Dalam pembangunan senjata, salah satu cabang yang pernah dan mungkin masih dibangunkan untuk dijadikan senjata adalah ejen-ejen biologi.
Selepas termeterai perjanjian Warsaw yang sekaligus mengharamkan penggunaan senjata biologi pada tahun 1969, larangan penyelidikan terhadap senjata biologi untuk serangan diperkenalkan. Walaupun 182 anggota PBB bersetuju untuk menghormati perjanjian tersebut sehingga kini, beberapa negara dikhuatiri terus menjalankan kajian bagi mempersenjatakan kuman yang ada.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima kuman dikategorikan dalam kategori A sebagai sangat berbahaya - seandainya dijadikan senjata oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
1. Toksin botulinum
Beberapa negara seperti Kesatuan Soviet (dahulu) serta Iraq didakwa pernah membangun dan menyimpan senjata berasaskan kepada toksin botulinum. Selain itu kumpulan kultus Aum Shirinkyo yang pernah menggemparkan dunia dengan serangan gas sarin di Jepun pada tahun 1995, juga dilaporkan cuba menyerang orang ramai dengan toksin serupa tetapi gagal mengenai sasaran.
Racun yang digelarkan sebagai toksin botulinum merupakan bahan semulajadi yang terhasil akibat daripada tindak balas bakteria dalam tanah. Dalam dos yang kecil sekiranya kita termakannya tidak akan menyebabkan masalah kepada manusia, tetapi apabila dikumpulkan - hanya 1 gram sahaja diperlukan untuk menyebabkan penyakit pada 1 juta manusia.
Tidak berbau dan berwarna, serangan toksin botulinum sehingga kini masih diawasi pihak berkuasa seluruh dunia kerana dalam bentuk paling tulen, racun botulinum merupakan bahan paling bertoksik yang kita ketahui setakat ini. Penghasilannya yang dikatakan tidak memerlukan kos yang tinggi mampu membolehkan kumpulan pengganas menghasilkannya sendiri - asalkan mereka mempunyai kepakaran tertentu.
Seandainya serangan ini benar-benar berlaku, penghidap akan mengalami jangkitan mirip influenza yang kritikal.
2. Bakteria fransiscella tularensis
Sejenis bakteria yang berjangkit melalui pemindahan haiwan ke haiwan, hanya 10 mg diperlukan untuk memulakan penyebaran wabak di kalangan orang ramai. Fransiscella tularensis atau f.tularsensis merupakan sejenis bakteria yang mampu hidup dalam tempoh yang lama dengan keadaan iklim bersuhu rendah, di dalam air, tanah lembap dan juga bangkai haiwan yang sedang reput.
Jangkitannya akan memulakan penyakit yang dinamakan sebagai 'tularemia' yang kerap kali menjangkiti haiwan seperti tikus dan arnab, tetapi mampu juga menjangkiti manusia. Seseorang yang dijangkiti tularemia akan mengalami masalah ulser pada permukaan kulit di bahagian yang dijangkiti sebelum bakteria mula menyerang paru-paru dan sistem pernafasan, menyebabkan pneumonia terjadi.
Sekiranya disebar dalam bentuk senjata, wabak tularemia boleh melanda 3 ke 5 hari selepas serangan dilakukan mengakibatkan keadaan individu yang dijangkiti mampu berada pada tahap kritikal. Beberapa negara di dunia pernah mengkaji penggunaan bakteria ini dalam pembangunan senjata bio mereka, dengan cara serangan berbentuk aerosol kerap diuji dalam makmal.
3. Virus variola major
Penyakit cacar merupakan musuh utama tamadun manusia, selepas manusia pernah beberapa kali perlu mengharungi serangan wabak cacar di seluruh dunia. Dikenali dengan nama 'smallpox', cacar digeruni kerana 'ketangkasannya' merebak serta jumlah mangsa yang telah menjadi korban penyebarannya.
Oleh sebab itu, tidak dapat kita nafikan virus variola yang menjadi punca utama serangan cacar menjadi salah satu resipi utama dalam penyelidikan senjata bio satu masa dahulu. Selepas perjanjian menghentikan sebarang bentuk pembangunan senjata bio berjaya, kini hanya ada dua lokasi sahaja yang kita ketahui menyimpan sampel virus ini, satu di Atlanta dan satu lagi di Moscow.
Walau bagaimanapun, selepas pengakuan seorang penyelidik Soviet pada tahun 1998 bernama Kanatjan Alibekov membenarkan dakwaan bahawa dia adalah seorang yang terlibat dengan pembangunan senjata bio berasaskan virus cacar - mengakibatkan ancaman penggunaan virus cacar sebagai satu bentuk senjata, kembali hangat diperkatakan sehingga kini.
4. Virus jangkitan demam berdarah
Berikutan banyaknya virus penyebab demam berdarah yang mampu mendatangkan maut, sejak awal lagi banyak pihak memberikan keutamaan dalam melindungi orang ramai daripada serangan sedemikian rupa. Antara jangkitan penyakit yang mampu berlaku adalah seperti serangan Ebola, Marburg, Lassa dan beberapa lagi jangkitan demam yang membawa maut.
Dikenali sebagai 'viral hemorraghic fever' atau VHF, ada beberapa jenis virus penyebab jangkitan dengan empat jenis utama dikategorikan - arenavirus, filovirus, bunyavirus dan flavivirus. Di antara kesemua virus yang ada, flovirus yang menyebabkan jangkitan demam Ebola dan Marburg merupakan virus yang berkemungkinan besar boleh dijadikan senjata - kerana usaha melakukannya pernah dijalankan.
Filovirus mampu merebak dalam bentuk aerosol melalui udara serta sangat mudah berpindah daripada pesakit kepada individu sihat. Oleh itu sebarang bentuk serangan pengganas yang menggunakan filovirus sangat sukar dikesan. Bagaimanapun, berbeza dengan virus atau bakteria lain dalam senarai ini - dos yang besar diperlukan untuk melakukan serangan dalam skala yang lebih luas.
5. Bacillus Anthracis 'Anthrax'
Anthrax merupakan singkatan popular kepada nama bakteria Bacillus Anthracis, sejenis bakteria yang kerap digunakan sebagai senjata biologi. Ancamannnya sangat ditakuti kerana anthrax apabila berjaya dikeringkan, mampu dihantar dalam bentuk serbuk yang kebiasaannya dihantar melalui sampul surat.
Atas sebab itulah modus operandi sama berlaku pada tahun 2001 selepas insiden 11 September, apabila surat berisi serbuk anthrax mula diedarkan dalam tempoh tertentu - mengakibatkan kematian kepada 5 orang termasuklah dua individu berpangkat Senator di Amerika Syarikat.
Penggunaan anthrax sebagai senjata sudah bermula ketika perang dunia pertama tetapi hanya mula digunakan besar-besar,an semasa Jepun menduduki China sekitar tahun 1932 hingga 1945. Lebih 10,000 orang China dikatakan mati disebabkan tubuh mereka dijadikan bahan eksperimen oleh pasukan penyelidik Jepun - dalam menguji keberkesanan senjata biologi mereka.
Rujukan