Kredit foto: Instagram Adam Corrie
Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi berkongsi luahan istimewa isterinya, Fazema Mohd Fuad.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Fazema yang menggelarkan dirinya sebagai Fazi bercakap tentang dugaan yang dilalui dalam menempuhi proses kehamilan.
"Ini bukanlah kali pertama saya hamil.
"Ini adalah kali keempat saya hamil. Saya dah ada tiga anak di syurga. Dan kehamilan saya kali ini adalah kembar, tetapi hampir usia kandungan dua bulan, dengan kuasa ALLAH, saya pendarahan.
"Salah satu anak kembar saya tak dapat diselamatkan. ALLAH ambil semula seorang anak kembar saya yang ALLAH pinjamkan seketika di dalam rahim saya. Saya alami pendarahan berbulan-bulan lamanya.
"Hinggalah bulan keempat, pendarahan baru berhenti. Ulang-alik jumpa doktor untuk pastikan kandungan saya yang satu ini selamat dan sihat. Jadi bukanlah tiga tapi empat anak saya di sana," katanya menerusi laman sosial Instagram.
Enggan berputus harap, doa Fazi hanyalah untuk melihat anak yang dikandungnya itu melalui proses kelahiran yang sihat dan selamat.
"Mudah-mudahan, kali ini ALLAH berikan saya peluang selamat melahirkan anak dan membesarkannya menjadi anak yang soleh atau solehah dan menjadi menyambung dakwah Rasulullah SAW, " pintanya.
Tidak menyalahkan takdir, Fazi meyakini hikmah yang terselindung di sebalik dugaan yang diberikan.
"Setiap ujian yang ALLAH berikan pasti ada hikmahnya. Saya ibu hamil yang berusia 40 tahun, tahun ini. Suami saya 50 tahun. Tahun ke-10 usia perkahwinan kami dan kandungan saya sekarang sudah lima bulan. Alhamdulillah
"Jadikan setiap ujian itu sebagai hadiah dan kasih sayang dari ALLAH kepada kita. Ujian yang diberikan untuk kita kumpul pahala.Yang penting suami isteri kena sentiasa berkasih sayang.
"Tiada zuriat bukan makna hidup itu kosong dan tiada erti. Jadikan rumah tangga jambatan kita ke syurga bersama. Kita baca sirah Nabi Zakaria. Insya-ALLAH, kita akan faham tentang apa itu rezeki, ujian dan kasih sayang dari ALLAH," katanya.
Dalam pada itu, Fazi akui dia tidak mempunyai kaedah tertentu untuk mendapatkan zuriat.
"Ramai PM (private message) Facebook dan DM (direct mesaage) IG saya tanya tips macam mana nak hamil. Tak ada tips pun.
"Tapi yang pasti. Kalau dari kesihatan, terus jumpa doktor pakar. Suami dan isteri kena pergi buat pemeriksaan. Ikut sahaja saranan doktor.
"Jangan lengah-lengah, supaya kita tahu apa masalah kesihatan yang kita lalui. Doa usaha dan tawakal. Insya-ALLAH," nasihatnya.
Di kesempatan sama, Fazi mendedahkan doa yang sering dipanjatkan mereka suami isteri seawal usia perkahwinan.
Ia disarankan oleh pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.
"Doa yang kami amalkan sejak awal perkahwinan dan Habib Ali Zaenal Abidin yang syorkan kami baca.
"Surah al-imran ayat 38: "Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan," kongsinya.
Kredit foto: Instagram Adam Corrie