Oleh pada 03 Jul 2019 kategori

Tamadun manusia bermula daripada turunnya Nabi Adam as. dan pasangannya ke bumi ini. Walaupun kisah manusia pertama dan bapa kita semua itu jelas diceritakan dalam pelbagai kepercayaan agama-agama besar manusia, masih banyak tanda tanya tentang susur galur manusia sejak dulu hingga sekarang.

Bermula daripada 2 orang, manusia beranak pinak sebelum tiba zaman Nabi Nuh as. di mana seluruh bumi ditenggelami banjir besar dan keturunan manusia sekali lagi melalui fasa permulaan baru. Apa yang diketahui, jarak Adam as. dengan zaman Nuh as. dianggarkan sekitar 1,000 tahun lamanya dan dalam tempoh tersebut, manusia sudah beranak pinak serta telah melalui beberapa generasi hasil kelahiran zuriat yang meneruskan kesinambungan hidup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengkaji salasilah manusia sudah pastilah akan membangkitkan perdebatan di antara teori serta penemuan sains, dengan apa yang diceritakan daripada segi agama. Untuk menolak terus salah satu, pada penulis merupakan satu tindakan yang tidak cermat jadi apa kata kita belajar secara ringkas bagaimana keturunan manusia berkembang - daripada perspektif sains dan agama.

Pendapat sains atau hujah agama?

teori evolusi

Kajian berkenaan salasilah manusia selama ini menunjukkan beberapa perbezaan ketara di antara pendapat penyelidik dengan apa yang diceritakan dalam kitab-kitab agama. Untuk itu, dalam tulisan kali ini kami minta pembaca supaya menerima informasi yang akan dikongsikan secara terbuka, kerana kami perlu mengambil maklumat-maklumat daripada sarjana sains barat, kepercayaan masyarakat Kristian dan Yahudi serta ajaran agama Islam.

Harus ditekankan, perbincangan ini akan meloncat-loncat di antara penyelidikan sarjana barat serta pandangan dan ilmu agama yang ada, jadi pastilah akan wujud percanggahan dalam penilaian fakta dan bukti. Di sini kami sekali lagi memohon agar anda membaca dengan minda terbuka.

Seperti yang kita semua tahu, kajian sains banyak bergantung dengan teori evolusi yang membawa banyak percanggahan dengan kepercayaan agama-agama besar dunia. Kajian yang dijalankan menyebut manusia moden atau apa yang digelarkan sebagai 'homo sapiens' dipercayai bermula sekitar 200,000 atau 300,000 tahun dahulu, mempunyai akal pemikiran yang bijak serta mampu berfikir.

tengkorak manusia pelik

tengkorak manusia zaman dulu

Kajian yang dijalankan juga telah menemui kategori-kategori manusia lebih awal yang dikelaskan dalam kategori kumpulan 'homo genus' iaitu homo rudolfensis, homo habilis, homo erectus, homo heidelbergensis, homo floresiensis dan homo neandethalensis (mengikut turutan kemunculan), sebelum tibanya kelompok manusia yang dipercayai sama seperti kita - iaitu homo sapiens atau manusia moden.

Baik, buka minda kita sikit sekarang ya! Dalam kajian melibatkan keturunan dan genetik manusia, wujud dua kajian paling penting yang dijalankan pada tahun 1987 dan 2013. Kajian berdasarkan kepada susur galur perubahan DNA manusia mendapati satu ketika dulu sekitar 200,000 ke 300,000 tahun lampau, ada kemungkinan seorang lelaki dan seorang perempuan tinggal bersama di kawasan sekitar Afrika sekarang yang menjadi permulaan kepada ciri-ciri serta sifat DNA yang kita ada sekarang.

Dua kajian ini seiring dengan garis masa kemunculan manusia kategori homo sapiens, namun harus diingatkan tidak ada bukti yang berjaya menunjukkan kedua-duanya adalah Nabi Adam as. serta pasangannya, kerana semuanya masih lagi satu andaian. Penyelidikan itu juga tidak menemui bukti jelas bagaimana manusia kategori 'homo neanderthal'; dipercayai kategori manusia/makhluk sebelum kita, digantikan dengan kita sekarang.

Dua andaian yang cuba menjelaskan asal-usul kita

perbandingan bentuk dan saiz tengkorak

Dalam membincangkan asal-usul manusia moden, ada dua pendapat yang akan kerap kali dibangkitkan iaitu teori model 'pelbagai benua' (multiregional) yang menyebutkan bahawa semua manusia yang ada sekarang ini, telah pun melalui evolusi selama lebih 700,000 tahun di semua benua bumi ini sehingga menjadi apa yang kita boleh nampak sekarang.

Pendapat ini menyebut keturunan manusia tidak pernah terputus malahan bersambung melalui peranakan di antara kumpulan homo erectus sehinggalah tiba zaman homo sapiens, iaitu manusia moden. Wujud banyak bukti penemuan fosil manusia homo erectus seperti Sangiran 17 yang ditemui di Jawa, Indonesia dan Olduvai Hominid 9, kedua-duanya dipercayai berusia lebih 1 juta tahun lamanya menyokong teori ini.

Bagi mereka yang berpegang kepada teori ini, mereka berpendapat keturunan manusia beranak-pinak tanpa pernah mengalami penggantian serta sentiasa mengalami perubahan akibat penyesuaian diri dengan alam sekitar, membolehkan kerangka manusia mengalami perubahan setiap generasi ke generasi seterusnya.

Teori yang kedua pula lebih dekat dengan apa yang disebutkan dalam kitab-kitab agama besar dunia, termasuklah agama Islam sendiri. Teori yang dinamakan sebagai 'teori penggantian manusia' ini menyebut bahawa manusia yang ada sekarang ini sebenarnya datang daripada satu tempat sahaja, diramalkan sebagai Afrika sebelum beranak pinak dan berkembang ke seluruh pelusuk bumi.

orang afrika manusia terawal

Model ini membincangkan bahawa kumpulan manusia homo erectus adalah nenek moyang manusia yang ada ketika ini, sebelum 'berevolusi' menjadi kumpulan homo sapiens dalam proses yang mengambil masa di antara 100,000 ke 150,000 tahun lamanya.

Teori ini berpendapat bahawa manusia moden (homo sapiens) mula melakukan proses migrasi keluar daripada Afrika sekitar 40,000 ke 60,000 tahun dahulu, berkembang ke seluruh dunia menggantikan kelompok manusia neanderthal yang wujud ketika itu - sehinggakan semua keturunan manusia primitif yang berasal daripada homo erectus pupus.

Kenapa kami katakan pendapat ini selari dengan apa yang diceritakan di dalam al-Quran? Ini kerana umat Islam mempercayai bahawa keturunan manusia ketika ini dimulakan kembali oleh anak-anak Nabi Nuh as. yang terselamat, selepas keseluruhan bumi ditimpa banjir besar mengorbankan semua penduduk bumi ketika itu.

Siapa sebenarnya manusia?

orang neanderthal

Terlalu banyak persoalan sebenarnya yang sangat sukar dijawab, apabila kita berbicara tentang teori-teori keturunan genetik manusia. Apa yang kita tahu, penemuan fosil-fosil manusia yang berbeza bentuknya dengan kita menunjukkan satu masa dulu manusia mempunyai tubuh yang lebih primitif, berbanding kita.

Satu persoalan yang belum dijawab oleh kajian sains dan sangat berkait dengan agama-agama dunia, adalah dikategori mana Adam as. muncul? Adakah dia homo sapiens pertama, orang pertama di bumi yang layak dikatakan manusia moden mempunyai kecerdasan fikiran yang mampan? Ataupun Adam as. adalah manusia yang pertama di antara semua jenis manusia primitif?

Apa yang kita tahu menurut ajaran Islam, Nabi Adam as. dibekalkan pengetahuan tentang nama semua benda dan unsur yang wujud di muka bumi ini, serta diletakkan ke bumi sebagai Khalifah. Jadi sangat mustahil untuk dia hidup dalam keadaan primitif seperti manusia zaman batu yang mempunyai saiz otak yang jauh lebih kecil, menandakan tahap kecerdasan mereka yang terbatas.

Adakah istilah 'manusia' yang kita guna bagi menggelarkan kategori-kategori makhluk terawal sebelum tibanya kumpulan homo sapiens tepat? Adakah mereka manusia atau sebenarnya makhluk lain yang tidak sama seperti manusia? Inilah persoalan yang sehingga ke hari ini tidak diketahui jawapannya.

teori evolusi manusia dulu hingga sekarang

Pandangan agama Islam sendiri menyebut bahawa Nabi Adam as. adalah ciptaan Allah swt. yang sempurna serta tidak ada cacat celanya. Nabi Adam as. juga dibekalkan dengan kemampuan fizikal serta mental yang cukup untuk dia melaksanakan tanggungjawabnya di muka bumi.

Ini sedikit sebanyak menjelaskan bahawa makhluk-makhluk primitif yang didapati telah wujud lebih awal, besar kemungkinan tidak menepati konsep manusia yang sangat berpandukan kepada apa yang difahami umat Islam berkenaan Nabi Adam as.

Adakah mereka manusia atau makhluk lain bukan manusia sempurna?

Teori sains perlu seiring dengan kisah dalam al-Quran

tengkorak orang homo sapiens

Penulis tidak menolak sepenuhnya teori evolusi kerana kajian itu mempunyai banyak perkongsian maklumat yang sedikit sebanyak membantu kita memahami dengan lebih jelas salasilah keturunan manusia. Untuk menolaknya secara membabi buta, merupakan satu perbuatan yang sangat dangkal, apatah lagi jika kita menolaknya hanya kerana alasan agama tanpa cuba memahami hubungkait kedua-duanya.

Perbincangan berkenaan hidupan sebelum Adam as. sebenarnya sudah banyak dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu. Apa yang sahih dan pasti menurut al-Quran adalah kewujudan makhluk Jin yang mendiami bumi sebelum manusia. Selain itu, sains memberikan kita bukti-bukti penemuan fosil-fosil makhluk mirip manusia serta dinosaur bersaiz gergeasi yang pernah mendiami bumi satu masa dulu.

Sekiranya diteliti daripada perspektif agama Islam, ada banyak pendapat tidak sahih yang dilihat agak selari dengan penemuan-penemuan fosil manusia primitif dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini. Ada pendapat yang menyebut sebelum kaum Jin tinggal di bumi, sudah wujud makhluk lain menyerupai manusia serta hidupan lain sebanyak 28 jenis kesemuanya, yang berkembang selama 120 generasi.

adakah adam homo sapiens pertama

Di dalam al-Quran sendiri ada mengatakan sebelum turunnya Nabi Adam as., wujud kelompok makhluk yang melakukan kerosakan dan kemusnahan di muka bumi - jadi sudah pastilah ada makhluk lain sebelum Adam. Beberapa orang ulama' terdahulu percaya penghuni awal bumi datang daripada tiga jenis kelompok, dua daripadanya datang daripada kaum jin. Satu lagi berbeza sifatnya; mempunyai darah dan daging serta menghuni bumi sambil hidup penuh angkara melakukan kerosakan dan kemusnahan.

Walau apa pun pandangan anda, janganlah kita takut untuk bertanya serta banyak membaca kerana hanya dengan bertanya serta belajar, barulah minda kita mendapat lebih banyak pencerahan tentang proses keturunan manusia daripada segi sains dan juga agama. Besar kemungkinan kita tidak akan tahu kebenarannya; tetapi belajar tentang keturunan serta salasilah manusia ini sebenarnya sesuatu yang sangat mendekatkan kita dengan Pencipta kita.

Kami tinggalkan anda dengan satu soalan; bukti-bukti arkeologi telah menunjukkan wujud kumpulan manusia primitif atau purba yang mencapai usia jutaan tahun lamanya.

Jika mereka nenek moyang kita, mengapakah mereka sangat jauh berbeza? Sekiranya mereka bukan, adakah mereka juga dianggap manusia?

Rujukan

  1. Google Books
  2. Genetics and Genealogy
  3. Early Modern Homo sapiens



Hakcipta iluminasi.com (2017)