Kredit foto: Instagram Adam Corrie
Pelakon Adam Corrie Lee mendedahkan beliau akhirnya bakal bergelar bapa selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Kenyataan yang dikeluarkan di laman Instagram itu menggambarkan keterujaaan pelakon yang terkenal dengan watak antagonis ini dalam menanti kelahiran anak sulungnya.
Corrie memanjatkan kesyukuran, di samping menzahirkan ucapan penghargaan kepada netizen yang mendoakan kesejahteraan perkahwinannya.
"Alhamdulillah... syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan-MU. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kebahagian kami. Alhamdulillah," tulisnya.
Malah, pelakon aksi ini turut mengatakan bulan madu dengan isterinya pada masa mendatang akan dimeriahkan dengan penyertaan anak yang bakal dilahirkan itu.
"ALLAH dah bagi bulan madu 10 tahun, berdua. Insya-ALLAH kelak bertiga pula," katanya.
Pada masa sama, Corrie berdoa agar bayinya itu memperoleh kesempurnaan bagi membesar sebagai seorang muslim yang soleh.
“Ya ALLAH, semoga Engkau jadikan bayi ini sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerti dalam urusan agama.
"Ya ALLAH, semoga Engkau memberikan kepada bayi ini umur yang panjang, sihat jasmani dan rohani, bagus budi perangainya, fasih lisannya.
"Serta bagus suaranya untuk membaca dan Al-Quran dan tinggikanlah darjat. Dan luaskanlah rezeki. Dan jadikanlah bagi manusia yang selamat di dunia dan akhirat dan taat pada agama dan ALLAH," katanya.
Sementara itu, Corrie tidak lupa mendoakan pasangan suami isteri lain yang masih belum beroleh rezeki zuriat.
"Saya doakan juga mereka yang masih menanti rezeki zuriat semoga ALLAH berikan zuriat juga," katanya.
Kredit foto: Instagram Adam Corrie