Sudah acapkali rusuhan sama ada dalam bentuk terkawal atau tidak terkawal terjadi di Amerika Syarikat, disebabkan oleh sentimen insiden kematian individu kulit hitam di tangan anggota polis.

Salah satu insiden terkenal, adalah insiden pembunuhan seorang lelaki bernama Oscar Grant di stesen keretapi Fruitvale, yang berlaku pada tahun 2009 yang akhirnya difilemkan memberikan pendedahan tentang kelemahan besar petugas polis di negara tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya - kenapa selepas banyak kematian, pendedahan, liputan dan perubahan cuba diperkenalkan, seakan tidak ada perubahan berjaya dilakukan?

Benarkah golongan kulit hitam jadi sasaran?

peserta tunjuk perasaan george floyd

Untuk terus menamakan kulit hitam sebagai sasaran utama anggota polis Amerika Syarikat, tidak menceritakan realiti sebenar kes-kes kematian disebabkan anggota polis.

Golongan kulit putih menjadi mangsa kekerasan polis paling ramai di negara tersebut, sejak 2013 hingga kini mencatatkan purata lebih 400 kes kematian etnik kulit putih setahun. Ini merupakan jumlah tertinggi berbanding kesemua etnik.

Individu kulit hitam menduduki tempat kedua dengan catatan kematian 291 pada tahun 2013, 315 pada tahun 2015, 258 bagi tahun 2018 dan 259 bagi tahun terakhir angka dicatatkan iaitu 2019.

Kumpulan etnik lain seperti Latin dan  etnik Asia juga menjadi mangsa kes-kes serupa. Latin kekal konsisten mencatatkan jumlah kes melebihi 180 orang sejak 2013 hinggalah 2019. Jumlah kes etnik Asia pula agak rendah, tidak pernah melebihi 30 kes dalam tempoh sama.

Secara statistiknya jelas kekejaman polis bukan hanya terhad kepada etnik minoriti kulit hitam semata-mata. 

Bagaimanapun hanya apabila perbandingan dilakukan dengan mengambil kira pecahan penduduk; barulah kita dapat memahami kenapa dipercayai etnik kulit hitam memang jadi sasaran utama anggota polis.

Polis bertindak mengikut warna kulit?

kematian george floyd 585

Apabila kita melakukan perbandingan menggunakan jumlah kes dibandingkan dengan purata 1 juta mengikut kategori etnik individu, gambaran sebenarnya lebih mudah untuk kita nampak.

Individu kulit hitam Amerika Syarikat mempunyai 3 kali peluang lebih tinggi untuk menjadi mangsa kekejaman polis berbanding etnik kulit putih, 2 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan etnik Latin.

8 bandar di Amerika Syarikat iaitu Reno, Oklahoma City, Santa Ana, Anaheim, St. Louis City, Scottsdale dan Hialeah pula menampakkan satu pola yang sangat membimbangkan; jumlah peratusan kematian individu kulit hitam yang terbunuh disebabkan oleh hasil tangan polis adalah lebih tinggi berbanding kadar jenayah domestik.

Sesuatu yang lebih membimbangkan; tidak berlakunya pola sekata antara kadar jenayah di Amerika Syarikat dengan kadar kematian individu kulit hitam di negara itu.

Ini menandakan sama ada berlaku atau tidak sesuatu jenayah; kemungkinan untuk individu kulit hitam mati dibunuh adalah lebih besar walaupun tiada jenayah benar-benar dilakukan.

Cara kawalan ke atas polis yang diperkenalkan

peranti kamera dipakai polis

Disebabkan kegagalan untuk mengawal tindak tanduk pasukan polis, sudah banyak kaedah dan cara cuba diperkenalkan bagi membendung masalah ini.

Pada 1 Mei 2015 kerajaan Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Barrack Obama, memperkenalkan penggunaan kamera badan yang perlu dipakai anggota polis semasa mereka menjalankan operasi.

Usaha itu yang dijalankan dengan suntikan dana sebanyak $20 juta, merangkumi aspek pembekalan, latihan dan pembangunan peranti tersebut.

Hasil kajian keberkesanan program itu mula dilaporkan pada tahun 2017 - menunjukkan kesan positif apabila didapati anggota polis yang menggunakan kamera mempunyai kecenderungan lebih rendah ntuk menggunakan kekerasan. 

Turut didapati kadar aduan melibatkan peserta berkamera lebih rendah berbanding anggota yang tidak menggunakannya.

Sesuatu yang lebih memberangsangkan - anggota polis yang memakai kamera didapati lebih efektif dalam memberkas penjenayah serta mengeluarkan saman, berbanding petugas yang tiada kamera.

Selain itu, penubuhan badan-badan NGO yang ditugaskan untuk memantau gerak kerja polis seperti Center for Policing Equity turut membangunkan sistem latihan polis berdasarkan kaedah data sains yang diharap bakal membantu membentuk tabiat baik dalam tindakan mereka.

Setiap negeri di Amerika Syarikat juga mempunyai agensi tempatan yang ditubuhkan khas untuk mengawal dan menyelia latihan serta gerakan operasi pihak polis.

Dikenali dengan istilah 'citizen review board', agensi ini bertanggungjawab untuk menyemak apa saja kes berkaitan salah laku pihak berkuasa semasa menjalankan operasi, mencadangkan langkah seterusnya dan solusi kepada masalah yang sedang atau diramal bakal melanda.

Kekangan utama penghalang penambahbaikan polis Amerika Syarikat

presiden fraternity order of police

Walaupun semakin banyak langkah yang diusahakan bagi membendung masalah keganasan dan kekejaman polis Amerika Syarikat, satu masalah yang dikatakan menjadi punca utama kepada semua insiden kematian adalah kewujudan kesatuan kerja anggota polis yang didakwa terlalu kuat pengaruhnya.

Kesepakatan sesama anggota polis di negara tersebut seringkali mewujudkan situasi kurang senang; apabila ramai anggota polis tidak malu untuk mempertahankan tindakan atau kesilapan yang telah dilakukan rakan sekerja mereka.

Mereka juga secara besar-besaran dan terbuka bersolidariti membantah sebarang bentuk hukuman yang dijatuhkan, walau setimpal mana hukumannya seandainya berlaku kes-kes tidak diingini.

Banyak pihak berpendapat selagi kesatuan ini yang dikenali sebagai nama Fraternal Order of Police (FOP) masih terus enggan mengendurkan pegangan mereka melindungi kesalahan yang dilakukan, masalah sama diramal akan berterusan.

Kami sudah melaporkan tentang kes pembunuhan seorang remaja berusia 16 tahun bernama Johnny Robinson; ditembak mati dari belakang oleh seorang petugas bernama Jack Parker - yang pada ketika itu merupakan ketua Fraternal Order of Police cawangan Birmingham.

Atas pengaruhnya, Parker tidak dikenakan sebarang hukuman atas tindakannya dan siasatan yang dijalankan dalam kes pembunuhan itu, hanya memadai untuk cukup syarat.

Dalam insiden terbaru melibatkan kematian George Floyd, Fraternal Order of Police tetap teguh dibelakang pegawai-pegawai yang telah menyebabkan kematian Floyd.

FOP dalam kenyataan mereka menyifatkan George Floyd adalah seorang penjenayah kejam dan pegawai yang bertugas, telahpun menjalankan amanah mereka dengan betul.

Kenyataan Presiden Police Officers Federation of Minneapolis pada 1 Jun 2020 menyifatkan semua pihak yang mempertahankan Floyd sebagai pengganas sebenar.

Beliau juga mengkritik pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat kerana gagal mengawal keadaan dengan baik sehingga mengakibatkan rusuhan besar-besaran berlaku.

Pendapat kesatuan polis itu seiring dengan pandangan Presiden Amerika Syarikat sendiri, Donald Trump yang menyebut bahawa siri-siri rusuhan yang berlaku sebenarnya didalangi oleh gerakan sulit antifa  yang didakwa sengaja mencetuskan huru-hara, demi kepentingan perjuangan mereka.

Rujukan

Mapping Violence




Hakcipta iluminasi.com (2017)