Setiap orang pasti pernah dalam seumur hidup mereka terlepas makanan yang dipegang sebelum ianya jatuh ke lantai. Sama ada makanan tersebut adalah roti, burger, donut mahupun nasi goreng, pasti anda sayang untuk membuangnya.
Maka dengan pantas andapun mengambil semula makanan yang terjatuh itu, dan menggosok bahagian yang bersentuhan dengan permukaan lantai dengan hasrat untuk membuang kotoran atau bakteria yang terkena pada makanan anda. Inilah yang dimaksudkan dengan 5 second rule, atau dalam bahasa Malaysia kita, peraturan 5 saat.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi, persoalannya, adakah selamat untuk memakan semula makanan yang dikutip dari lantai walaupun hanya bersentuhan selama beberapa saat sahaja? Berbaloikah tindakan ini? Namun, sebelum persoalan ini dijawab, berikut adalah antara perkara-perkara yang anda perlu tahu tentang 5-second rule.
Permukaan Lantai Yang Kelihatan Bersih Belum Tentu Bersih
Lantai yang kelihatan kotor sudah pasti kotor, namun lantai yang kelihatan bersih sudah tentukah ianya bersih? Tidak! Lantai yang kering berkilat juga boleh mempunyai kuman. Mengapa? Kuman terdiri daripada 4 jenis yang utama, iaitu bakteria, virus, fungi dan protozoa.
Sesetengah kuman seperti bakteria boleh hidup di atas permukaan lantai untuk suatu tempoh yang lama. Dan kuman ini sudah tentu tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Kebarangkalian bahawa pelbagai jenis bakteria masih hidup di permukaan lantai sama ada di rumah, sekolah mahupun di mana-mana sahaja adalah sangat tinggi. Sekiranya nasib anda tidak baik, anda mungkin dijangkiti bakteria yang berbahaya.
Lagi Cepat Angkat Lagi Bagus
Sekiranya anda sayang untuk membuang donut anda yang terjatuh, pastikan anda mengangkat donut tersebut secepat mungkin. Makanan yang bersentuhan lama dengan lantai sudah pasti akan memungut lebih banyak bakteria berbanding makanan yang hanya beberapa saat bersentuhan dengan permukaan tersebut.
Namun begitu, bakteria tetap boleh melekat pada makanan anda sejurus ianya bersentuhan dengan lantai. Bagi permukaan kering, mungkin lebih sukar untuk bakteria melekat. Namun sekiranya salah satu permukaan sama ada makanan ataupun lantai itu sendiri lembap atau basah, maka bakteria lebih mudah melekat.
Sesetengah Bakteria Tidak Merbahaya
Sesetengah bakteria tidaklah merbahaya buat kesihatan manusia, namun sesetengah yang lain boleh menyebabkan anda dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit. Adakah anda sanggup mengambil risiko ini? Tindakan yang paling selamat adalah membuang makanan tersebut, atau berikan sahaja kepada adik anda. Gurau je!
Kajian Tentang 5-Second Rule
Ya, memang terdapat kajian yang dijalankan tentang 5 second rule ini. Kajian tersebut telah dilakukan oleh seorang pelajar senior sekolah menengah yang menjalani latihan industri selama 6 minggu di Jabatan Sains dan Nutrisi Makanan di University of Illinois di Amerika Syarikat. Meredith Agle, seorang pelajar PhD pada waktu itu menyelia kajian tersebut.
Jillian telah mengambil sampel daripada beberapa permukaan lantai di sekitar kawasan universiti termasuklah di makmal, dewan, asrama dan kafetaria bagi melihat berapa banyak organisme yang diasingkan. Mereka mengkaji setiap sampel berkenaan, namun terkejut apabila mengetahui hanya sedikit sahaja mikroorganisme yang melekat.
Agle mengarahkan Jillian untuk mengambil semula sampel tersebut. Keputusannya tetap sama. Agle membuat kesimpulan bahawa mungkin lantai-lantai di kawasan universiti sangat bersih. Namun menurut beliau lagi, melihat daripada perspektif mikrobiologikal, disebabkan lantai tersebut kering, kebanyakan pathogen seperti salmonella, listeria dan E. coli tidak hidup.
Biskut dan gummy bears digunakan sebagai medium untuk kajian 5 second rule ini. Menurut beliau, mereka merumuskan bahawa kuman-kuman tetap berpindah permukaan dalam tempoh beberapa saat ianya bersentuhan.
Kesimpulan
Berdasarkan kajian yang dijalankan, sama ada selamat atau tidak untuk memakan makanan yang terjatuh bergantung kepada lokasi ianya terjadi. Memandangkan kita tidak tahu tahap kebersihan sesuatu permukaan itu, adalah lebih baik untuk mengelak mengambil semula makanan yang sudah terjatuh. Sekiranya anda sanggup mengambil risiko, maka tiada masalah. Apapun, semuanya ada keputusan masing-masing.
Sumber & Bacaan Tambahan: