.