Pulau Sentosa yang kini terletak di dalam negara Singapura, merupakan sebuah kawasan peranginan yang terkenal di serata dunia. Pada zaman moden, kerajaan Singapura telah berjaya membangunkan pulau tersebut menjadi sebuah destinasi pelancongan yang ceria dengan bermacam kemudahan.
Bagaimanapun sejarah pulau itu amat berbeza dengan imej yang dimiliki pulau itu sekarang. Pada tahun 1972 kerajaan Singapura mengambil keputusan menjenamakan pulau ini sebagai kawasan pelancongan, seterusnya memerlukan pertukaran nama asalnya kepada nama sekarang - bagi memadamkan legasi nama asalnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah nama asalnya? Nama pulau tersebut Pulau Blakang Mati.
Sejarah Pulau Blakang Mati
Nama pulau tersebut disebut sedemikian rupa berdasarkan banyak rekod yang wujud. Antara rekod paling awal adalah catatan penjelajah Portugis, Manuel Godinho de Eredia yang melukis peta Singapura pada abad ke 16. Pulau Blakang Mati direkodkan dalam peta tersebut sebagai 'Blacan Mati' mungkin kerana perbezaan bahasa yang wujud.
Asal-usul nama pulau tersebut mempunyai banyak pandangan berbeza. Salah satu pandangan popular yang selalu diceritakan adalah kisah di mana pulau itu dikuasai oleh lanun-lanun yang akan merompak dan mengganas setiap kali ada kapal pedagang yang lalu disitu. Ini menyebabkan pedagang menamakan pulau tersebut dengan gelaran itu kerana dikhuatiri mereka akan ditikam dari belakang.
Ada juga pendapat mengatakan nama itu datangnya daripada kisah dalam Hikayat Munshi Abdullah yang menyebut kewujudan sebuah pulau yang sengaja dibiarkan tengkorak dan tulang manusia berselerakan di pantainya, yang terletak di selatan Singapura.
Beberapa pendapat yang lebih ringan bunyinya menyebut pulau itu dinamakan sedemikian rupa kerana laluan di pulau tersebut tidak membawa ke mana-mana, menyebabkan orang ramai menggelarkannya 'blakang mati' dan satu lagi pendapat menyebut ada sebuah bukit bernama Blakang Mati di pulau tersebut, lalu diambil namanya menjadi nama pulau tersebut.
Betulkah Pulau Blakang Mati jadi pengkalan lanun?
Berdasarkan catatan-catatan sejarah yang menceritakan berkenaan kepentingan Jalan Penarikan yang terletak di Melaka dan Pahang, menghubungkan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu dengan bahagian pantai timurnya - wujud petunjuk kukuh bahawa kawasan sekitar Pulau Blakang Mati memang ditakuti pedagang zaman dahulu.
Catatan seorang pedagang dari China bernama Wang Dayuan pada tahun 1348 dalam tulisannya 'Daoyi Zhilue' menyebut tentang sebuah kawasan berbahaya yang beliau namakan sebagai 'Longyamen' yang bererti 'selat gigi naga.' Tempat itu beliau namakan sedemikian kerana wujud formasi batu seperti gigi naga di kawasan tersebut.
Dalam catatannya, beliau menasihatkan pedagang China yang menaiki kapal dan perlu melalui selat tersebut, untuk berhati-hati dengan penduduk yang mendiami kawasan 'Longyamen'. Ini kerana kerja mereka seharian adalah merompak serta tidak teragak-agak untuk membunuh.
Sama ada benar atau tidak dakwaan Wang Dayuan itu, tidak diketahui. Ini kerana dalam beberapa catatan beliau yang lain, wujud kontradiksi yang timbul apabila beliau menulis budaya masyarakat setempat di kawasan Longyamen ketika itu yang lebih lunak bunyinya.
Blakang Mati semasa zaman penjajahan British dan Jepun
Pada zaman awal penjajahan British di Singapura, pulau tersebut menempatkan beberapa keluarga orang Melayu berketurunan Bugis serta kaum Cina yang memilih untuk menetap di situ. Walau bagaimanapun, selepas serangan wabak cholera atau malaria yang mengorbankan ramai penduduk Pulau Blakang Mati - British memilih untuk membiarkan sahaja pulau tersebut buat sementara.
British kembali membangunkan pulau itu berikutan kedudukannya yang strategik, dengan pembukaan kubu Serapong, Connaught dan Siloso pada tahun 1880 sebelum kubu pertahanan lebih besar dan markas tentera dibuka pada tahun 1930-an.
Pada era perang dunia kedua, Pulau Blakang Mati dijadikan markas tentera British berikutan lokasinya yang sangat strategik. Bagaimanapun, tentera Jepun yang hadir berjaya mengambil alih pulau itu dan menukarkannya kepada pusat tahanan. Berikutan operasi Jepun yang bersifat anti orang Cina, majoriti tahanan Cina yang dipenjarakan di situ dibunuh dengan anggaran mangsa keseluruhannya seramai 50,000 ke 100,000 orang.
Selepas Jepun tewas dan pelbagai peristiwa yang berlaku melibatkan Malaysia dan Singapura di antara tahun 1957 hinggalah tahun 1963, Pulau Blakang Mati secara rasminya dipindahkan hak miliknya pada kerajaan Singapura secara automatik, kerana mempunyai status diletakkan di bawah jabatan perang British.
Ditukar kepada pulau pelancongan
Rancangan untuk menjadikan Pulau Blakang Mati sebagai sebuah destinasi pelancongan dimulakan pada tahun 1966 dan kajian hasilnya dibentangkan pada tahun 1968.
Selepas mendapat persetujuan, P.H. Meadows yang bertindak selaku pengerusi kepada Singapore Tourist Promotion Board (SPTB) membentangkan rancangan jangka panjang, menukarkan Pulau Blakang Mati menjadi tempat di mana orang ramai dapat melancong, makan-makan, berenang dan bermain golf. Bagaimanapun, rancangan asal untuk turut membangunkan sebuah kasino tidak diteruskan.
Satu pertandingan dianjurkan pada November 1969 bagi menamakan pulau itu kepada nama baru dan nama yang terpilih adalah 'Sentosa' yang membawa makna ketenangan dan kedamaian.
Diletakkan sebagai salah satu projek terbesar dan terpenting kerajaan Singapura, usaha membangunkan Pulau Sentosa dibekalkan dengan dana yang mencukupi. Sedikit demi sedikit tarikan utama dibangunkan bermula dengan kereta kabel pada bulan Februari 1974 sehinggalah sistem monorel yang dimulakan operasinya pada tahun 1982.
Malangnya, pertukaran itu memaksa penduduk asal Pulau Blakang Mati dipindahkan ke tanah besar Singapura secara berperingkat, bermula pada tahun 1975. Notis selama lima tahun diberikan oleh kerajaan kepada penduduk asal yang diperlukan berpindah, memaksa penduduk Blakang Mati mula keluar sedikit demi sedikit.
Orang-orang kampung yang sebelum itu duduk bebas di atas tanah dan hutan, bergerak ke sana ke mari - terpaksa mencari jalan menyesuaikan diri hidup di kawasan bandar yang terhad saiznya.
Kampung yang selama ini menjadi kawasan saudara mara tinggal sebelah menyebelah berubah, digantikan dengan rumah pangsa yang kecil membuatkan talian persaudaraan yang dulunya rapat kini renggang disebabkan kesibukan ibu kota.
Mungkin yang mati bukan belakang tubuh, tetapi sebenarnya jiwa yang bebas dulu bebas merdeka.
Rujukan