Dalam salah satu artikel kami memperjelaskan tentang lima fasa perubahan yang terjadi kepada kuman seperti virus dan bakteria, faktor campur tangan manusia diletak sebagai sebab utama wabak semakin kerap melanda serta mengalami perubahan.

Rekod-rekod terawal wabak didapati seiring dengan pembangunan kawasan-kawasan pertanian dan perladangan serta keperluan masyarakat setempat untuk menyediakan bekalan makanan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Trend ini mustahil untuk dihentikan kerana manusia memang memerlukan makanan dan tempat tinggal.

Bagaimanapun, selepas bermulanya abad ke 21 - dunia telah menyaksikan berlakunya lima wabak besar berbeza dalam tempoh 20 tahun sahaja. Adakah ini menandakan kadar kekerapan berlakunya wabak semakin meningkat? Persoalannya, kenapa ini berlaku?

Bulan Jun tahun 2018 mencatat sejarah yang tidak dihebohkan

bumi makin sakit tenat

Tidak ramai menyedari pada bulan Jun 2018, satu sejarah baru telah tercipta.

Untuk kali pertama, 6 daripada 8 jenis wabak yang diklasifikasikan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 'jangkitan wabak kritikal' berlaku serentak dalam satu masa.

Pada bulan tersebut jangkitan ebola di Congo, MERS di Arab Saudi, zika di Brazil, jangkitan Nipah di India, demam lassa di Nigeria dan demam Riff Valley di Kenya direkodkan - satu situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini melibatkan 6 wabak epidemik utama di 6 buah negara berbeza.

'Walaupun' hanya menyebabkan kematian 190 nyawa keseluruhannya pada bulan itu, ancaman jangkitan yang bersifat epidemik tetap wujud dan bila-bila masa boleh bertukar menjadi pandemik - sekiranya sudah ditakdirkan terjadi.

Belum diambil kira kerugian yang perlu ditanggung, dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi membendung penularan wabak.

Bulan Jun 2018 mencatat sejarah unik kerana situasi seperti itu tidak pernah berlaku . Kebiasaannya, dunia akan menyaksikan penyebaran 4 ke 5 wabak berbeza yang mampu mengakibatkan kematian dalam durasi setahun.

Adakah itu satu amaran kepada kita yang tidak kita endahkan?

Kadar populasi bumi yang semakin tinggi

kawasan populasi padat

Satu perkara yang tidak dapat kita nafikan - wujudnya hubungan di antara tahap populasi sesuatu tempat yang berkadar dengan jumlah jangkitan yang akan berlaku.

Satu kajian yang dijalankan sejak tahun 1980 sehingga tahun 2013 (durasi 33 tahun) merangkumi 44 juta kes jangkitan wabak cuba memperjelaskan hubungan populasi dengan kadar jangkitan secara statistik.

Dalam tempoh 33 tahun kajian dijalankan, didapati berlaku pertambahan konsisten di antara jumlah populasi manusia dengan tahap jangkitan sama ada melalui virus atau bakteria.

Apa yang membimbangkan - wujud juga kadar konsisten penemuan jangkitan-jangkitan baru yang pertama kali ditemui, seiring dengan pertambahan populasi.

Jenis jangkitan yang berlaku telah bertambah sebanyak 215% dan jumlah jangkitan meningkat sebanyak 12, 102% dalam tempoh 33 tahun.

Kadar jangkitan bersifat zoonotik (berpunca daripada haiwan) didapati meningkat lebih cepat berbanding jangkitan yang berlaku di kalangan individu ke individu, menandakan kemunculan jangkitan-jangkitan bersifat novel (baru) daripada haiwan akan lebih kerap melanda manusia - seandainya perkiraan penyelidik dalam kajian itu digunakan sebagai peramal masa depan.

Walaupun hasil kajian mereka membawa khabar buruk, kajian itu juga menyebut bahawa kadar jangkitan wabak diramal akan terus konsisten dengan pertambahan populasi manusia - usaha pencegahan dalam peringkat global dianggarkan mampu mengawal jangkitan daripada meragut lebih banyak nyawa.

Kejayaan globalisasi sebagai punca mudahnya jangkitan

teknologi everyone can fly air asia

Selain faktor populasi, faktor perkembangan pesat teknologi memudahkan kita bergerak ke sana ke sini turut sama menjadi punca kenapa diramalkan penyebaran wabak akan semakin meningkat tahun demi tahun.

Dalam laporan World Economic Forum, dianggarkan tahap mobiliti dunia ketika ini telah pun meningkat berkali-kali ganda berbanding 30 ke 40 tahun lalu. Jumlah pengguna perkhidmatan udara telah naik daripada 310 juta orang bagi tahun 1970 kepada 4.2 billion orang pada tahun 2018.

Berikutan kewujudan kemudahan ini terbuka untuk kegunaan orang ramai, tidak menghairankan pada zaman sekarang sesuatu jangkitan penyakit seperti Covid-19 mampu tersebar ke beberapa puluh negara lain hanya dalam tempoh masa 2 bulan.

Semua orang dari segenap lapisan masyarakat mampu terbang, membawa bersama wabak yang sepatutnya terhad penyebarannya di kawasan asalnya - keluar ke negara-negara berbeza.

Jarak antara manusia akan semakin rapat

warga india beratur

Dalam menghadapi wabak, kita digalakkan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter berbanding individu lain.

Namun bagi golongan penduduk yang tinggal di kawasan sempit misalnya, mereka tidak punya ruang yang cukup untuk berbuat demikian dengan sempurna.

Penduduk di kawasan berpendapatan rendah yang sempit seperti di India dan benua Afrika terpaksa berhadapan ancaman wabak tanpa mempunyai ruang untuk menjarakkan diri dengan sempurna. Jika anda rasa situasi mereka ketika ini sudah menakutkan - ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bakal menggerunkan anda.

Pada ketika ini, hanya 55% populasi dunia duduk di kawasan bandar namun angka itu dijangkakan meningkat kepada 68% pada tahun 2050, dengan pertambahan 2.5 billion penduduk bandar berstatus baru.

90% daripada pertambahan ini diramal berlaku di Asia dan Afrika - dengan negara India, China dan Nigeria bakal mengalami pertambahan paling ketara.

Disebabkan oleh faktor harga hartanah yang sudah pastilah akan semakin meninggi didokong kepadatan penduduk, kawasan kediaman juga diramal akan menjadi semakin kecil bagi membolehkan kapasiti penduduk bandar dipenuhi.

Ini akan menyebabkan jarak kerenggangan antara individu dengan individu lain berkurangan, disebabkan saiz milikan mereka yang terhad serta ruangan komuniti yang dikongsi bersama juga akan mula dipadatkan keluasannya - bagi membolehkan lebih banyak kediaman dibina.

Faktor ini juga diramal bakal menjadi penyumbang utama penularan wabak lebih berleluasa di masa akan datang.

Nyamuk akan menjadi vektor utama

senarai penyakit bawaan nyamuk

Akibat daripada aktiviti manusia yang memerlukan tanah untuk dijadikan kawasan kediaman, kawasan pertanian dan perladangan didorong oleh jumlah populasi yang meningkat - diramalkan peningkatan suhu bumi yang ketara akan berlaku di kawasan-kawasan bersuhu rendah dan sederhana.

Kawasan-kawasan di dunia yang dikatakan kurang sesuai ketika ini sebagai habitat nyamuk akan mengalami peningkatan suhu, mencapai suhu yang sesuai untuk nyamuk membiak. Antara lokasi yang diramalkan terjejas adalah benua Eropah dan bahagian timur Afrika.

Dengan peningkatan jumlah habitat nyamuk di seluruh dunia, dianggarkan seramai 1 billion orang yang sebelum ini terlindung daripada jangkitan bawaan nyamuk, bakal berdepan risiko dijangkiti wabak seperti malaria, denggi dan zika menjelang tahun 2080.

Kesedaran orang ramai serta kerjasama di antara masyarakat setempat, dalam memastikan kawasan persekitaran kita terjaga daripada pencemaran perlu menjadi isu utama, dalam kita melihat risiko jangkitan wabak di masa depan.

Pembukaan kawasan-kawasan baru yang dirancang dengan baik serta tidak mengakibatkan kerosakan besar ke atas ekosistem setempat, mesti menjadi salah satu prinsip yang sangat dititik beratkan.

Kita berkongsi bumi yang sama dengan bermacam jenis hidupan dan makhluk lain, tetapi spesis manusia saja yang mempunyai kemampuan untuk merosakkan bumi tanpa sebarang halangan.

Jadi sepatutnya manusia jugalah yang kembali menumpukan usaha, memperbaiki semua hasil kerja tangan kita - sebelum alam semulajadi kembali melawan dan kita mula berdepan bermacam kerosakan tubuh badan.

Rujukan

Global rise in human infectious disease outbreaks




Hakcipta iluminasi.com (2017)