Kredit foto: Instagram Neelofa
Aktres Neelofa berkata dia tidak mungkin membuka hijab meskipun bergelar duta jenama bertaraf antarabangsa.
Malah kecaman netizen juga tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus mengenakan tudung.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor beranggapan kejayaan yang diraihnya pada hari ini adalah bermula daripada hari pertama dia berniat untuk berhijab iaitu pada tiga tahun lalu.
"Saya tidak terfikir dan tidak akan sesekali membuka tudung walau sesaat. Hijab ini membawa siapa saya sekarang.
"Ketika di New York untuk MiSK-UNPD Youth Forum baru-baru ini, saya menjadi salah seorang speaker wanita muda bertudung dari negara yang asing bagi mereka dan alhamdulillah imej ini yang membuka mata mereka.
"Saya juga pernah bertanya kenapa Swarovski mahukan saya, jawab mereka saya mewakili wanita muslim dalam usaha meluaskan promosi mereka kepada individu berbeza-beza.
"Kemudian, di Boston pula nanti saya diminta menjadi speaker untuk bercakap mengenai jenama tudung saya. Jadi, ini bukti betapa besarnya kuasa sehelai hijab," katanya yang dipetik daripada portal Astro Gempak.
Neelofa membuat kenyataan tersebut di majlis perlantikannya sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor semalam.
Sebelum ini, aktres berusia 28 tahun itu menjadi mangsa kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan imej seluar jeans koyak yang dikenakannya sewaktu bercuti di luar negara bersama keluarga.
Tidak ketinggalan gaya tudungnya ketika berkunjung di Milan, Itali juga menjadi pertikaian kerana menampakkan sedikit anak rambut.
Menjawab isu tersebut, Neelofa hanya mampu memohon agar para peminat di luar sana lebih berfikiran terbuka terhadap fesyen.
"Ini bukan pertama kali saya memakai seluar jeans koyak dan menyarung inner nude di dalam. Ketika mengacarakan Meletop pun saya pernah beberapa kali mengenakan gaya sama.
"Kemudian, ketika saya di Milan untuk Milan Fashion Week pun, tiada seseiapa yang stereotaip terhadap penampilan saya.
"Orang mungkin tak pernah melihat fesyen terkini dan saya memberi mereka peluang. Satu hari nanti mereka akan tahu," katanya.
Sumber berita: Astro Gempak