Kredit foto: Instagram Adam Corrie

Aktor Adam Corrie menasihati kaum wanita supaya mengenakan tudung dengan menutup bahagian dada.

Kritikan yang dilayangkan di akaun Instagram peribadinya itu mempertikaikan fesyen terkini wanita bertudung yang sekadar melilitkan leher tanpa melindungi dada.

"Sekarang memang trend atau aliran pakai tudung balut tengkuk ya? Jangan lupa tutup dada sekali seperti pesanan 'hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada mereka'," katanya.

Melengkapkan tegurannya, pelakon yang sinonim dengan watak antagonis itu menyertakan surah al-Ahzaab ayat ke-59 yang berbunyi:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin : Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka.

"Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Menurut Adam, dia berharap nasihatnya itu diambil berat oleh para suami dan bapa.

Beliau menegaskan, dalam menuju ke jalan Allah, maruah haruslah dijaga bukan sahaja di kalangan kaum wanita malahan lelaki.

sekarang trend pakai tudung balut tengkuk ya jangan lupa tutup dada adam corrie 2

Kredit foto: Instagram Adam Corrie

"Jadi suami dan bapa bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak perempuan berpakaian mengikut syariat," katanya.

Demi menjaga aib, Adam berpesan agar para pengikut tidak meletakkan nama rakan atau keluarga mereka di ruangan komen entri berkenaan.

"Jangan tag dan sebut nama sesiapa dengan tujuan hendak buat orang lain terasa dan diaibkan... Itu bukan cara Rasulullah SAW berdakwah.

"Lelaki dan wanita kena saling membantu menjaga maruah diri dan keluarga. Tak perlu tag kawan-kawan kalau nak tegur mereka. Nak tegur kawan-kawan biarlah berhikmah, jaga air muka kawan-kawan kita.

"Kita tutup aurat sempurna bukan hak untuk mengaibkan kawan kita. Kita bukan nak mengumpat dan aibkan sesiapa. Doakan mereka itu lebih baik daripada mengaibkan mereka.

"Hidayah itu milik Allah. Senyum selalu dan selalu bersangka baik, InsyaAllah hati tenang," katanya.

Untuk rekod, Adam atau Adam Corrie Lee Abdullah, 49, mendirikan rumah tangga dengan wanita dari Teluk Wanjah, Kedah iaitu Fazima Fuad, 30, pada 21 November 2008, selepas memeluk Islam pada Julai 2007.




Hakcipta iluminasi.com (2017)