Kita sering diberitahu bahawa semua informasi dan data berkaitan privasi kita, dimanfaatkan pihak penyelia platform media sosial dan internet bagi bermacam tujuan yang menguntungkan pihak mereka.

Google dan Facebook misalnya memfokuskan kepada tawaran pengiklanan yang dibuat khusus berdasarkan minat kita. Youtube atau TikTok menggunakan algoritma unik untuk memastikan kita terus kekal menonton dan Whatsapp sudah mula mengintip apa yang kita bualkan untuk membolehkan mereka tahu apa yang kita cari dalam realiti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi, semua itu masih merupakan bentuk manipulasi secara halus.

Adakah anda percaya bahawa sudah wujud satu platform media sosial baru ketika ini dinamakan NewNew, yang secara terang-terang mahu kita membenarkan kita dimanipulasi?

Apa itu NewNew?

newnew platform media sosial baru

Salah satu masalah utama yang sering dialami influencer atau individu berpengaruh dalam internet; adalah keperluan untuk mencipta kandungan baru setiap hari.

Desakan untuk terus mengekalkan kehadiran pengikut atau penonton yang saban hari menantikan perkongsian sebenarnya memberikan beban besar pada bahu individu seperti ini.

Tekanan untuk mendapatkan idea, mengolah idea itu menjadi sesuatu yang menarik serta proses menghasilkannya cukup memenatkan.

NewNew direka untuk membantu menyelesaikan masalah ini, di mana semua idea atau kandungan yang bakal dicipta - ditentukan oleh anda sebagai pengguna.

Sebagai contoh : anda gemar mengikuti kehidupan seorang 'selebriti internet' yang seringkali memuatkan video dengan kandungan menarik berkenaan dirinya.

Selama ini dia yang memikirkan apa perlu dipaparkan untuk tontonan anda. 

Bayangkan situasi di mana selebriti internet tersebut memberikan anda peluang untuk menentukan apa yang akan dia buat pada hari itu. Menarik?

Anda diberi kuasa untuk tentukan apa dia akan makan, minum, pakai, ke mana, buat apa dan sebagainya dengan kadar caj tertentu dikenakan ke atas anda.

Konsep sebegini pernah dipertontonkan dalam filem 'Gamer' lakonan Gerard Butler, yang memberikan peminat permainan video peluang untuk menentukan apa yang berlaku terhadap jalan cerita watak utama filem tersebut.

Siapa sangka sesuatu yang dulunya hanyalah karya fiksyen, kini semakin hampir dengan realiti kita.

'Pasaran saham manusia' pertama dunia

pengasas newnew

NewNew diasaskan seorang wanita bernama Courtne Smith dan seorang pereka pembangunan perisian bernama Filip Diarra.

Mereka berdua berharap konsep yang cuba diperkenalkan bakal membawa kepada apa yang mereka sendiri istilahkan sebagai 'pasaran manusia' di mana orang ramai berebut untuk menentukan hala tuju harian hidup seseorang.

Keuntungan yang bakal dijana hasil daripada penjualan token undian oleh pengikut-pengikut setia selebriti yang menyertainya, akan dibahagikan di antara syarikat dan selebriti yang menyertai komuniti ini.

Apa yang penting menurut mereka, apa saja situasi atau undian yang bakal dibuka, ditentukan sendiri oleh selebriti tanpa ada unsur paksaan.

Mahu jana pendapatan lebih? Banyakkan interaksi yang memerlukan undian pengikut yakni biar pengikut kawal lebih banyak keputusan anda.

Mahu pendapatan besar? Besarkan lingkup pengaruh dan capai jumlah undian lebih tinggi.

NewNew turut memperjelaskan bukan semua pilihan boleh dibuka untuk undian. Apa saja undian yang melibatkan perkara yang boleh menggugat kesejahteraan awam, bersifat lucah, bahaya atau berunsur jenayah tidak dibenarkan sama sekali.

Mahukah anda mengawal hidup orang lain?

adam sandler click kawal hidup orang

Walaupun jelas besar risiko yang cuba diketengahkan oleh aplikasi ini, pada pendapat penulis banyak juga perkara menarik boleh berlaku - apabila seseorang membenarkan hidupnya dikawal pihak ketiga.

Sekiranya dia sedang berdepan masalah cinta misalnya, pengikut boleh menentukan sama ada dia patut meneruskan hubungannya atau berpisah.

Satu contoh lain, seorang pemilik akaun boleh membiarkan pengguna internet menentukan kursus apa yang patut dia ambil di universiti - berdasarkan kepada kriteria yang telah pun diketahui ramai.

Ada bermacam lagi potensi untuk 'drama-drama' menarik muncul, namun disebalik semua prospek hiburan menarik- agak jelas sekiranya popular, aplikasi ini hanya akan membawa lebih banyak keburukan berbanding manfaatnya.

Sekiranya pilihan yang dibuka hanya diambil sebagai suka-suka di mana pengikut boleh menentukan sesuatu yang 'harmless' seperti makan apa, minum apa dan sebagainya - keputusan undian boleh dilihat juga sebagai sesuatu yang 'harmless.'

Tetapi apabila sesuatu aplikasi itu sudah diletakkan di internet dan dibuka aksesnya kepada orang ramai; kami yakin kita tak perlu menunggu lama untuk melihat kemudahan yang ada disalah guna ke arah keburukan walaupun pengendalinya menjanjikan platform yang selamat dan terjamin.

Adakah pengguna akan berpuas hati dengan tahap kawalan yang dibenarkan ke atas idola mereka?

Tidak adakah kemungkinan di masa akan datang, pengikut selebriti itu mahu lebih kawalan dari mereka ke atas selebriti yang sudah mereka laburkan ratusan ringgit?

Asasnya - adakah mengeluarkan sedikit wang milik anda untuk mengawal keputusan hidup orang lain menarik pada anda?

Persoalan lebih besar; sanggupkah anda menjaja hidup anda dan pilihan diri anda untuk kesenangan diri sendiri? 

Kami melihat seandainya aplikasi atau idea sebegini berkembang dan diterima baik, kita akan lebih kerap berdepan krisis moral dalam hidup.

Jika seseorang sudah melabur ratusan, ribuan ringgit untuk membiayai hidup mewah seorang selebriti internet - apa pula pulangannya pada pengundi?

Pasti akan ada yang akan mula mempersoalkannya jika aplikasi ini mula popular dan mula meminta imbuhan pelaburannya daripada selebriti yang diikutinya.

Rujukan

Alarm over growth of ‘human stock market’

For Creators, Everything Is for Sale




Hakcipta iluminasi.com (2017)