Dari segi hubungan diplomatik, Malaysia dan Taiwan tidak berhubungan secara rasmi ekoran konflik tuntutan China ke atas Pulau Taiwan, yang berlangsung sehingga detik kini.
Namun kedudukan Taiwan dalam sektor ekonomi dunia khasnya bidang teknologi semikonduktor memerlukan Malaysia menjalin hubungan dua hala dalam aspek ekonomi, menubuhkan pejabat perdagangan di Taipei dan Taiwan pula membuka pejabat perdagangan dan kebudayaan di Kuala Lumpur.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun dari aspek hubungan antarabangsa kita tidaklah terbuka akrab, dari segi sejarahnya kita sebenarnya ada berkongsi beberapa elemen serupa. Tahukah anda tentang satu teori yang cuba menjelaskan asal-usul masyarakat Melayu, didakwa sebenarnya memang berasal dari Pulau Taiwan?
Harus kami ingatkan - ini hanyalah teori saja ya. Baca dengan minda terbuka.
Teori 'Keluar Dari Taiwan' mencakna pergerakan nenek moyang orang Melayu
Sejak penghujung abad ke 19, usaha untuk mengkaji dan mengenalpasti dari manakah asal-usul masyarakat penutur bahasa Austronesia dimulakan oleh seorang penyelidik Belanda bernama Hendrik Kern.
Dengan mengambil kira elemen yang terkandung dalam cabang-cabang bahasa Austronesia, Kern mendapati terdapat beberapa persamaan yang ada dan dikongsikan, khasnya melibatkan istilah yang merujuk kepada padi dan beras, ubi keladi, kewujudan rujukan jelas kepada haiwan ternakan seperti ayam, itik, anjing dan khinzir serta haiwan lain seperti jerung, penyu dan sebagainya.
Hasil daripada kajian ini, Kern berpendapat asal-usul masyarakat penutur Austronesia adalah dari pesisir pantai di sepanjang Kemboja sehinggalah ke bahagian tengah Vietnam. Namun kesimpulan yang dibuat Kern ditolak atas beberapa kelemahan ketara.
Topik sama diteruskan kajiannya oleh seorang pakar bahasa dari Jerman bernama Otto Dempwolff, yang berjaya menyusun semula susur galur perubahan kategori bahasa yang kini dikategorikan sebagai Proto-Austronesia, kumpulan terawal bahasa Austronesia.
Hasil kajian ini tidak menjawab persoalan besar dari manakah tanah asal penutur Austronesia. Namun kaedah yang diperkenalkan Dempwollff memudahkan perbandingan dalam konteks lebih tepat, berbanding kaedah yang digunakan Kern.
Pada tahun 1965, seorang penyelidik bahasa dari Amerika Syarikat bernama Isidore Dyen menggunakan kaedah yang dibangunkannya sendiri digelarkan leksikostatistik, berjaya mengklasifikasikan 245 bahasa dalam kategori Austronesia kepada 40 cabang utama.
Mengambil kira susur galur perubahan bahasa, Dyen berpendapat penutur Austronesia sebenarnya hadir dari bahagian barat Melanesia, sekitar tenggara Papua Nugini - namun tidak ada bukti kukuh yang menyokongnya khasnya dari aspek arkeologi.
Sehinggalah pada tahun 1985 dua orang penyelidik iaitu Robert Blust dan Peter Bellwood mengeluarkan hipotesis kontroversi yang menyatakan; bahawa asal-usul semua masyarakat penutur bahasa Austronesia kini sebenarnya datang dari Pulau Taiwan.
Dinamakan pada awalnya sebagai Hipotesis Bellwood-Blust, akhirnya teori ini mula dikenali sebagai 'Hipotesis Keluar Dari Taiwan' atau Out of Taiwan Hypothesis.
Teori berasaskan kepada perubahan linguistik dan arkeologi
Disokong kemahiran kajian linguistik serta mengambil kira kesemua teori yang telah kami nyatakan di atas, Bellwood dan Blust cuba memperjelaskan kenapa mereka mengandaikan Formosa (nama masyarakat etnik Pulau Taiwan) adalah nenek moyang sebenar masyarakat di Asia Tenggara.
Terdapat beberapa elemen dalam bahasa etnik masyarakat Formosa yang didapati berulang dalam kebanyakan bahasa Austronesia, yang turut ditemui dalam kumpulan bahasa lebih awal kategori Proto-Austronesia dan Proto-Melayu-Polinesia.
Perbandingan sistem ejaan dan sebutan daripada aspek vokal dan konsonan menunjukkan wujudnya jalinan yang jelas susur-galurnya.
Lebih menarik, persamaan-persamaan ini masih digunapakai penutur bahasa Austronesia moden seperti bahasa Tagalog, Melayu, Samoa, Hawaii dan sebagainya - membuktikan wujudnya hubungan bahasa-bahasa ini dengan salah satu keluarga dalam bahasa etnik orang Formosa sebenar; yang dikategorikan sebagai Melayu-Polinesia yang hanya dituturkan khas di Pulau Taiwan satu masa dahulu.
Bagaimanapun hipotesis Bellwood-Blust ini sukar dibuktikan dan berkemungkinan besar akan kekal sebagai teori, kerana daripada 25 keluarga bahasa etnik Formosa yang digunakan sebelum kehadiran orang-orang Cina ke sana - separuh daripadanya telah pupus untuk dibuat perbandingan lebih mendalam.
Walaupun demikian, kebanyakan kajian penyelidikan linguistik melibatkan penutur Austronesia moden mula menampakkan wujud asas yang kukuh untuk menyokong teori ini.
Apatah lagi apabila kita sudah mula menemui bukti-bukti arkeologi yang menjadi petunjuk bahawa Pulau Taiwan telah didiami lebih awal oleh masyarakat yang menggunakan kumpulan bahasa Austronesia, berbanding kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik sekarang.
Berakit ke Filipina sebelum mula bercambah ke serata kawasan
Teori Bellwood-Blust turut membincangkan berkenaan andaian pergerakan migrasi yang berlaku dari Pulau Taiwan, yang membawa kepada perkembangan masyarakat penutur Austronesia di sini berdasarkan kepada perubahan bahasa yang berlaku.
Penyelidik moden secara konsensus sependapat bahawa nenek moyang kita hadir ke Filipina (kini) dengan menaiki rakit kira-kira 4,000 ke 4,200 tahun terdahulu, memilih untuk menetap di Pulau Batanes (namanya kini) sekitar tahun 2200SM/BC.
Orang Tao di Pulau Orkid, Taiwan
Bahasa-bahasa yang digunakan di Filipina kini juga mempunyai persamaan yang besar dengan bahasa Yami, sejenis bahasa yang diamalkan masyarakat Tao di Pulau Orkid, sebuah pulau kecil yang terletak di bahagian tenggara Pulau Taiwan sendiri.
Kumpulan yang melakukan migrasi ke Filipina ini mula berpecah kepada beberapa kelompok masyarakat berbeza, emasuki kawasan utara Borneo, utara Sulawesi dan Kepulauan Maluku sebelum berkembang ke bahagian barat Borneo.
Dari bahagian barat Pulau Borneo, masyarakat penutur Austronesia mula bergerak ke kawasan-kawasan seberang seperti Sumatera dan Semenanjung Malaysia.
Daripada kelompok inilah, masyarakat ini semakin berkembang ke bahagian utara Semenanjung Malaysia membentuk apa yang kita kenali sebagai orang Champa, yang akhirnya bertembung dengan masyarakat asal di sana, yang akhirnya membolehkan asimilasi berlaku.
Berbeza dengan kumpulan yang bermigrasi ke bahagian barat Kepulauan Borneo, wujud juga kumpulan-kumpulan lebih kecil yang menjelajah ke kawasan sekitar Kepulauan Papua di sebelah timur, berasimilasi dengan penduduk asal kepulauan tersebut - yang akhirnya membentuk kumpulan masyarakat yang kini dikenali sebagai orang Lapita.
Orang Lapita mula menjalankan migrasi keluar ke kawasan kepulauan di lautan Pasifik lain seperti Fiji, Tonga, Solomon dan Samoa sekitar tahun 1500SM/BC, membentuk budaya berbeza berbanding dengan kita di sini walaupun secara teorinya kita datang daripada rumpun serupa.
Secara andaiannya, teori 'Keluar Dari Taiwan' ini berjaya menerangkan kenapa kita di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, Indonesia, Filipina, Papua Nugini dan kawasan kepulauan sekitarnya serta sebahagian masyarakat di Thailand, Kemboja dan Vietnam berkongsi laras bahasa yang banyak persamaannya.
Dengan menggunakan evolusi bahasa, teori ini cuba meletakkan Pulau Taiwan sebagai punca dari mana bermulanya masyarakat kita.
Pernahkah anda melihat gambar masyarakat pribumi Taiwan yang sebenar? Jangan terkejut pula sekiranya mereka dan kita tak banyak beza identitinya, walaupun kini Taiwan lebih terkenal sebagai sebuah negara orang Cina.
Rujukan