Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida akui kagum dengan ketabahan Ziana Zain dalam mengharungi krisis rumah tangga.

Apa yang lebih menarik perhatian Vida, 47, apabila penyanyi itu sanggup mengenepikan emosi demi melaksanakan komitmen sebagai seorang penghibur.

"Saya kagum dengan Ziana kerana ketika berdepan dengan ujian berat dia masih mampu meneruskan kerjaya.

"Dia tenang menghadapi dugaan dan pandai membezakan antara soal peribadi dan kerjaya. Ziana seorang wanita yang kuat dan tabah," katanya memetik laporan portal Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan di Malam Anugerah Mood Republik yang berlangsung di JW Marriot Hotel, baru-baru ini.

Majlis itu antara lain menyaksikan persembahan beremosi Ziana yang mengundang rasa kagum para penonton kerana penyanyi bersuara lantang itu masih gigih menjayakan persembahan ketika berdepan kemelut hidup.

ziana zain menangis vida tampil beri komen 2

Kredit foto: BH Online

Dalam pada itu, Vida berharap Ziana tidak terlalu melayan emosinya hingga ke tahap menggugat perasaan.

"Jangan layan perasaan itu sehingga memudaratkan diri. Sentiasa sayangi diri dan ingat anak-anak yang sedang membesar.

"Saya juga pernah melalui ujian rumah tangga, tapi saya cekalkan hati dan selalu ingatkan diri yang saya ada anak-anak dan pekerja yang masih memerlukan.

"Memang dugaan hidup ini menyakitkan tapi percayalah tuhan tak akan bagi ujian tanpa sebab dan akhirnya nanti ada hikmah terbaik," katanya.

Dalam masa sama, Vida meminta Ziana mengabaikan kecaman yang dilontarkan netizen di media sosial.

"Pedulikan komen-komen orang kerana mereka tak tahu apa yang berlaku dan hanya menulis di laman sosial seperti tahu semuanya.

"Saya yakin Ziana mampu menangani perkara ini dan abaikan sebarang komen negatif netizen. Anggap sahaja apa yang mereka cakap hanya 'hello dan bye-bye'," katanya.

Terdahulu, perkahwinan Ziana mendapat perhatian apabila suaminya, Armin 53, ditahan pada 2 Mac lalu susulan laporan polis dibuat Ziana pada 27 Februari atas tuduhan mencederakan anak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)